Halaman

30 October 2012

Teganukita 67


Kaki pancing rebut hadiah RM10,000 sempena MCT-Tasik Kenyir

Oleh: Aida Abd Rahman

Hadiah kemenangan berjumlah RM10,000 menjadi rebutan kaki pancing sempena Monsoon Casting Tournament (MCT 2012) di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada 14 hingga 17 November ini.

Acara tahunan yang dianjurkan Kelab Memancing kakingailforum.com dan Lubuk.net dengan kerjasama Kerajaan Terengganu yang memasuki edisi keempat itu bakal menghimpunkan 150 peserta tempatan dan luar Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata dalam pertandingan empat hari tiga malam itu, kerajaan negeri turut menawarkan RM20,000 kepada kaki pancing yang berjaya menaikkan ikan spesies Arowana yang dikatakan terdapat di tasik buatan manusia itu.

Katanya, pertandingan terbahagi kepada lima kategori iaitu King of Sebarau, King of Toman, King of Special, Best of Tekong dan King of MCT2012.

“Sehingga kini, seramai 110 peserta daripada pelbagai kelabmemancing termasuk Lubuk. Net, kakingailforum.com, Longkah Kuantan, Johor Fishing Trible, Kayak Cast, darul Naim Angler, Terengganu Casting Extream dan Majalah Pancing antara yang mengesahkan penyertaan kali ini.

“Sebelum tarikh tutup pada 5 November ini, penyertaan dijangka akan meningkat sehingga 150 orang kesemuanya,” katanya.

Dato’ Abdul Rahin berkata, pertandingan mampu mempromosikan Tasik Kenyir sebagai kawasan pelancongan, pusat memancing utama selain mewujudkan rangkaian sosial di kalangan kaki pancing di seluruh negara.

Menurutnya, mereka yang berminat menyertai acara itu boleh mendaftar di laman web kakingailforum.com atau Lubuk.net, selain boleh mendapatkan borang di mana-mana kedai menjual peralatan memancing yang terpilih di seluruh Malaysia.

 

NGO diminta proaktif bantu masyarakat


Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh menyampaikan daging korban kepada pelajar PDK Jertih

Oleh: Mohammad Ishak 

Badan Bukan Kerajaan (NGO) diminta proaktif melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dengan memberi tumpuan lebih kepada komuniti dan penduduk setempat.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, tanggungjawab dan perananan NGO terutama persatuan belia perlu berubah dengan meemberi fokus kepada kegiatan yang boleh membantu masyarakat.

Katanya, pertubuhan belia seperti MAYC yang masih aktif menjalankan aktiviti untuk belia dilihat satu pertubuhan sukarela yang mampu bergabung tenaga dengan pertubuhan lain termasuk menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya dapat membabitkan diri dengan penduduk kampung.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan oleh MAYC Besut satu contoh baik kerana meempelbagai aktiviti antara golongan belia dan masyarakat di daerah itu.

“Malah saya amat tertarik dengan MAYC Besut yang turut mengadakan aktiviti bersama Kelas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kerana ia mendekati golongan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya,” katanya. A Rahim berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mesra Komuniti Bersama Pemimpin anjuran MAYC Besut di perkarangan PDK Jertih, semalam.

Pada majlis itu MAYC Besut menyumbangkan sekor lembu untuk dijadikan korban kemudian diagihkan kepada keluarga OKU yang belajar di kelas berkenaan.

Pengerusi MAYC Besut Wan Adilah Wan Awang berkata seramai 60 kanak-kanak OKU yang belajar di kelas terbabit turut diraikan dengan jamuan tengahari dan pengagihan daging korban kepada mereka.

Operasi tangkap tikus sudah bermula

Operasi Menangkap Tikus di kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dimulakan sejak 7 Oktober lalu, bagi membanteras pelbagai penyakit yang berpunca daripada haiwan tersebut.

Melalui kempen besar-besaran itu, orang ramai boleh menuntut ‘habuan’ RM2 bagi seekor tikus yang berjaya ditangkap di sekitar bandar ini.

Mereka perlu membawa haiwan perosak itu ke kaunter yang dikhaskan MBKT bagi menuntut hadiah yang disediakan.

Insiatif tersebut disediakan sebagai pendorong kepada orang ramai untuk terus memburu haiwan berkenaan yang dikatakan semakin membiak di sekitar kawasan bandar. MBKT menyediakan kaunter di lima kawasan bagi membolehkan orang ramai menghantar tikus yang ditangkap dan menuntut bayaran.

Antara kawasan tersebut ialah tempat letak kereta Pasar Borong Gong Pauh dan Pasar Cabang Tiga, Dewan Tunku Abdul Rahman dan pejabat cawangan MBKT di Gong Badak.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata program tersebut dilaksanakan bagi mendidik dan mendedahkan warga MBKT supaya menjaga kebersihan persekitaran agar bebas daripada ancaman tikus serta tempat pembiakan aedes.

“Kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku seperti terdapat kematian berpunca daripada air kencing tikus dan penyakit berjangkit lain.

“Berdasarkan permerhatian, haiwan ini banyak berkeliaran di kawasan tertentu terutama dalam longkang, di lorong-lorong bangunan dan sebagainya,” katanya.


29 October 2012

PPNT anjur seminar pelancongan

Oleh:Noraini Jusoh

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan menganjurkan Seminar Pengendalian Perniagaan Sektor Eko Pelancongan dan Marin Pelancongan 2012 (International TEMCO 2012) pada 6 hingga 7 November ini.

Penganjuran seminar oleh PPNT dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan Malaysia akan diadakan di Primula Beach Hotel selama dua hari.

Pengerusi TEMCO 2012, Encik Alex Lee Yun Ping, berkata, seminar yang kali ketiga diadakan ini akan memberi tumpuan terhadap usaha memartabatkan sektor pelancongan di negeri ini khususnya dan membincangkan idea-idea praktikal serta mencari penyelesaian yang memberi inspirasi kepada perubahan positif dalam sektor Eko & Pelancongan Marin.

“Setakat ini 100 peserta telah mendaftarkan diri dan penambahan peserta dijangka akan berlaku sekaligus mencapai matlamat kami iaitu 120 orang peserta.

“Peserta yang bakal hadir terdiri daripada individu yang berkait rapat dengan sektor pelancongan antaranya pengusaha-pengusaha produk pelancongan serta wakil dari kerajaan negeri,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, pelbagai topik menarik yang bakal dibincangkan sepanjang seminar ini berlangsung, termasuk potensi pembangunan Tasik Kenyir, pembentangan kertas kerja oleh penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta perbincangan meja bulat kalangan usahawan eko-pelancongan di negeri ini.

“Selain memberi pemahaman berkaitan pelancongan lestari kepada masyarakat, penganjuran seminar sebegini juga dapat menggalakkan mereka melibatkan diri dalam sektor Eko & Pelancongan Marin seperti menyediakan homestay, kampungstay serta menceburi bidang penyewaan bot pelancongan untuk snorkeling, menyelam dan belayar.

“Selain itu, ianya juga bertujuan untuk mencadangkan peningkatan dan penambahbaikan dalam sektor Eko & Pelancongan Marin tanpa mengganggu ekosistem dan alam sekitar di Terengganu,” ujar beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato' Haji Abdul Rahin Mohd Said bakal menyempurnakan majlis perasmian seminar pada kali ini.


Terengganu tuan rumah mesyuarat agung veteran Umno

Oleh:Noraini Jusoh

Terengganu bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan Veteran UMNO ke-5 yang dijadualkan berlangsung di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu pada 9 hingga 11 November ini.


Ahli Jawatankuasa Veteran UMNO negeri, Puan Rokiah Jusoh, berkata lima orang veteran dipilih dari setiap bahagian dan dianggarkan kira-kira 500 orang dari seluruh Malaysia akan hadir pada mesyuarat agung kali ini.

“Tujuan utama mesyuarat agung ini diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim serta berkongsi pengalaman antara sesama ahli.

“Pada tahun lepas, Perak telah menjadi tuan rumah dan kini sampai giliran negeri kita, justeru pihak kami sangat berbangga kerana dapat memperkenalkan Terengganu kepada rakan-rakan veteran yang bakal hadir nanti,” ujarnya ketika ditemui Teganukita selepas mesyuarat jawatankuasa pengelola peringkat negeri, hari ini.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa pengelola yang diadakan adalah untuk membincangkan mengenai perkara-perkara berkaitan Mesyuarat Agung Tahunan Veteran UMNO 2012 agar pada hari kejadian nanti semuanya berjalan lancar.

Menurut Puan Rokiah, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti untuk veteran yang hadir antaranya jamuan makan dan mereka akan dibawa melawat sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.

“Dalam perkembangan lain, ahli veteran UMNO Terengganu yang keahliannya terbuka kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas sentiasa membantu jentera parti yang lain dalam memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berpihak kepada Barisan Nasional (BN),” tambahnya.



MB hadir Majlis Permuafakatan Pelajar SPM dan STPM

Oleh : Amirullah Othman 


Terengganu sememangnya telah diketahui umum tentang kehebatannya di bidang pendidikan yang mana setiap tahun menjadi juara dalam pepriksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Ini merupakan berkat kerja kuat Kerajaan Negeri Terengganu, guru-guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri. Seramai 1600 pelajar dan ibu bapa dalam daerah Marang tidak melepaskan peluang untuk bertemu mesra dengan YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dewan Majlis Daerah Marang hari ini.

Majlis ini turut dihadiri Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Alor Limbat, YB Haji Alias Abdullah; Pegawai Daerah Marang; Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu; Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, Pegawai Pelajaran Daerah Marang dan ketua-ketua jabatan.

Menteri Besar berharap tahap pendidikan pelajar dalam daerah Marang akan terus meningkat daripada hasil usaha 3,000 guru dalam daerah Marang jika dapat mainkan peranan dengan betul.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Terengganu amat fokus dan menitikberatkan pelajaran anak-anak dan ia terbukti apabila setiap bajet dibentangkan satu jumlah yang besar di peruntukkan bagi sektor pendidikan.

“Kerajaan negeri banyak menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada pelajar-pelajar termasuklah e-book dan biasiswa serta bantuan permulaan kepada calon-calon yang dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA,IPTS dan sekolah berasrama penuh,” katanya.

Beliau berharap Ibu bapa dan para pelajar dapat bersyukur kepada Allah s.w.t dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan.

 

Jangan pinggirkan tulisan jawi

Oleh; Esah Abdullah

Masyarakat tidak harus pandang rendah terhadap tulisan jawi sebaliknya perlu mempelajari dan menguasai bahasa al-Quran itu,” kata Haji Hamdan A. Rahman, 73, penerima trofi penghargaan Penggiat Jawi dan Khat Kebangsaan 2012.

 “Kita perlu menguasai tulisan jawi kerana ia bukan saja melambangkan budaya orang Melayu juga merupakan sebahagian seni khat,” katanya ketika ditemui di majlis Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu baru-baru ini.

Katanya, bukan tidak ramai yang tahu berbahasa jawi tapi perlu menambah bilangannya di samping perbanyakkan bahan-bahan bacaan jawi untuk menarik minat generasi mempelajarinya dan jika ini berlaku pasti ia saling melengkapi.

Haji Hamdan yang beraal dari Batu pahat, Johor merupakan pakar dalam bahasa Melayu dan tulisan jawi sejak 1970 dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang bahasa Melayu dan Linguistik di Universiti Kebangsaan Malayia.

Turut berpengalaman menjadi pensyarah dalam bidang yang sama di Universiti Brunei Darussalam, Kementerian Pendidikan Brunei dan Prince Of Songkhla University, Thailand.

“Saya harap generasi hari ini tidak meminggirkan tulisan jawi kerana penguasaan bahasa berkenaan akan meningkat bahasa dan tamadun Melayu,” katanya.

Seorang lagi menerima penghargaan yang sama ialah Nik Muhammad Nik Abdul Kadir 30, berkelulusan sarjana dalam bidang Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah mengembangkan penggunaantulisan jawi melalui kaedah IT.

Beliau telah membangunkan e-jawi yang boleh digunakan secara percuma sejak 2006 lagi dan turut membangunkan enjin terjemahan rumi-jawi sebagai ‘plugin’ yang boleh digunakan untuk mana-mana sistem web aplikasi yang memerlukan penggunaan tulisan jawi secara pantas.

“Saya juga telah membangunkan keyboard jawi maya (multilingual virtual keyboard) untuk Mynic Berhad (.my Domain Registrar) pada 2008-2009,” katanya.

Dua yang lain turut terpilih menerima trofi berkenaan ialah Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Haji Mohamed Yusof Abu Bakar berkelulusan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Al-Kaherah, Mesir dan Encik Gan Awang @Abdullah Baliseh yang merupakan pengiat tulisan jawi berbangsa Cina.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Dato’ Raslin Abu Bakar telah menyampai trifi penghargaan kepada tokoh tulisan jawi berkenaan.

 

Pembangunan tergendala diteruskan, beri mandat kepada BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno di Marang merayu penduduk di Parlimen itu serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Bukit Payong mengembalikan mandat mentadbir kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti bagi memastikan pembangunan yang tergendala dapat diteruskan semula.

Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berkata itulah realiti yang terpaksa dihadapi kini apabila bandar Marang yang terletak di DUN Rhu Rendang antara kawasan yang paling mundur dalam aspek pembangunan, malah segala yang dikecapi hari ini sekadar sumbangan `ehsan’ daripada Kerajaan Pusat.

“Peruntukan dari aspek bantuan dan menyediakan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri kepada rakyat mungkin sama sebagaimana kawasan lain, tetapi banyak pembangunan yang mahu dilaksanakan Kerajaan Pusat seperti Kolej Matrikulasi yang diluluskan sebelum PRU12 dan dipercayai sudah ada kontraktor, terbengkalai selepas Parlimen Marang jatuh ke tangan Pas,” katanya.

 Selain Kolej Matrikulasi, Pusat Kesihatan Marang, Pejabat Pelajaran Daerah Marang, Pejabat Gunasama Persekutuan, Mahkamah Majistret, Pejabat Pendaftaran Negara, Sekolah Menengah Sains dan Mini Stadium yang mana semuanya sudah ditentukan kawasan bagi pembangunan projek oleh Kerajaan Pusat itu gagal diteruskan.

 “Pendek kata semua pejabat kerajaan dan agensi berkenaan sudah ada peruntukan dan tanah masing-masing, serta hanya menunggu untuk dibangunkan sahaja. Tetapi malang sekali, peranan wakil di peringkat Parlimen gagal meneruskan kesinambungan perjuangan membangunkan Marang serta Rhu Rendang sendiri,” ujarnya.

Katanya, penduduk Marang terutama Rhu Rendang perlu berubah supaya zaman kegemilangan ketika Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal (1999-2008), pelbagai projek berjaya dilaksanakan dengan lancar oleh Kerajaan Pusat.

Menurutnya, Bangunan Mara, jeti pendaratan ikan, projek mendalamkan muara sungai Marang, Institut Latihan Perindustrian, Institut Latihan Belia, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan Institut Latihan FRU antara pembangunan yang sempat dibangunkan sepanjang tempoh itu.

 Menurut Dato’ Abdul Rahman yang juga `The Giant Killer’, persefahaman dan hubungan baik antara pucuk pimpinan negeri dan negara membolehkan setiap projek pembangunan untuk manfaat rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.

 Katanya, banyak pembangunan yang sudah dirangka untuk faedah rakyat Marang, kini `terawan-awan’ selepas `tiada keserasian’ di kalangan pemimpin peringkat Parlimen dan DUN Rhu Rendang dengan Kerajaan Pusat.

 “Ketika era pentadbiran saya sebelum ini, banyak pembangunan yang saya nekad mahu jayakan di Marang termasuklah sekolah, masjid, surau, jalan raya, balai raya, klinik, Institut Latihan Perindustrian (ILP), kem tentera dan juga Hospital Marang.

 “Saya juga bercita-cita untuk mewujudkan universiti, kawasan industri dan perumahan untuk rakyat sama ada kos rendah dan sederhana. Walaupun kita sudah bangunkan perumahan, namun belum mencukupi untuk menampung keperluan penduduk,” katanya.

Selain itu, beliau juga merancang untuk menaiktaraf jalan raya dengan melebarkan lorong sedia ada serta mewujudkan bandar baru di Kampung Laut (Bukit Payong) yang akan menempatkan pelbagai kemudahan seperti terminal bas, kereta sewa dan perkedaian sebagai alternatif baru bagi mengurangkan kesesakan aliran trafik di Bandar Raya Kuala Terengganu.

Menurutnya, pihaknya juga berhasrat mewujudkan kawasan ladang ternak dan pertanian yang lebih efisyen di belakang Penjara Merchang selain Pasar Borong Bukit Payong yang berperanan memberi lonjakan baru kepada sektor ekonomi, sekali gus dapat dimanfaatkan seluruh penduduk Marang.

“Prasarana sukan seperti gelanggang futsal, pusat sukan dan stadium mini di Bukit Kor juga akan dibangunkan bagi memastikan golongan muda mempunyai kemudahan beriadah dan bersukan. “Pejabat Bersepadu Persekutuan yang akan memayungi pelbagai agensi dan jabatan di bawah satu bumbung di Bukit Kor (Rhu Rendang) pula antara nadi utama pembangunan di Marang dan ia amat penting untuk warga Marang,” katanya.

 Selain mewujud ILP dan universiti dan menaiktaraf lebih banyak sekolah rendah dan menengahi, Dato’ Abdul Rahman juga mengimpikan Sekolah Imtiaz serta Maktab Rendah Sains Mara dapat dibina di parlimen itu jika rakyat mengembalikan mandat mentadbir kepada BN pada PRU nanti.

 

Lebih ramai umat Islam kini mampu tunai ibadat korban

Oleh:Noraini Jusoh 

Keadaan ekonomi negara yang kukuh dan didokong oleh sebuah kerajaan yang stabil membolehkan ramai umat Islam di negara ini mampu menunaikan ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha yang baru saja diambut umat Islam di seluruh dunia.

Gambar hiasan

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat (gambar) berkata, pada tahun 80-an tidak ramai umat Islam di negara ini yang mampu untuk melaksanakan ibadah korban kerana pendapatan isi rumah ketika itu sangat rendah.

“Walaupun harga lembu, kambing dan biri-biri ketika itu murah berbanding sekarang, faktor kewangan menyukarkan mereka melaksanakan ibadah ini.

“Walau bagaimanapun keadaan tersebut telah berubah kerana masyarakat hari ini telah ramai yang berkemampuan dan mempunyai kesedaran untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik,” ujarnya.

Menurut beliau, faktor kesedaran, kemampuan dan memahami konsep korban itu sendiri merupakan elemen penting bagi seseorang itu sekiranya ingin melakukan ibadah korban.

“Apabila membelanjakan apa yang dimiliki untuk membantu golongan yang memerlukan, kita perlulah ikhlas agar apa yang kita lakukan itu akan diberkati Allah S.W.T begitu juga dengan ibadah korban ini,” katanya.

Katanya, umat Islam di negara ini perlu bersyukur dengan segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. termasuk dikurniakan kerajaan dan pemimpin yang bertanggungjawab dan sentiasa mengambil inisiatif bagi menegakkan syiar Islam.

Di negeri Terengganu, kata beliau selain ibadat korban yang dilakukan secara individu, pihak kerajaan negeri dan pemimpin kerajaan turut menganjurkan ibadat tersebut di serata tempat di seluruh negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mendedahkan masyarakat mengenai ibadah korban serta menyediakan sejumlah peruntukan untuk penduduk setempat mengadakan aktiviti gotong-royong menyediakan daging korban di kawasan masing-masing.

“Melalui ibadat korban ini kita berharap ia dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai erti korban yang sebenar bagi umat Islam, khususnya kepada umat Islam di Terengganu,” katanya.