Halaman

08 October 2012

Pemimpin harus berani tentang pembohongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemimpin dan ahli politik harus berani berdepan setiap pembohongan yang dilontarkan puak yang berkepentingan dengan menentangnya secara berhemah.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata sebagai pemimpin dan ahli parti yang sejati serta berikrar untuk taat setia kepada parti yang didokong, keberanian dan kesungguhan perlu diterap dalam diri masing-masing bagi menangkis serangan musuh.

“Jadi kita kena berani berdepan dengan pembohongan, kita kena kuat dan kita kena bersungguh-sungguh.

“Dalam dunia komunikasi massa hari ini berdiam diri bermakna seolah-olah kita mengesahkan apa sahaja tuduhan yang dilakukan kepada kita,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, dalam realiti dunia politik, tugas pembangkang pastinya `membangkang’ walaupun apa sahaja kebenaran dan kenyataan yang dilakukan pihak kerajaan serta parti yang memerintah.

Katanya, kita harus bijak menangani segala pembohongan dan fitnah yang dicipta pembangkang itu secara berhemah, selain harus bersedia berdepan dengan mereka menggunakan fakta yang tepat serta meyakinkan.

“Sesuatu yang tidak benar bahkan berbentuk fitnah, jika diulang berkali-kali di tempat yang sama lama-lama akan dipercayai sebagai benar. Demikian yang dinamakan sebagai `propaganda’.

 “Kata Joseph Goebbels, Menteri Propaganda di zaman Hitler, `if you tell a lie big enough and keep repeating it, people will eventually come to believe it’,” katanya.