Halaman

01 November 2012

Borang untuk bekas tentera tidak berpencen diedar hari ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cawangan Kelantan dan Terengganu akan mengedar 50,000 keping borang permohonan untuk bekas tentera tidak berpencen di kedua-dua negeri itu bermula hari ini.

Pengarah JHEV Cawangan Kelantan dan Terenganu, Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman, berkata pihaknya menganggarkan terdapat kira-kira 12,000 bekas tentera tidak berpencen di Terengganu dan 32,000 orang di Kelantan.

"Namun, jumlah sebenar hanya diketahui apabila mereka ini tampil untuk mendapatkan borang permohonan yang akan melayakkan mereka menerima sumbangan RM1,000 seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dalam pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini.

 "Sehubungan itu, jabatan berharap agar semua bekas tentera tidak berpencen ini supaya mengambil borang yang mula dikeluarkan esok dan tamat pada 30 Nov ini," katanya.

 Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat prosedur sumbangan itu kepada ketua-ketua cawangan daerah dan anggota jawatankuasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.