Halaman

30 October 2012

Operasi tangkap tikus sudah bermula

Operasi Menangkap Tikus di kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dimulakan sejak 7 Oktober lalu, bagi membanteras pelbagai penyakit yang berpunca daripada haiwan tersebut.

Melalui kempen besar-besaran itu, orang ramai boleh menuntut ‘habuan’ RM2 bagi seekor tikus yang berjaya ditangkap di sekitar bandar ini.

Mereka perlu membawa haiwan perosak itu ke kaunter yang dikhaskan MBKT bagi menuntut hadiah yang disediakan.

Insiatif tersebut disediakan sebagai pendorong kepada orang ramai untuk terus memburu haiwan berkenaan yang dikatakan semakin membiak di sekitar kawasan bandar. MBKT menyediakan kaunter di lima kawasan bagi membolehkan orang ramai menghantar tikus yang ditangkap dan menuntut bayaran.

Antara kawasan tersebut ialah tempat letak kereta Pasar Borong Gong Pauh dan Pasar Cabang Tiga, Dewan Tunku Abdul Rahman dan pejabat cawangan MBKT di Gong Badak.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata program tersebut dilaksanakan bagi mendidik dan mendedahkan warga MBKT supaya menjaga kebersihan persekitaran agar bebas daripada ancaman tikus serta tempat pembiakan aedes.

“Kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku seperti terdapat kematian berpunca daripada air kencing tikus dan penyakit berjangkit lain.

“Berdasarkan permerhatian, haiwan ini banyak berkeliaran di kawasan tertentu terutama dalam longkang, di lorong-lorong bangunan dan sebagainya,” katanya.