Halaman

28 October 2012

Mahkamah Syariah selesai 15,000 kes setahun

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) berjaya menyelesaikan 334 kes sebulan atau lebih 15,000 setahun.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya berkata, JKST telah menggunapakai sistem e-nota bicara bagi mempercepatkan perjalanan sesuatu kes.

Katanya, JKST satu-satunya jabatan kehakiman di negara ini menggunakan sistem berkenaan, hasil penghantaran hakim-hakim mengikuti kursus Perundangan Islam di Riyard, Arab Saudi.

“Kita amalkan sistem telus, di mana hakim dibenarkan mengemukakan soalan kepada kedua-dua pihak yang dibicarakan serta nota bicara yang dicatat hakim ini dapat dilihat secara terus oleh defenden dan plaintif pada skrin yang disediakan di hadapan mereka,”katanya.

“Kita sudah melepasi sasaran bila setiap kes yang dibicarakan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan malah ada yang kurang daripada itu,” katanya.

Menurutnya, terdapat sebilangan kecil saja kes yang tertangguh melebihi target jabatan dan perkara ini berpunca daripada masalah peguam dari luar Terengganu.

Tambahnya pengalaman berkursus selama sebulan di Arab Saudi banyak membantu dan membuat penambahbaikan terhadap pelaksanaan kes di negeri ini.

“Dari segi forensif kita lebih baik tetapi dari segi penggunaan teknologi maklumat (ICT) mereka lebih hebat kerana semua bahagian membabitkan perundangan di negara mereka dilaksanakan menggunakan teknologi ICT,” katanya.