Guru seharusnya mempertingkatkan hubungan dua hala dengan murid yang tidak terbatas sebagai pengajar semata-mata, sebaliknya perlu menganggap diri mereka sebagai rakan dan pembimbing kepada murid-murid.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata hubungan antara guru dan murid hendaklah dipertingkatkan agar perbincangan guru dengan murid bukan hanya terhad kepada isu-isu pelajaran semata-mata malah lebih luas kepada masalah kehidupan seharian mereka.
“Guru sebagai ejen sosialisasi dalam masyarakat hendaklah merealisasikan tugas mulia pendidik kerana ia dilihat sama penting dengan peranan ibu bapa ke arah melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan kecerdasan minda, emosi dan juga spiritual (IQ, EQ dan SQ).
“Sejak sekian lama, institusi pendidikan telah memainkan peranan dalam mencorakkan kualiti moral dan akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh masyarakat,” katanya di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Menteri Besar berkata, melalui sistem pendidikan, murid-murid akan melalui proses sosialisasi moral dan proses pembesaran yang diorientasikan dan diperkukuhkan dengan pelbagai tanggungjawab sosial.
Katanya, pembangunan serta perubahan sosial dalam masyarakat memerlukan penyesuaian sistem pendidikan di sekolah bagi memenuhi keperluan murid-murid sesuai dengan perkembangan persekitaran.
“Memang tidak dapat dinafikan bahawa menguasai kemahiran intelek merupakan kunci kejayaan individu, namun perkembangan manusia yang sempurna memerlukan penguasaan emosi dan insaniah sejajar dengan kepentingan akademik,” katanya.