Halaman

12 October 2012

UMT dan PKT bekerjasama teroka bidang penyelidikan

Oleh; Esah Abdullah

Jalinan kerjasama antara Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Politeknik Kuala Terengganu (PKT) mampu meneroka dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Dekan FST, Prof Dr. Tengku Sifzizul Tengku Muhamad berkata, usahasama ini juga akan dapat merangka dasar yang bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi.

“Ia dapat memberi peluang kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan sokongan melanjutkan pelajaran dan latihan di UMT,” katanya di Seminar Pemantapan Matematik (Semat) dan Majlis Menandatangani Surat Niat di antara FST dan PKT di UMT semalam.

Hadir sama Pengarah PKT, Hajah Radiah Che Su dan Penyelaras Program Semat, Prof Madya Dr. Sabri Ahmad serta 40 pelajar dan 11 pensyarah PTK mengikuti Seminar Semat.

Katanya, surat niat yang ditangani bersama ini antara lain akan mengadakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran berasaskan teknologi dan multimedia interaktif di samping menjalankan penyelidikan dan kajian bersama dalam bidang-bidang yang dikenalpasti.

Selain itu katanya, UMT juga menyokong dan menggalakkan pensyarah PKT melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran serta memberi peluang kepada pelajar lepasan Diploma menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda di UMT.

“Saya percaya pelajar PKT akan mengambil peluang ini untuk memantapkan diri dalam persediaan untuk mempelajari subjek matematik di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu katanya dapat merancakkan lagi bidang pendidikan dan penyelidikan di negara ini serta melonjakkan nama institusi masing-masing ke peringkat antarabangsa.

 

MBKT bina terminal teksi RM350,000

Oleh: Suriati Ali

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan membina terminal teksi bernilai RM350,000 berdekatan Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, sebagai ganti kepada terminal teksi lama.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata kerja-kerja pembinaan terminal baru yang mempunyai 36 lot tempat letak teksi itu akan bermula bulan depan dan dijangka siap akhir tahun ini.

"Kerja-kerja pemindahan akan dilakukan bulan depan oleh kontraktor yang dilantik, dan buat sementara waktu, kita akan meletakkan kanopi untuk pemandu teksi memulakan operasi mereka," katanya.

Katanya, terminal itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk penumpang termasuk menempatkan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

“Pihak kami berharap dengan adanya terminal baru itu, ia akan melancarkan sistem teksi di bandar raya ini.

"Kita bina terminal teksi ini di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah bandar bagi memudahkan penumpang menggunakan perkhidmatan ini.

 "MBKT juga akan menyediakan tempat khas untuk pemandu teksi di Stesen Bas MBKT untuk memudahkan mereka mengambil dan menghantar penumpang. Namun jumlah teksi yang diletakkan di situ adalah terhad," katanya.



Zahafis utamakan kepuasan pelanggan

Oleh: Suriati Ali

Memperkenalkan slogan `Jemaah Mabrur Zahafiz Unggul..InsyaAllah’ membuatkan Zahafis Travel & Tour Sdn Bhd (Zahafis) terus mendapat kepercayaan pelanggan tempatan dan luar Malaysia.

Zahafiz dahulunya dikenali El-Rayan Travel & Tours Sdn Bhd dinaungi Pengerusi Eksekutif,Dato’ Haji Zainal Abidin Yusof beribu pejabat di Shah Alam, Selangor Syarikat yang mula ditubuhkan pada pertengahan 1996 kini giat melebarkan sayap perniagaan ke serata negeri dan luar Malaysia, termasuk Indonesia dan Singapura.

Bagi cawangan Zahafiz di Terengganu, ia diberi amanah kepada Haji Wan Mustapa Wan Othman supaya terus memperkenalkan puluhan produk dan perkhidmatan syarikat itu kepada masyarakat di Pantai Timur, khususnya Terengganu.

 Haji Wan Mustapa berkata dia berani menubuhkan Zahafiz di Terengganu selepas mendapat kepercayaan Dato’ Haji Zainal dan pihak pengurusan di Shah Alam supaya mengembangkan sayap perniagaan sedia ada.

“Saya nekad membuka operasi Zahafiz di Terengganu pada awal 2010 sambil dibantu tiga kakitangan berpengalaman kerana ingin membuktikan kepercayaan itu.

 “Pada masa sama ingin manyahut saranan kerajaan supaya lebih ramai Bumiputera melibatkan diri dalam bidang pelancongan bagi membangunkan ekonomi negara ketahap yang lebih membanggakan,” katanya.

 Zahafis menawarkan beberapa perkhidmatan menarik walaupun menyedari terdapat syarikat pelancongan lain turut berbuat demikian.

 Antara perkhidmatan itu, termasuk menyediakan perkhidmatan haji dan umrah; kemudahan pengangkutan Madinah dan Makah; penyediaan makanan masakan Malaysia dan mutawwif untuk membimbing jemaah.

 Perkhidmatan lain penghantaran barang; kursus umrah atau haji; menyediakan buku panduan, beg sandang dan membekalkan air zam – zam secara percuma. Menurut Haji Wan Mustapa, berkata rata-rata jemaah yang menggunakan perkhidmatan Zahafiz sebelum ini berpuas hati dengan apa yang ditawarkan.

"Kami menitikberatkan keselesan, kebajikan dan kemudahan pelanggan semata-mata tidak mahu timbul masalah dan sebarang rungutan apabila tiba di Tanah Suci.

 “Semua penginapan di tawarkan bertaraf empat ke lima bintang serta menyediakan kemudahan katering untuk setiap jemaah,” katanya.

 

Peluang baik ceburi industri minyak, gas negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Prospek dan peluang menceburi diri dalam industri minyak dan gas ini amat cerah dan begitu luas kepada sesiapa sahaja, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

 “Saya merasakan tidak ada masa yang lebih baik dan sesuai dari sekarang, bagi penggiat industri untuk melibatkan diri dalam industri ini.

 “Saya percaya, penglibatan dalam industri ini merupakan langkah yang bijak dan bertepatan sekali. Oleh itu, saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan para peserta sekalian agar mengambil langkah yang tepat dan memberanikan diri untuk menceburi industri minyak dan gas ini,” katanya baru-baru ini.

Dato’ Mazlan juga percaya bahawa umum sudah sedia maklum Terengganu merupakan pengeluar gas petroleum utama di Semenanjung Malaysia di mana industri itu bertapak sejak di era 70-an lagi.

Katanya, beberapa loji pemprosesan gas dan petroleum yang beroperasi di Kerteh menjadi mercu tanda atau `landmark’ utama bagi negeri ini jika melalui laluan jalan raya melalui pantai menuju ke Kuantan.

Beliau berkata pelantar minyak juga dibina bagi mengeluarkan minyak mentah seperti petroleum dan gas asli di tengah-tengah laut. Pada masa kini, ExxonMobil yang menjadi rakan niaga Petronas bagi pihak Kerajaan Pusat menjalankan operasi di 43 buah pelantar minyak di sekitar perairan Terengganu.

Selain itu, beliau berkata Taman Polimer Kertih (KPP) diunjur mampu menarik pelaburan berjumlah lebih RM7 bilion selain bakal mewujudkan lebih 8,000 pekerjaan baru kepada penduduk negara ini dan Terengganu khasnya, menjelang 2020.

 KPP yang dibangunkan di Kompleks Industri Petroleum Petronas(PPIC) memfokuskan pembuatan produk berasaskan etilena berkembang maju dengan sokongan hasil penyelidikan dan juga pembangunan (R&D) bertaraf dunia oleh Pusat Teknologi Polimer Petronas (PPTC).

 “Sebagai pusat teknologi yang berpandukan pasaran, ianya akan mempertingkatkan tahap perkhidmatan teknikal pelanggan, di samping membantu dari segi penambahbaikan dan pembangunan aplikasi polimer.

 “Pusat ini juga akan mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara para pengeluar polimer dan pengusaha produk plastic di KPP dalam usaha meningkatkan standard bagi industri plastik dan polimer negara ini,” katanya.

 

11 October 2012

Kerajaan negeri sedia berkompromi, jelas cukai tanah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tidak pernah merampas tanah penduduk yang gagal menjelaskan cukai tanah tertunggak walaupun `hukuman’ itu termaktub dalam undang-undang tanah negeri terhadap penduduk yang mengingkari notis menjelaskan tunggakan dan denda cukai tanah mereka.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya tetap berkompromi dengan penduduk yang liat menjelaskan tunggakan dan denda berkenaan dengan mengeluarkan peringatan menerusi notis secara bertulis.


“Setakat ini tidak ada kes tanah yang dirampas. Cuma kita beritahulah. Tapi, sampai satu peringkat kita boleh rampas.

Tapi kita tidak buat lagilah. Kita keluarkan notis sebagai tanda peringatan. “Kita cuma beri peringatan. Mengikut undang-undang yang ada, kerajaan boleh merampas tanah mereka.

Tapi itu bukan matlamat kita. Yang penting kesedaran supaya mereka supaya terus membayar,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Menteri Besar berkata, lazimnya pemilik tanah akan menjelaskan tunggakan dan denda berkenaan sebaik sahaja mereka menerima notis yang boleh menyebabkan tanah mereka dirampas kerajaan.

“Kita mengambil tindakan ini terutamanya kepada mereka yang ada tanah yang luas, tanah bangunan melibatkan cukai tinggi, yang mungkin mencecah sehingga RM100, RM200 sebulan atau 10 tahun tidak bayar sehingga melibatkan RM2,000 ke RM3,000 (keseluruhan)..kita akan ambil tindakan.

Mungkin ini kawasan tanah ladang seperti kebun getah yang luas,” katanya lagi.

Beliau berkata, masalah kegagalan menjelaskan cukai tanah kadang-kala berpunca daripada ibu bapa yang juga pemilik tanah sudah meninggal dunia mengakibatkan tanah mereka tidak diuruskan dengan betul dan tiada yang tampil menjelaskan kadar cukai tanah berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menjelaskan masalah kegagalan menjelaskan cukai tanah untuk tanah industri tidak ketara.

“Saya rasa tidak banyak masalah sebab mereka (pengusaha industri) sudah kaya. Bila buat industri, dia ada kilang, aset dia mesti mahal. Jadi, bila kita keluar notis, terus dia bayar. Takkan dia sanggup satu ketika kita merampas tanah dia.

“Bila rampas tanah (turut melibatkan) bangunan. Masalah (tanah industri) tidak banyak berlaku. Bagaimanapun, masalah ini lebih banyak kepada tanah pertanian, orang kampung ini, sedangkan kadar cukai tidak banyak.. RM2, RM5, tapi bila dah kumpul-kumpul (tunggakan), banyak juga,” katanya.



500 mangsa ribut Kemaman terima bantuan

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Bantuan segera sebanyak RM500 dan sedikit barangan dapur untuk mangsa ribut baru-baru ini telah disampaikan sendiri oleh YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek yang juga merangkap Ahli Parlimen Kemaman, petang semalam di perkarangan rumah Pengerusi JKKK Kg. Mak Chili.

Menurut Pengerusi JKKK Kg. Mak Chili, Haji Maydin Hassan selama 60 tahun beliau menetap disini belum pernah berlaku ribut sebegitu kuat sehingga 58 buah rumah ranap dipukul ribut yang kuat.

Walaupun kawasan jagaannya tidak pernah menang dalam pilihan raya namun keprihtinan pihak kerajaan terhadap raktyat yang tidak memilih bulu samada mereka daripada pihak pembangkang layak untuk menerima bantuan.

“Lebih membanggakan Yang Berhormat (YB) kita lebih awal tiba di tempat kejadian daripada YB mereka sendiri yang menang di kawasan tersebut,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dalam ucapannya berkata pihak kerajaan cuba sedaya mungkin untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa seberapa segera agar dapat meringankan beban mereka.

Beliau yang pada ketika itu sedang berada di Kuala Lumpur bergegas pulang ke Kemaman untuk melihat sendiri keadaan rumah mangsa ribut yang dikatakan semakin meningkat sehingga mencecah ratusan buah rumah.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar, Ketua Wanita UMNO Kemaman Senator Hajah Rohani Abdullah dan Setiusaha UMNO Bahagian Kemaman Rosli Ahmad.


Program Jalinan Rakyat di DUN Rhu Rendang

Oleh :Amirullah Othman

Demi memperjuangkan kepentingan rakyat dan menyemai sikap mengenang budi kepada kerajaan, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berusaha gigih bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai program pembangunan serta bantuan yang setiap masa disalurkan oleh Kerajaan Terengganu.

Mutakhir, seramai 200 orang yang terdiri daripada golongan wanita telah diundang dalam satu majlis Jalinan Rakyat di Dewan Majlis Daerah Marang di Kampung Paya.

Maklumat-maklumat mengenai bantuan dan program kerajaan negeri bagi kesejahteraan rakyat disampaikan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong dan Penolong Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, Encik A.Latiff Awang.

Haji Nik Dir berkata, usaha ini sangat penting kerana golongan ini biasanya hanya berada di rumah dan tidak terdedah dengan dunia luar.

“Dengan adanya majlis seumpama ini, sedikit sebanyak telah membuka mata mereka di mana golongan ini boleh bertindak sebagai agen maklumat dasar-dasar kerajaan untuk disampaikan kepada jiran-jiran dan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Beliau berharap dengan adanya kesedaran di kalangan golongan wanita mereka akan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepada keluarga masing-masing dan terus menyokong kerajaan negeri.

“Bagi meningkatkan hubungan antara rakyat dengan pemimpin setempat, perjumpaan-perjumpaan dalam kuantiti yang kecil akan diadakan dengan kerap supaya setiap permasalahan dapat diselesaikan,” katanya.



Lapan atlet terima P.J.K

Oleh; Esah Abdullah

Lapan(8)  atlet di negeri ini adalah di antara 185 orang penerima di Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negeri sempena ulang tahun yang ke-50 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Maziah, Kuala Terengganu hari ini.

Mereka ialah Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim yang tersenarai di antara 158 orang penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K).

Kahirul Anwar dan Nurul Syafiqah telah mewakili negara ke Sukan Olimpik London baru-baru ini dalam acara sukan memanah di mana Khairul Anwar telah melayakkan diri ke peringkat suku akhir

Manakala tiga atlet berbasikal yang telah mengharumkan nama negeri dan negara turut menerima P.J.K ialah Amir Mustafa Rusli, Muhamad Adiq Husainie Othman dan Mohd Harrif Salleh.

 itu dua atlet sukan paralimpik iaitu Mohamad Azwar Abu Bakar@Ibrahim (ping pong) dan Abdul Rahman Razali (lawan pedang) serta Muhamad Zubir Mohd Azmi (bola sepak) turut menerima anugerah berkenaan.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negeri di Istana Maziah.

Turut hadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Selain itu seramai 11 orang lagi menerima Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C) dan 16 penerima Pingat Lama Berjawatan (P.L.B).




Sementara itu atlet orang kurang upaya (OKU) Mohd Azwar dan Abdul Rahman ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas kurniaan yang diterima dan berazam untuk terus  bekerja keras demi mengharumkan nama negeri dalam bidang yang diceburi.




Negara Islam luar negara kagum sistem pendidikan Islam Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Negara-negara luar kagum dengan sistem pendidikan yang dilaksanakan di Terengganu, terutama yang berasaskan al-Quran.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika Sekolah Menengah Imtiaz dan kelas-kelas tadika Yayasan Islam Terengganu yang melaksanakan Program Pintar al-Quran sering dilawati masyarakat Islam dari luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata terbaru 23 peserta yang terdiri daripada bakal imam dari negara Indonesia, Thailand dan Kemboja datang melawat Sekolah Menangah Imtiaz Besut, baru-baru ini.

“Mereka kagum dengan keistimewaan dan keunikan sistem pendidikan berasaskan al-Quran yang digunakan di sekolah berkenaan,” katanya ketika ditemui Teganukita kelmarin.

Menurutnya, masyarakat Islam dari luar negara turut kagum dengan usaha-usaha kerajaan negeri menyemai sikap gemar membaca al-Quran di kalangan kanak-kanak seawal usia merea berada di tadika lagi.

“Mereka memuji kehebatan Terengganu yang berjaya mengendalikan program yang membolehkan hampir 10,000 kanak-kanak tadika khatam al-Quran pada setiap tahun,” katanya.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, bagi pihak kerajaan negeri program berkenaan akan diperkemaskan dari semasa ke semasa agar hasrat membentuk masyarakat ‘celik al-Quran’ tercapai.

“Inilah yang kita lakukan bagi membolehkan masyarakat negeri ini mahir membaca al-Quran dan ia diharapkan menjadi ‘role model’ bukan saja di kalangan negeri-negeri lain, tetapi meliputi negara Islam peringkat global,” ujarnya.

 

Sultan Mizan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Bintang Kebesaran Negeri

Oleh; Esah Abdullah



Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negeri sempena perayaan ulang tahun yang ke-50 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Maziah, Kuala Terengganu hari ini.

 Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara.

Pengurniaan Pingat-pingat Kebesaran Negeri dimulakan dengan Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C) seramai 11 orang, Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) seramai 158 orang dan Pingat Lama Berjawatan (P.L.B) seramai 16 orang.


Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan mengurniakan P.J.C, P.J.K dan P.L.B kepada semua penerima.