Halaman

08 November 2012

Kakitangan cemerlang PPAT dapat anugerah

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 15 orang kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PPAT 2012, pada majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna PPAT, hari ini.



Sebagai menghargai prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan, setiap seorang daripada mereka menerima wang tunai RM1000, sijil serta cenderamata khas dari PPAT.

Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang turut hadir ke majlis meraikan penerima anugerah yang dinilai berdasarkan prestasi kerja sepanjang tahun 2011 yang lalu.

 Pengarah PPAT, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, dalam ucapannya berharap semua penerima anugerah pada kali ini menjadikan hadiah dan insentif yang diterima sebagai dorongan untuk meningkatkan prestasi kerja pada masa akan datang.

 “Setiap penerima APC akan berpeluang dan diberi keutamaan dalam menghadiri kursus, seminar atau persidangan yang menyumbang kepada peningkatan prestasi kerja serta memajukan kerjaya mereka.

“Selain itu, mereka turut menerima keistimewaan lain seperti berpeluang dicalonkan sebagai penerima pingat, bintang dan darjah kebesaran samada di peringkat negeri mahupun persekutuan,” ujarnya.

 Beliau berharap, seramai 189 kakitangannya yang terdiri daripada 150 orang kakitangan tetap dan 39 yang berjawatan kontrak sentiasa merebut peluang untuk menjadi pekerja cemerlang kerana pelbagai keistimewaan bakal diterima oleh mereka.

Katanya, kakitangan PPAT sangat bertuah kerana dapat menjalankan tugas ditempat yang selesa dan pelanggan mereka juga terdiri daripada golongan terpelajar.

 “Kebanyakkan mereka yang datang ke perpustakaan adalah untuk mencari ilmu, justeru saya berharap anak buah saya sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik supaya imej PPAT sentiasa terpelihara,” katanya.

     

M1angling ungguli Kenyir Cup 2012

Oleh FAUZI MOHD

Kaki pancing daripada Kelab M1angling berjaya mengungguli Kejohanan Memancing Kencir Cup 2012 apabila mendominasi kesemua kategori yang dipertandingkan sejak Sabtu lalu.



Ahli Kelab M1angling yang muncul juara keseluruhan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM48,000 daripada RM108,000 jumlah keseluruhan yang dipertandingkan menerusi kategori tempatan.


Cheang Sai Hong, peserta dari kelab itu dinobatkan juara bagi kategori individu apabila berjaya menaikan ikan siakap seberat 6 kilogram pada hari kedua kejohanan seterusnya meraih wang tunai RM10,000, manakala rakan sepasukannya, Leu Wee Ming ditempat kedua (RM5,000) dan ketiga Mohd Suharai Tengah (RM3,000).


Bagi kategori tangkapan terbanyak juga menjadi milik kelab yang sama setelah Koh Jee Chek mencatatkan jumlah keseluruhan sepanjang 80 sentimeter panjang dan berjaya meraih wang tunai RM3,000, kedua Cheah Hong Fong (RM2,000) serta ketiga Yap Yong Hong (RM1,000).

Manakala bagi kategori ‘Berkley Lure’ dan kumpulan terbaik serta pengendali bot turut menjadi milik M1angling dan meraih hadiah keseluruhan berjumlah RM17,000.

Sementara itu bagi penyertaan peserta luar negera, Zhao Hu muncul juara keseluruhan setelah berjaya menjuarai kategori individu dan ‘Berkley Lure’ dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM13,000.

Zhao Hu menyifatkan kemenangannya itu sebagai ‘bertuah’ kerana ia adalah penyertaan kali pertamanya pada kejohanan yang diadakan di Tasik Kenyir itu.

“Saya pun tidak sangka dapat memenangi dua kategori daripada lima yang dipertandingkan, ini mungkin rezeki saya dan saya akan gunakan wang ini untuk membeli peralatan memancing yang lebih bermutu apabila pulang nanti.

“Pada kejohanan ini saya membawa peralatan memancing sedia ada dari China dan sepanjang kejohanan saya hanya fokus untuk menaikkan sebarapa banyak ikan termampu selain bersabar dengan keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan lebat,” katanya ketika di pada Majlis Penyampaian Hadiah di Hotel Primula malam tadi.



 Menurutnya, dia pastikan akan kembali lagi untuk turut sama menyertai kejohanan ini pada tahun depan dan membawa rakan-rakannya yang lain.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Unit Pembangunan Tasik Kenyir, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.

Untuk rekod, Kencir Cup yang memasuki edisi ketiga sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009 berjaya menarik 187 penyertaan di mana 147 daripadanya merupakan peserta daripada negara China menerusi lima kategori yang dipertandingkan bagi peserta tempatan dan luar negara.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari dan berakhir kelmarin itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri di bawah Jabatan Pelancongan Negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bersempena Tahun Melawat Terengganu 2013.










Nurul Izzah keterlaluan-Dato' Seri Mohd Shafie Apdal

Oleh; Esah Abdullah

Kenyataan Naib Predisen PKR, Nurul Izzah Anwar sudah keterlaluan bila membuat kenyataan bahawa Melayu Islam di negara ini bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Nurul Izzah tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan umat Islam di negara ini.

“Walau pun kita tahu ada kebebasan beragama tetapi ia untuk agama lain bukannya bagi yang ber agama Islam,” katanya kepada pemberita di majlis Penyampaian Kunci Rumah dan Sijil Penghargaan Kursus Latihan Kemahiran di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.

Dato’ Seri Mohd Shafie diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai pada forum ‘Islamic State : Which Version Whose Responsibility’ baru-baru ini.

Ekoran daripada kenyataan itu, Nurul Izzah dikecam hebat oleh pelbagai pihak dan dianggap sebagai cakap politik untuk memancing undi orang bukan Islam menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

 “Kita selaku pemimpin Islam tidak sewajarnya mengeluarkan kata-kata yang boleh mengelirukan rakyat apatah lagi membabitkan agama rasmi di negara ini,” katanya

Menurutnya, menjadi kewajipan pemimpin Islam mengukuhkan dan mempertingkatkan lagi syiar Islam kalangan rakyat agar tidak terpesong.

Malah katanya, jangan disalah erti mengenai kebebasan beragama serta usah bercakap jika tidak mendalaminya tentang maksud kebebasan itu.

 Tambahnya, akidah dan pengangan agama Islam perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bukan dilonggarkan atau ditukarkan.

 

Ikon sukan, Mohd Azlan Iskandar cetus motivasi pelajar SMK Seri Cheneh

Oleh: Aida Abd Rahman



Pelbagai usaha digembleng kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan serta pemimpin setempat bagi meningkatkan motivasi golongan pelajar supaya lebih bersemangat menempuhi alam pendidikan serta mampu meraih kejayaan sekali gus dapat mencorak masa depan yang lebih gemilang.

Terbaru, seramai 100 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Cheneh, Kemaman menerima kunjungan ikon sukan negara bagi acara skuasy, Mohd Azlan Iskandar dalam program motivasi bertemakan `tiada jalan ringkas menuju kejayaan’, yang berlangsung di sekolah itu, pagi ini.

Program dianjurkan pihak sekolah dengan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

Haji Wan Abdul Hakim berkata, kehadiran idola sukan terkenal tanah air yang meraih pelbagai kejuaraan di peringkat antarabangsa khususnya Asia itu sebagai suntikan semangat kepada guru dan pelajar yang berlangsung menerusi interaksi dua hala dan sesi dialog bagi berkongsi pengalaman atlet skuasy itu sejak kanak-kanak dan sepanjang kariernya sehingga kini.

 “Saya berpandangan program ini cukup penting dalam usaha membangkitkan iltizam dan dorongan kepada pelajar serta guru bahawa kejayaan tidak datang bergolek, selain perlu disulami dengan usaha, komitmen dan keyakinan dalam diri.

“Selepas saudari Azlan, mungkin kita akan menjemput idola sukan yang sudah mempunyai nama yang cukup gah di peringkat dunia seperti Datuk Lim Chong Wei (badminton)dan Nicole Anne David (skuasy) sebagai inisiatif merangsang motivasi pelajar kita di sekitar Kemaman,khususnya di DUN Air Putih ini” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata, program itu juga mampu mempromosikan acara skuasy bagi menarik minat pelajar supaya aktif bersukan dan memanfaatkan kemudahan prasarana sukan yang terdapat di Kemaman, kehadiran atlet terkenal itu juga memberi peluang terbaik kepada pelajar berkomunikasi secara langsung berbanding sebelum ini mereka hanya sekadar melihat dan mengetahui perkembangan atlet tersebut menerusi media massa.

Azlan, 30, merupakan atlet kelahiran Sarawak yang berdarah campuran Melayu dan Scotland mula berkecimpung dalam sukan skuasy sejak berusia lapan tahun sebelum bakatnya dikenal pasti bekas ketua jurulatih kebangsaan, Mejar (B) S. Maniam, tiga tahun kemudian.

Beliau kemudian menyertai Program Tunas Gemilang pada 1998 di bawah Institut Sukan Negara, bertujuan mencungkil atlet muda berbakat yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Pada usia 17 tahun, beliau beralih menjadi pemain profesional di Malaysia dan beraksi dalam beberapa kejohanan tempatan.

Ikon sukan negara itu turut meraih 14 kali kejuaraan di Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas melayakkan diri ke pentas final kejohanan itu sebanyak 24 kali ketika menjadi pemain profesional termasuk kejohanan Bluenose Classic di Kanada awal tahun ini dan Terbuka Amerika Utara pada tahun lalu.

Beliau juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 dan juara tiga kali Terbuka Malaysia selain berjaya berada pada kedudukan ke-10 dunia pada 2011.

 

Terengganu terima peruntukan tertinggi untuk latih peladang

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu merupakan antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi di bawah program latihan pembangunan untuk ahli-ahli peladang di negara ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Encik Mohd Naser Harun berkata, negeri Terengganu akan menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi ahli seramai 32, 670 orang.

“Mengikut rekod kita, sebelum ini Terengganu hanya menerima sekitar RM10 hingga RM15 ribu sahaja dan ini merupakan bajet tinggi berbanding tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada Majlis Sambutan Hari Inovasi LPP Negeri Terengganu di Dewan Wawasan, Wisma Peladang, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Encik Shamsuddin Mat Rani dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Encik Sawalluddin Ahmad.

Katanya, LPP memperuntukan RM2 juta bagi menyediakan latihan pembangunan kepada kira-kira 800,000 ahli-ahli pertubuhan peladang seluruh negara tahun depan.

Menurutnya, peruntukan pembiayaan latihan berkenaan turut melibatkan Sabah dan Sarawak serta dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

 “Kita menyediakan peruntukan yang agak lumayan tahun depan untuk latihan ahli-ahli peladang supaya mereka dapat melipatgandakan usaha meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.

 Mengulas lanjut, Encik Mohd Naser berkata, usaha tersebut diselaraskan di seluruh negara bagi menyokong hasrat kerajaan untuk mengeluarkan pemakanan yang cukup dan selamat.

 

Perasmian Masjid Khalifah 16 November

Oleh: Noraini Jusoh dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)


Majlis perasmian Masjid Khalifah Taman Jaya, Jalan Pusara, Kuala Terengganu akan diadakan pada 16 November bersamaan 2 Muharram 1434 Hijrah ini.

Pengerusi Masjid Khalifah, Dato’ Aziz Badli Awang Chik berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian masjid tersebut.

Katanya, keberangkatan Tuanku Sultan akan disambut oleh Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Mohd Rozali Salleh; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Tuan Haji Wan Nawawi Wan Ismail serta Ahli Jawatankuasa Masjid Khalifah Taman Jaya.

“Bermula jam 11.30 pagi dengan ketibaan dif-dif jemputan, majlis akan diserikan dengan bacaan al-Quran oleh qari jemputan.

“Seterusnya diikuti dengan ucapan Menteri Besar, Dato Seri’ Haji Ahmad Said dan acara kemuncak tiba apabila Tuanku Sultan menarik tirai sebagai gimik perasmian,” ujar beliau.

Katanya, Tuanku Sultan juga akan solat Jumaat bersama penduduk setempat dan jamuan rakyat turut diadakan selepas itu.

“Justeru, orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan majlis,” tambah beliau.

 

JPAM buka bilik gerakan 24 jam

Oleh: Noraini Jusoh



Bilik gerakan banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu, akan diaktifkan 24 jam sehari sekiranya banjir melanda negeri ini.

 Anggota JPAM yang bertugas di bilik gerakan banjir di Gong Badak, Syed Ahmad Nakib Syed Idrus berkata, 30 anggota dari jabatan terbabit sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.


“Bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat, kami sentiasa bersedia menolong mangsa banjir tidak kira siang atau malam,” katanya ketika dihubungi Teganukita semalam.

 Katanya, bagi daerah Kuala Nerus antara kawasan berisiko dan selalu dilanda banjir adalah di sekitar Tok Jembal dan Bukit Guntong.

 “Walaupun bencana banjir belum melanda negeri ini, pihak kami telah membuat persiapan rapi termasuk sentiasa memastikan kemudahan logistik berada dalam keadaan terkawal.

 “Bot dan pacuan empat roda perlu sentiasa berada dalam keadaan baik bagi melancarkan operasi menyelamat nanti,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, difahamkan setakat hari ini bencana banjir telah melanda empat buah negeri termasuk Perak, Selangor, Melaka dan Johor.

 

Juara Piala Monsun 2010 rangkul anugerah pelayar terbaik dunia Rolex


Ben Ainslie (GBR) juara Piala Monsun 2010, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu dan Siri Jelajah Match Racing Dunia Alpari menerima anugerah Pelayar Terbaik Dunia Rolex  di Mansion House, Dublin, Ireland, malam tadi.

Sementara Lijia Xu (CHN) juga telah mengalahkan tiga pelayar wanita lain untuk memenangi anugerah tersebut.

Pelayar Terbaik Dunia Rolex ISAF (ISAF Rolex World Sailor of the Year) adalah pengiktirafan anugerah pelayar cemerlang tertinggi dunia pelayaran yang melibatkan sembilan pencalonan, lima lelaki dan empat perempuan bagi anugerah kali ini.

 "Memenangi Anugerah Tahunan Dunia Pelayar Rolex adalah satu penghormatan yang besar, terutamanya kepada mereka yang telah membantu saya.

“ Di sebalik kejayaan ini terdapat satu pasukan yang besar iaitu keluarga, kawan-kawan, jurulatih dan penaja yang membantu merealisasikannya. Ia adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan tersebut, hanya seorang pelayar yang luar biasa tampil menerima anugerah ini, "ulas Ainslie, yang juga merupakan pemenang pingat emas Olimpik sebanyak empat kali.

Ini merupakan anugerah yang keempat diterima oleh Ainsle bermula 1998, 2002 dan 2008. Ainslie adalah pelayar Olimpik paling berjaya sepanjang masa.

 Pencapaian pelayar berusia 35 tahun di Olimpik London 2012 telah melonjak prestasinya dan pencapaiannya kepada lima pingat di pentas Olimpik (empat emas, satu perak), mengatasi Rolex Testimonee Paul Elvstrom (DEN), pemenang empat pingat emas antara 1948 dan 1960.

 Lijia Xu, Laser Radial Pingat Emas di London 2012, menyatakan kegembiraan beliau menjadi atlet Asia yang kedua dinobatkan Pelayar Rolex Tahunan Dunia ISAF.

 "Pelayaran memberi peluang untuk mengejar impian dan menunjukkan potensi saya. Malahan dapat melihat, merasa dan menerokai dunia. Pelayaran membawa saya ke jalan kehidupan yang lebih baik, kehidupan yang penuh tenaga, keghairahan dan pengalaman yang mengembirakan,” kata Lijia.

 

SK Gelugor anjur Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2012

Oleh: Amirullah Othman

Hari penuh gilang-gemilang ini bukan sahaja disambut di sekolah-sekolah besar, tetapi ia turut diadakan di Sekolah Kebangsaan Gelugor Kedai, Kuala Terengganu yang hanya mempunyai 1,200 murid.

Majlis tersebut yang diadakan semalam dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, Ahli Dewan Negara merangkap Pegawai Pembangunan Parlimen Marang.

Seramai 25 pelajar pra-sekolah dihadiahkan satu beg sekolah dan sijil oleh pihak sekolah untuk lemberi semangat kepada mereka memasuki Tahun 1 tahun depan.

Dato’ Abdul Rahman dalam ucapannya menekankan konsep pembelajaran sepanjang zaman supaya bangsa Melayu dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain.

Katanya, bangsa Cina menekankan dalam keluarga mereka mesti ada seorang yang berada di menara gading manakala bangsa India salah seorang dalam keluarganya mesti ada seorang profesional.

“Jika mahukan kejayaan yang cemerlang dalam hidup, setiap keluarga bangsa Melayu mesti ada yang bejaya ke menara gading dan menjadi professional,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Negeri Terengganu dan Malaysia menyediakan bermacam-macam kemudahan untuk meningkatkan mutu pelajaran anak bangsa Melayu.

“Kita harus berterima kasih kepada yang memberi iaitu Kerajaan Terengganu dan Malaysia dengan memberikan sokongan dalam PRU 13 nanti dan bersyukur kehadrat Ilahi kerana kita dapat lahir dalam zaman yang aman di sebuah negara yang begitu hebat ini,’ katanya.

Katanya, ibu bapa juga mesti bersama-sama dengan pihak sekolah untuk memastikan kecemerlangan anak-anak secara berterusan.

 

15 pasukan sertai Regata Monsun 2012

Seramai 180 peserta dari 15 pasukan termasuk dari Singapura dan Thailand akan mengambil bahagian dalam kejohanan perahu layar KFC Regata Monsun 2012 di Pulau Warisan di Kuala Terengganu selama empat hari mulai hari ini.

Kejohanan merupakan acara awal sebelum Piala Monsun diadakan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong mulai 3 hingga 8 Dis ini dan sebahagian acara Bulan Pelayaran Terengganu.

Timbalan Presiden Persatuan Perahu Layar Terengganu (Tesa), Rashid Mohd Nor berkata 13 pasukan tempatan yang mengambil bahagian dalam KFC Regata Monsun ialah dari Sabah, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan skuad kebangsaan.

Sebanyak empat kelas dipertandingkan iaitu optimis bawah 15 tahun lelaki dan perempuan, laser, international 420 dan windsurfing. Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM25,000 ini dianjurkan oleh Tesa dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan ditaja bersama T-Best dan KFC Holding.