Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

01 November 2012

Umno siap siaga hadapi PRU 13

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umno Terengganu siap siaga dalam semua aspek bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU), termasuk menggerakkan jentera pilihan raya di setiap peringkat dan menyediakan bilik gerakan di semua peti undi, bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).



Penelitian terperinci panel hakim bagi Pertandingan Kecemerlangan Kesiapsiagaan Peti Undi Negeri Terengganu, mendapati jentera parti Umno telah melakukan persiapan rapi dan teratur serta moral dan keyakinan petugas menghadapi PRU 13 berada pada tahap maksimum.

Malah, lebih membanggakan apabila panel tersebut mendapati peti-peti undi Umno di seluruh negeri telah membuat bacaan sikap pengundi di kawasan masing-masing secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti pengundi luar, bagi rujukan pucuk pimpinan parti.


Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata panel hakim itu yang dilantik Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu bagi meneliti persiapan jentera parti di seluruh negeri memulakan tugas mereka di Peti Undi Pasir Akar (DUN Hulu Besut, Bahagian Besut), pada 5 Oktober lalu.

“Bagi mengadili persiapan peti-peti undi berkenaan, peneltian panel hakim ini meilputi persiapan di kalangan kepimpinan Umno dari peringkat cawangan, peti undi, DUN, Bahagian hinggalah kepada Badan Perhubungan Umno Negeri.

“Dalam lawatan di setiap peti undi yang telah ditetapkan, pihak kami turut menilai organisasi yang ada, termasuk sayap-sayap parti, Pemuda, Wanita, Puteri, DUN dan Parlimen,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, panel hakim berkenaan turut menilai portfolio yang diwujudkan di peringkat peti undi bagi mengendalikan urusan pilihan raya seperti jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi, jawatankuasa penerangan, kewangan, perbekalan, ‘polling and counting agent’, keselamatan, pengundi luar dan Ketua 5/Ketua 10.

“Panel juga turut menilai persiapan dari segi penyediaan perayu-perayu undi, gerak mesra, Teknologi Maklumat (IT) dan tugas-tugas khas,” tambah beliau.

Haji Shamsuddin berkata, bagi menjayakan pertandingan itu lapan peti undi dipilih bagi mewakili lapan bahagian iaitu Pasir Akar (Besut), Tempinis (Setiu), Sekayu (Hulu Terengganu), Jeram (Kuala Nerus), Bukit Besar (Kuala Terengganu), Atas Tol (Marang), AMBS (Dungun) dan Beris Meraga (Kemaman).

“Panel hakim melawat peti undi terakhir semalam iaitu peti undi Sekayu di Kampung Durian Bador yang terletak dalam DUN Telemong dan Bahagian Hulu Terengganu,“ katanya.

Beliau berkata, panel penilai pertandingan kali ini lebih menarik kerana selain dianggotai Badan Perhubungan Umno Negeri, ianya turut disertai sama oleh wakil dari empat agensi kerajaan iaitu Ukom, Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Jasa dan Kemas di mana orang yang sama melawat kelapan-lapan peti undi yang dipilih dan proses penghakiman selesai dilakukan selama sebulan ini.

“Dalam hal ini, saya pasti keputusan yang bakal diumumkan nanti adalah adil dan saksama. Pihak panel hakim juga akan membuat keputusan berdasarkan prestasi dan kekemasan persediaan peti undi itu sendiri tanpa dipengaruhi unsur-unsur politik dalaman,” ujarnya.