Halaman

02 November 2012

15,400 pesakit tunggu pemindahan buah pinggang

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 15,400 orang pesakit sedang menunggu pemindahan buah pinggang di negara ini manakala tiga orang menunggu bagi pemindahan jantung dan seorang menunggu pemindahan paru-paru sehingga Julai tahun ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Terengganu (Bahagian Perubatan), Dr. Mohamad Omar berkata, dalam senarai menunggu itu terdapat kalangan rakyat Terengganu.

“Ada yang menunggu organ ini berbulan-bulan, bertahun dan yang menyedihkan apa yang ditunggu tidak tiba kerana tiada penderma yang sesuai,” katanya di majlis perasmian Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud telah merasmikan kempen berkenaan. Turut hadir Timbalan Pengarah Klinikal 1, Hospital Sultanah Nur Zahirah )HSNZ), Dr Nor Azimi Yunus dan Pengerusi Tissue and Organ Procurement Team HSNZ, Dr Aisai Abdul Rahman.

Katanya, situasi yang sedih ini dapat diatasi sekiranya kita sama-sama menghulurkan bantuan dengan membuat ikrar pendermaan organ.

Tambahnya, seorang penderma boleh menyelamat beberapa orang pesakit yang berbeza seperti buah pinggang, jantung, hati dan paru-paru yang dapat memberi manfaat kepada kepada mereka yang memerlukan bagi meneruskan kehidupan.

“Setakat 31 Ogos tahun ini seramai 200,796 orang pengikrar penderma organ di negara ini dan dalam tempoh berkenaan sebanyak 378 pendermaan organ telah dilakukan,” katanya.

Beliau seterusnya meminta orang ramai mendapat maklumat dan informasi yang betul berkaitan pendermaan organ di mana Kementerian Kesihatan telah menerbitkan risalah berkaitan pendermaan organ dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga mengedar risalah mengenainya mengikut perspektif Islam.