Halaman

03 November 2012

Jalan Baru Hubung Dungun – Tembeling

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri akan memberi komitmen penuh dalam usaha merealisasikan pembinaan jalan raya baru yang menghubungkan dua negeri antara Hulu Dungun, di sini dengan Hulu Tembeling di Pahang.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, usaha telah digerakkan melalui beberapa siri perbincangan antara beberapa wakil rakyat dari Terengganu dan Pahang.

“Akan ada perbincangan selepas ini sebelum kita mengangkat permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk pertimbangan, kajian terperinci dari segi kos pembinaan dan kelulusan.

“Prasarana sejauh 24 kilometer ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan pedalaman terutama sektor pertanian dan pelancongan di kedua-dua kawasan,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan One Stop Centre Pemuda UMNO Kampung Shukor, Hulu Dungun di sini semalam yang turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh dan Ketua UMNO Dungun, Datuk Rosli Mat Hasan.

Hadir sama, Exco Kerajaan negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib, Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharuddin dan Ketua Pemuda UMNO Dungun, Azhar Jambol.

Dato’ Seri Ahmad memberitahu, jaringan jalan raya berkenaan mampu merancakkan sektor pelancongan kawasan itu seperti tarikan Air Terjun Chemerong, Cengal Besar dan Homestay Pasir Raja.

“Kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan tanah seluas 200 ekar untuk projek nangka madu secara berkelompok di Pasir Raja.

“Kawasan seluas antara 200 hingga 300 ekar lagi akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri bagi rancangan tanah berkelompok untuk pertanian dan penempatan bagi golongan muda,” jelasnya.



Sejurus selepas itu, Ahmad menziarahi bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd. Baru Abas yang keuzuran serta meninjau tempat hakisan banjir di kampung berkenaan.