Halaman

01 November 2012

JKM sedia peruntukan RM630,000 hadapi banjir

Oleh: Noraini Jusoh 

Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan kira-kira RM630 ribu sebagai persediaan menghadapi ancaman banjir tahun ini.


Pengarah JKM, Encik Zuhami Omar berkata, peruntukan tersebut bertujuan untuk membeli barangan keperluan harian untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir nanti.

“JKM akan menyediakan keperluan asas seperti beras, gula selain menyediakan selimut, tikar dan tuala untuk mangsa-mangsa banjir,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Barang-barang tersebut akan dihantar ke 110 pusat pangkalan hadapan di seluruh daerah di negeri Terengganu, terutamanya kawasan-kawasan yang biasa dilanda banjir.

"Jika dahulu Kuala Berang antara tempat yang selalu dilanda banjir tetapi kini keadaan sudah berubah dan fenomena banjir sukar diramal akan melanda kawasan mana, justeru pihak kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga," ujarnya.

Beliau berkata, tahun ini 353 buah pusat pemindahan terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid dan surau yang dapat menampung hampir 49 ribu mangsa banjir disediakan di seluruh negeri ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian banjir di kawasan mereka agar pihak berwajib dapat menghulurkan bantuan dengan kadar segera.