Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

29 October 2012

Pembangunan tergendala diteruskan, beri mandat kepada BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno di Marang merayu penduduk di Parlimen itu serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Bukit Payong mengembalikan mandat mentadbir kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti bagi memastikan pembangunan yang tergendala dapat diteruskan semula.

Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berkata itulah realiti yang terpaksa dihadapi kini apabila bandar Marang yang terletak di DUN Rhu Rendang antara kawasan yang paling mundur dalam aspek pembangunan, malah segala yang dikecapi hari ini sekadar sumbangan `ehsan’ daripada Kerajaan Pusat.

“Peruntukan dari aspek bantuan dan menyediakan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri kepada rakyat mungkin sama sebagaimana kawasan lain, tetapi banyak pembangunan yang mahu dilaksanakan Kerajaan Pusat seperti Kolej Matrikulasi yang diluluskan sebelum PRU12 dan dipercayai sudah ada kontraktor, terbengkalai selepas Parlimen Marang jatuh ke tangan Pas,” katanya.

 Selain Kolej Matrikulasi, Pusat Kesihatan Marang, Pejabat Pelajaran Daerah Marang, Pejabat Gunasama Persekutuan, Mahkamah Majistret, Pejabat Pendaftaran Negara, Sekolah Menengah Sains dan Mini Stadium yang mana semuanya sudah ditentukan kawasan bagi pembangunan projek oleh Kerajaan Pusat itu gagal diteruskan.

 “Pendek kata semua pejabat kerajaan dan agensi berkenaan sudah ada peruntukan dan tanah masing-masing, serta hanya menunggu untuk dibangunkan sahaja. Tetapi malang sekali, peranan wakil di peringkat Parlimen gagal meneruskan kesinambungan perjuangan membangunkan Marang serta Rhu Rendang sendiri,” ujarnya.

Katanya, penduduk Marang terutama Rhu Rendang perlu berubah supaya zaman kegemilangan ketika Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal (1999-2008), pelbagai projek berjaya dilaksanakan dengan lancar oleh Kerajaan Pusat.

Menurutnya, Bangunan Mara, jeti pendaratan ikan, projek mendalamkan muara sungai Marang, Institut Latihan Perindustrian, Institut Latihan Belia, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan Institut Latihan FRU antara pembangunan yang sempat dibangunkan sepanjang tempoh itu.

 Menurut Dato’ Abdul Rahman yang juga `The Giant Killer’, persefahaman dan hubungan baik antara pucuk pimpinan negeri dan negara membolehkan setiap projek pembangunan untuk manfaat rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.

 Katanya, banyak pembangunan yang sudah dirangka untuk faedah rakyat Marang, kini `terawan-awan’ selepas `tiada keserasian’ di kalangan pemimpin peringkat Parlimen dan DUN Rhu Rendang dengan Kerajaan Pusat.

 “Ketika era pentadbiran saya sebelum ini, banyak pembangunan yang saya nekad mahu jayakan di Marang termasuklah sekolah, masjid, surau, jalan raya, balai raya, klinik, Institut Latihan Perindustrian (ILP), kem tentera dan juga Hospital Marang.

 “Saya juga bercita-cita untuk mewujudkan universiti, kawasan industri dan perumahan untuk rakyat sama ada kos rendah dan sederhana. Walaupun kita sudah bangunkan perumahan, namun belum mencukupi untuk menampung keperluan penduduk,” katanya.

Selain itu, beliau juga merancang untuk menaiktaraf jalan raya dengan melebarkan lorong sedia ada serta mewujudkan bandar baru di Kampung Laut (Bukit Payong) yang akan menempatkan pelbagai kemudahan seperti terminal bas, kereta sewa dan perkedaian sebagai alternatif baru bagi mengurangkan kesesakan aliran trafik di Bandar Raya Kuala Terengganu.

Menurutnya, pihaknya juga berhasrat mewujudkan kawasan ladang ternak dan pertanian yang lebih efisyen di belakang Penjara Merchang selain Pasar Borong Bukit Payong yang berperanan memberi lonjakan baru kepada sektor ekonomi, sekali gus dapat dimanfaatkan seluruh penduduk Marang.

“Prasarana sukan seperti gelanggang futsal, pusat sukan dan stadium mini di Bukit Kor juga akan dibangunkan bagi memastikan golongan muda mempunyai kemudahan beriadah dan bersukan. “Pejabat Bersepadu Persekutuan yang akan memayungi pelbagai agensi dan jabatan di bawah satu bumbung di Bukit Kor (Rhu Rendang) pula antara nadi utama pembangunan di Marang dan ia amat penting untuk warga Marang,” katanya.

 Selain mewujud ILP dan universiti dan menaiktaraf lebih banyak sekolah rendah dan menengahi, Dato’ Abdul Rahman juga mengimpikan Sekolah Imtiaz serta Maktab Rendah Sains Mara dapat dibina di parlimen itu jika rakyat mengembalikan mandat mentadbir kepada BN pada PRU nanti.