Halaman

30 October 2012

NGO diminta proaktif bantu masyarakat


Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh menyampaikan daging korban kepada pelajar PDK Jertih

Oleh: Mohammad Ishak 

Badan Bukan Kerajaan (NGO) diminta proaktif melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dengan memberi tumpuan lebih kepada komuniti dan penduduk setempat.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, tanggungjawab dan perananan NGO terutama persatuan belia perlu berubah dengan meemberi fokus kepada kegiatan yang boleh membantu masyarakat.

Katanya, pertubuhan belia seperti MAYC yang masih aktif menjalankan aktiviti untuk belia dilihat satu pertubuhan sukarela yang mampu bergabung tenaga dengan pertubuhan lain termasuk menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya dapat membabitkan diri dengan penduduk kampung.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan oleh MAYC Besut satu contoh baik kerana meempelbagai aktiviti antara golongan belia dan masyarakat di daerah itu.

“Malah saya amat tertarik dengan MAYC Besut yang turut mengadakan aktiviti bersama Kelas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kerana ia mendekati golongan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya,” katanya. A Rahim berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mesra Komuniti Bersama Pemimpin anjuran MAYC Besut di perkarangan PDK Jertih, semalam.

Pada majlis itu MAYC Besut menyumbangkan sekor lembu untuk dijadikan korban kemudian diagihkan kepada keluarga OKU yang belajar di kelas berkenaan.

Pengerusi MAYC Besut Wan Adilah Wan Awang berkata seramai 60 kanak-kanak OKU yang belajar di kelas terbabit turut diraikan dengan jamuan tengahari dan pengagihan daging korban kepada mereka.