Halaman

08 November 2012

200 Pelajar Yayasan Islam Terengganu (YIT) dapat asrama


Anan menyerahkan replika kunci asrama kepada Rozali (kanan)

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 200 pelajar Yayasan Islam Terengganu yang belajar di daerah Besut mendapat kemudahan tempat tinggal yang lebih selesa apabila sebuah bangunan baru bagi menempatkan mereka siap dan beroperasi sepenuhnya sejak September lalu.

Pembinaan bangunan asrama yang mempunyai dua blok bertaraf kolej itu bagi menampung keperluan pelajar yang tidak mempunyai asrama Asrama berharga RM8.3 juta dibina di atas tanah seluas dua hektar yang diwakafkan oleh seorang penduduk dibiayai oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dengan kerjasama Jabatan Wakaf dan Haji (JAWHAR).

Simbolik majlis penyerahan anak kunci asrama berkenaan dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf,Zakat dan Haji, Datuk Anan C Mohd kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Datuk Mohd Rozali Salleh pada yang diadakan di Kampung Gong Kepas,Besut.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof,Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh Jurutera Daerah JKR Besut,Shanini Muhamad.

Asrama berkenaan adalah yang pertama dibangunkan dengan kerjasama JAWHAR dan MAIDAM sebagai rakan strategik untuk membangun umat Islam dalam pelbagai pembangunan terutama pendidikan.

Pihak JAWHAR dan MAIDAM juga merancang untuk melaksanakan lebih banyak projek usaha sama di atas tanaf wakaf yang ada di negeri ini kerana wakaf merupakan instrumen amalan yang terbukti berkesan menjana sikap berdikari masyarakat.

07 November 2012

Yakin rakyat Terengganu setia kepada BN

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda Umno Terengganu yakin rakyat di negeri ini, termasuk di kawasan pembangkang akan terus setia bersama Barisan Nasional (BN) kerana pernah melalui pengalaman perit berada di bawah pemerintahan suatu ketika dulu.

Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahari Baharuddin, berkata rakyat Terengganu tidak akan lupa bagaimana pentadbiran Pas di bawah Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada ketika itu hanya bercakap dan berceramah sepanjang masa dan bukannya melaksanakan apa yang termaktub di dalam manifesto yang dijanjikan.

“Jika mereka melaksanakan amanah dan melunaskan segala janji, takkankan rakyat khususnya pengundi menukar kerajaan negeri dalam sekelip mata sahaja dan mereka hanya memerintah sepenggal sahaja,” katanya.

Katanya, komitmen kerajaan yang ada hari ini pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang cukup prihatin dengan nasib rakyat, tentunya akan menyukarkan lagi tugas pembangkang pada pilihan raya umum nanti.

Menurut beliau bukanlah pihaknya untuk mendabik dada malah jauh sama sekali untuk bersikap angkuh, namun itulah hakikat sebenar yang mana kerajaan pimpinan BN mengambil sikap bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul.

“Dari sudut golongan muda pula, kerajaan negeri hari ini cukup mesra sama sekali. Pelbagai program dilaksanakan oleh kerajaan negeri menerusi agensi mereka termasuklah kita menerusi sayap parti turut mengambil pendekatan yang sama.

Dengan kata lainya golongan muda di negeri ini cukup bertuah. Begitu juga golongan lain yang sama sekali tidak pernah dipinggirkan,” katanya

Pergerakan Pemuda Umno negeri ini akan terus memperhebatkan gerakan dan strategi untuk mendekati golongan muda dalam usaha meyakinkan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju negara.

Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahari Baharuddin, berkata untuk tujuan itu, program serampang dua mata yang sebelum ini telah dilaksanakan dengan jayanya akan terus dipergiatkan lagi setelah ianya menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

 “Pelbagai program seperti seperti kelab permotoran di setiap Parlimen, program kebajikan, kesukanan serta lain-lain program yang menepati cita rasa golongan muda akan diteliti sebaik mungkin.

 “Pendekatan itu penting dalam usaha mendekati anak-anak muda yang merupakan penentu kepada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

 

SUK terajui PBSMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiausaha Kerajaan Terengganu Dato'  Mazlan Ngah diberi kepercayaan menerajui Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) selepas Presidennya Dato' Wan Hisham Wan Salleh berundur pada satu pemilihan jawatankuasa persatuan itu, kelmarin.

Sementara jawatan Timbalan Presiden dan Setiausaha masing-masing kekal disandang, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Aziz Yunus pada pemilihan mesyuarat agung tahunan itu.

Sementara itu, bekas pemain negeri Mohd Nik dan Nor Zaidi Mohamad pula masing-masing dipilih Naib Presiden I dan II.

 Sebanyak lapan lagi dipilih mengisi kerusi anggota jawatankuasa bagi barisan kepimpinan 2012/2013 itu. 

Sementara itu, difahamkan Wan Hisham berundur kerana tidak boleh memberi sepenuh komitmen kepada PBSMT disebabkan terikat dengan tugas lain.

 

Kayu gaharu beri hasil lumayan

Oleh; Esah Abdullah

Terdapat 100 orang petani di negeri ini terlibat dengan projek tanaman gaharu (karas) sama ada dalam bentuk skala kecil atau besar yang melibatkan kawasan seluas 120 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, mereka tidak perlu menyediakan kawasan yang luas kerana setiap 0.4 hektar sudah mampu ditanam sehingga 500 pokok.

“Jika tidak mahu mengusahakan sehingga matang iaitu lima tahun, mereka boleh menjual anak pokok yang mampu mencecah sehingga kira-kira RM300 satu pokok,’’ tambahnya.

Katanya, kayu gaharu merupakan salah satu bahan untuk menghasilkan minyak wangi dan boleh dieksport kerana potensinya yang besar berikutan permintaannya yang tinggi di Asia Barat.

Katanya, selain industri minyak wangi, kayu gaharu turut digunakan untuk membuat perhiasan, tonik minuman, teh dan sabun,

 Manakala di negeri ini gaharu diguna bagi industri minyak wangi dan teh yang dihasilkan melalui daun pokok tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan negeri amat menggalakkan pemilik tanah memajukan tanaman ini kerana potensinya yang besar berikutan permintaannya yang tinggi.

 Beliau kemudiannya menyeru orang ramai yang mempunyai tanah terbiar agar memanfaatkannya dengan tanaman pokok gaharu kerana mampu memberi pulangan lumayan.

 

Derita pesara tentera dapat perhatian JKKK, belia Sekati

Oleh: Aida Abd Rahman

Nasib seorang penduduk yang berasal dari Kampung Sekati, Manir tetap mendapat perhatian wakil penduduk dan pemimpin dari kampungnya apabila menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Belia 4B (M) Cawangan Sekati, kelmarin.


Lawatan ke rumah pesakit berkenaan, Ghazali Awang yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah Wakaf Tengah, Batu Rakit yang menghidap kencing manis dan buah pinggang diketuai Pengerusi JKKK Pulau Sekati, Encik Mohamad @ Awang Abd Rahman.

Ghazali yang juga Orang Kurang Upaya selepas kakinya dipotong akibat penyakit yang dihidapi itu kini terpaksa menyara keluarga dan anak-anak serta membiayai perubatan menerusi wang pencen sebagai pesara tentera.

Turut menyertai lawatan itu, Timbalan Pengerusi JKKK merangkap Ketua Gerakan Belia 4B(M) cawangan itu, Mohd Yassin Embong bersama 10 AJK JKKK dan belia.

Aktiviti menziarahi yang dijalankan setipa bulan itu bertujuan bertanya khabar selain menyampaikan sumbangan hamper dan berusaha mencari saluran yang betul untuk memastikan Ghazali mendapat bantuan yang sewajarnya bagi meringankan bebanan yang ditanggung.

Sebelum ini, penderitaaan yang ditanggung Ghazali turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said yang menyampaikan sumbangan kerusi roda, selain bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

 

NAFAS tubuh bank peladang

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan menubuhkan Bank Peladang bagi kemudahan golongan peladang mendapatkan pinjaman selain meningkatkan pendapatan golongan itu melalui Dana Peladang Kebangsaan (DPK) yang akan dilancarkan pada Disember ini.

Pengurus DPK, Encik Nazwan Fauzan berkata, penubuhan DPK bertujuan mengumpul dan menggembeleng sumber dana ahli Pertubuhan Peladang seluruh negara yang akan digunakan dalam projek ekonomi berdaya maju supaya ahli mendapatkan kemudahan pinjaman daripada dana berkenaan.

Katanya, Nafas mensasarkan dana sebanyak RM700 juta dapat dikumpulkan menjelang 2020.melalui pengumpulan dana sebanyak RM10 sebulan oleh seramai 801,132 ahli daripada 14 Pertubuhan Peladang seluruh negara yang merangkumi 276 kawasan,

Beliau berkata, sehingga kini, Nafas mempunyai ahli seramai 801,132 yang terdiri daripada golongan peladang yang sudah menjadi ahli untuk mencarum sebanyak RM10 sebulan setiap seorang ke dalam dana ini.

 “Melalui pengumpulan dana itu, ia akan dijadikan pinjaman kepada ahli supaya sumber itu boleh disumbangkan semula kepada pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Taklimat Penubuhan dan Operasi DPK di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Encik Shamsuddin Mat Rani dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Encik Sawalluddin Ahmad.

Encik Nazwan berkata, Nafas dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas bagi meningkatkan sosio ekonomi golongan peladang.

Katanya, selain menyahut seruan kerajaan dalam menjayakan transformasi, DPK juga ingin membantu golongan peladang untuk keluar daripada kelompok kemiskinan.

``Jika sebelum ini mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, melalui dana ini diharapkan dapat membantu membaiki dan meningkatkan lagi projek-projek mereka, ia akan sekaigus membawa kepada peningkatan pendapatan peladang kepada RM4,000 hingga RM5,000 sebulan,” ujarnya.

Sementara itu, Nafas mempunyai kilang baja di Gurun, Kedah, mengusahakan Perladangan Sawit di Indonesia, menjadi pembekal input pertanian dan menjadi induk kepada bekalan ayam dan daging kepada institusi kerajaan.

 

Anak anggota Polis terima sumbangan



Oleh: Mohammad Ishak 

Kehidupan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) memerlukan kasih sayang keluarga bagi mempastikan anak berkenaan mempunyai motivasi tinggi dalam menghadapi kehidupan seharian.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak ketinggalan mengambil perhatian berat terhadap anggota polis yang mempunyai anak OKU kerana ia turut menjadi tanggungjawab sosial untuk membantunya.

Sehubungan itu, sembilan anak anggota Polis dari daerah Besut daripada golongan OKU turut menerima bantuan kewangan dan sumbangan hamper yang disediakan oleh PDRM.

Satu majlis penyampaian bantuan dan hamper berkenaaan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di Kampung Raja, dekat Jertih yang dilakukan oleh Ketua Polis Daerah,Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Hadir sama pada majlis itu ialah pegawai kanan polis daerah serta anggota polis yang mempunyai anak OKU.

Kamaruddin berkata, pengagihan sumbangan seperti itu dilakukan setiap akhir tahun kepada anak anggota yang kurang bernasib baik kerana ia sebahagian daripada aktiviti kebajikan pasukan berkenaan.

Menurutnya, sumbangan yang diterima dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu diharap dapat membantu anak-anak anggota selain satu aktiviti sosial yang dilaksanakan oleh PDRM terhadap anggota pasukan dan keluarga.

Beliau berharap, sumbangan berkenaan walaupun tidak seberapa ia akan menjadi suntikan kepada anak-anak serta anggota keluarga terbabit.

Keputusan UPSR diumum 19 November

Keputusan UPSR diumum 19 November Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2012 akan diumumkan pada 19 November ini.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya mengumumkan majlis pengumuman analisis keputusan UPSR akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya, pada hari yang sama.

Calon-calon UPSR boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing di sekolah mereka pada hari berkenaan.

Seramai 23,325 calon di seluruh negeri ini menduduki peperiksaan UPSR pada 11 hingga 13 September lalu.

Sebelum ini, Terengganu mencatat sejarah apabila muncul juara bagi peperiksaan UPSR selama 11 tahun berturut-turut. Seramai 517,1289 calon menduduki peperiksaan UPSR di seluruh negara tahun ini melibatkan 8,284 pusat peperiksaan.


Pembangkang sudah terdesak meraih penyokong

Oleh: Mohammad Ishak 

Kenyataan dua pemimpin pembangkang behubung isu orang Melayu dalam politik dan agama mencetuskan rasa kebimbangan dikalangan rakyat negara ini kerana ia akan menjurus kepada usaha untuk melemahkan perjuangan umat Islam negara ini.

Presiden PAS,Datuk Seri Hadi Awang yang menimbulkan isu dengan merestui orang Melayu menyertai parti DAP manakala Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula dengan kenyataan Melayu tidak perlu dipaksa menerima sebarang agama tertentu.

Kenyataan dua pemimpin pembangkang berkenaan sebenarnya mencetuskan kemarahan rakyat negara ini terutama yang beragama Islam kerana pemimpin berkenaan dilihat cuba menjual “Melayu” dalam dunia moden.

Selain Hadi yang dilihat cuba membunuh bangsa Melayu menerusi kenyataan yang bersifat politik Nurul pula berusaha untuk melupuskan umat Islam dengan kenyataan yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Veteran UMNO Besut, Yusof Kassim berkata, beliau kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang terbabit kerana ia boleh mencetuskan kemarahan orang Melayu

Katanya, pemimpin terbabit sebenarnya sudah terdesak untuk mencari pengaruh di kalangan orang Melayu untuk menyokong parti PAS dan PKR sehingga sanggup menjual maruah bangsa sendiri.

Menurutnya, pemimpin pembangkang kini sangup menipu rakyat kerana terlalu taksub untuk berkuasa sehingga melupakan sejarah dan menghina bangsa sendiri.

“Sejak kebelakangan ini pemimpin Melayu dari pembangkang sanggup melakukan apa sahaja kerana mereka ingin mencari pengaruh dan sokongan daripada rakyat biar pun sanggup mengadai maruah,” katanya.

Oleh itu,kata Yusof veteran UMNO berasa terguris dengan dua kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang kerana mereka sebenar tidak bermaruah dan tidak ada perjuangan untuk membela nasib bangsa dan menegakkan agama Islam.

70 penduduk miskin di Setiu dipilih sertai ternakan kambing

Kerajaan Terengganu mengenal pasti 70 penduduk miskin di Pancor Bederu, Setiu untuk menyertai projek ternakan kambing Boer yang akan dimulakan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) Februari depan. Menteri Besar, Dato’ SeriHaji Ahmad Said berkata 30 lagi penduduk dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin akan menjalani proses temuduga pada Januari ini sebelum layak menyertai projek itu.
"Projek agropolitan berimpak tinggi itu akan disertai 100 peserta dan dijangka memberi pendapatan kira-kira RM1,000 setiap bulan. "Projek ini sangat unik kerana ECER turut membina 100 buah rumah untuk didiami 100 penduduk miskin tegar bagi memastikan mereka selesa sepanjang bekerja di ladang itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) di Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir, kelmarin. Projek Agropolitan ternakan kambing Boer itu adalah projek sosioekonomi bersepadu hasil inisiatif ECERDC yang bermatlamat membasmi kemiskinan di Pantai Timur.