Halaman

12 October 2012

MBKT bina terminal teksi RM350,000

Oleh: Suriati Ali

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan membina terminal teksi bernilai RM350,000 berdekatan Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, sebagai ganti kepada terminal teksi lama.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata kerja-kerja pembinaan terminal baru yang mempunyai 36 lot tempat letak teksi itu akan bermula bulan depan dan dijangka siap akhir tahun ini.

"Kerja-kerja pemindahan akan dilakukan bulan depan oleh kontraktor yang dilantik, dan buat sementara waktu, kita akan meletakkan kanopi untuk pemandu teksi memulakan operasi mereka," katanya.

Katanya, terminal itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk penumpang termasuk menempatkan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

“Pihak kami berharap dengan adanya terminal baru itu, ia akan melancarkan sistem teksi di bandar raya ini.

"Kita bina terminal teksi ini di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah bandar bagi memudahkan penumpang menggunakan perkhidmatan ini.

 "MBKT juga akan menyediakan tempat khas untuk pemandu teksi di Stesen Bas MBKT untuk memudahkan mereka mengambil dan menghantar penumpang. Namun jumlah teksi yang diletakkan di situ adalah terhad," katanya.