Halaman

09 October 2012

Zoo Bukit Takal taman mainan MB?

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Sejak kebelakangan ini hebat diperkatakan Zoo Bukit Takal di Kemaman hanyalah satu pembaziran duit rakyat semata.

Kehadiran pengunjung ke Zoo Bukit Takal Kemaman semakin bertambah dari hari ke hari.

Dimana-mana heboh mengatakan kerajaan negeri Terengganu banyak mengeluarkan belanja untuk binatang sampai menelan jutaan ringgit.

Baru-baru ini pihak pembangkang telah membuat edaran risalah mengenai hal tersebut secara meluas di sekitar Bandar Kemaman. Peruntukkan sebanyak RM100 juta yang dikatakan duit rakyat telah dibelanjakan untuk pembangunan Zoo Bukit Takal menjadi topik utama mereka.

Antara isu lain yang dimainkan oleh mereka adalah seperti RM10 juta untuk membeli pelbagai jenis beruk dan binatang, RM1juta untuk membeli 3 ekor Badak Sumbu, RM1.6 juta untuk membeli 6 ekor Zirafah, RM153,600 untuk membeli 6 ekor Baboon, RM384,000 untuk membeli 20 ekor burung Merpati, RM230,400 diperuntukkan untuk 24 ekor Flamingo dan banyak lagi fitnah liar yang ditabur pihak pembangkang.

Mustafar Khalid
Yang di Pertua Majlis Perbandaran (YDP) Kemaman, Mustafar Khalid telah membuat laporan polis bagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dan fitnah yang terkandung dalam risalah tersebut.

Keadaan ini secara tidak langsung dapat membersihkan semula nama Menteri Besar Terengganu di samping menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Beliau menjelaskan tiada perbelanjaan sebanyak ratusan juta dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk membeli beruk dan binatang sepertimana yang terkandung dalam risalah malah kebanyakan binatang seperti Zirafah, Badak Sumbu dan Bamboo langsung tidak ada di Zoo Bukit Takal Kemaman.

Tambah YDP Mustafar Khalid lagi, pihak pembangkang sudah ketandusan isu untuk menjatuhkan kerajaan sekarang, oleh sebab itu mereka tidak segan silu lagi menabur fitnah yang bukan-bukan bagi menghasut rakyat.

“Kebanyakan binatang yang ada di Zoo Bukit Takal Kemaman disumbangkan oleh Perhilitan Melaka seperti Buaya Tembaga, Ungka Tangan Putih dan kebanyakannya disumbangkan oleh orang awam,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.