Halaman

19 November 2012

Penduduk uzur di Rhu Rendang dapat perhatian pemimpin BN

 Oleh : Amirullah Othman 



Seramai 32 keluarga mewakili 32 cawangan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang melahirkan rasa gembira mereka atas kunjungan dua pemimpin Barisan Nasional (BN), semalam.

Pemimpin berkenaan ialah Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji NikDirNik Wan Ku, yang telah dipertanggungjawabkan oleh BN bagi menjaga kebajikan penduduk di kawasan tersebut.

Keluarga yang dilawati pemimpin berkenaan terdiri daripada golongan uzur dan menghidapi penyakit kronik. Lawatan itu merupakan program rutin pemimpin BN yang sentiasa mendekati rakyat di kawasan tersebut sejak dahulu lagi walaupun ia dikuasai parti pembangkang.

Abdullah Ahmad, 61, dari Kampung Sungai Kerak 2 yang menghidap penyakit lumpuh dan uzur, sangat terharu dengan sikap prihatim kedua-dua pemimpin berkenaan.

“Mereka sangat cakna rakyat di kawasan ini dan penduduk mahu pemimpin begini mewakili kami sebagai wakil rakyat,” katanya kepada wartawan Teganukita.

Seorang lagi pesakit jantung, Rokiah Mohamad, 71, dari Taman Desa Darul Iman, Medan Jaya melahirkan rasa syukur kerana dalam beliau menderita dengan penyakit itu masih ada orang yang sanggup datang menziarahinya.

“Kedatangan pemimpin dari Barisan Nasional ini merupakan satu penghargaan kepada saya dan mereka yang menanggung bermacam-macam penyakit lagi,” ujarnya.

Program sehari bermula jam 8.30 pagi itu dimulakan di Kampung Bandar Marang dan berakhir jam 6 petang di Kampung Batangan.

Dato’ Haji Abdul Rahman melahirkan rasa puas hati kerana telah berjaya mengunjungi kesemua keluarga yang dipilih oleh JKKK di kampung masing-masing, terdiri daripada mereka yang uzur, miskin dan pesakit kronik.

“Menziarahi golongan yang susah dan berpenyakit ini merupakan fardhu kifayah yang dituntut dalam ajaran Islam,” katanya.

 

Empat sekolah Hulu Terengganu terbaik UPSR

Oleh: Aida Abd Rahman

Empat sekolah rendah di Hulu Terengganu tersenarai sebagai 10 sekolah yang merekodkan pencapaian terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012.

Sekolah yang mendahului pencapaian GPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu (1.12), SK Kemat (1.23), SK Teris (1.34) dan SK Kuala Berang (1.37). Sementara SMK Chalok (1.23), SK Kampung Bari Sungai Tong (1.50), SK Kampung Jaya, Setiu (1.51), SK Rantau Petronas,Kemaman (1.51), SK Tepus, Dungun (1.51) dan SK Tok Dor, Besut (1.52).

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin, berkata semua sekolah yang terletak di luar bandar tersenarai sebagai sekolah terbaik berdasarkan nilai GPS berikutan jumlah pelajarnya yang kecil berbanding sekolah terletak di dalam bandar.

“Murid Tahun Enam yang menduduki UPSR di sekolah luar bandar tidak ramai berbanding sekolah di dalam bandar. Oleh yang demikian, pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah khususnya dapat memberi lebih tumpuan kepada murid yang disasarkan mampu mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan itu.

“Oleh itu, sekolah yang kecil dengan jumlah muridnya yang kecil pastinya mempunyai potensi besar bagi menyumbang prestasi dan pencapaian terbaik kepada GPS dan juga Gred Purata Negeri (GPN) secara keseluruhannya,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, pagi ini.

 Hadir sama, Ketua Sektor Akademik JPNT, Haji Zubir Embong.

Encik Zakaria berkata, SK Tapu umpamanya hanya mempunyai 20 murid yang menduduki UPSR dengan 16 daripada mereka berjaya memperolehi keputusan cemerlang yang mencatat A bagi semua mata pelajaran.

Sementara itu, Katanya, SK Paya Bunga yang terletak dalam Bandar Raya Kuala Terengganu pula merekodkan dua daripada 10 murid yang mengambil peperiksaan itu mencapai keseluruhan A bagi mata pelajaran yang diambil.

 “Oleh itu, GPS berkenaan bukanlah menjadi kayu ukur utama yang menggambarkan bahawa pencapaian sekolah di bandar menurun sebaliknya situasi itu perlu dinilai daripada pelbagai aspek termasuk bilangan calon murid,” katanya.

Katanya, pencapaian calon cemerlang (semua A) di bandar dan luar bandar pada tahun ini mengalami penurunan masing-masing sebanyak 2.23 peratus dan 2.05 peratus.

Walau bagaimanapun, peratusan calon yang memperolehi pencapaian baik (minimum C tidak termasuk semua A) di kedua-dua lokaliti berkenaan meningkat, masing-masing 1.11 peratus dan 2.18 peratus.

Menurutnya, daripada pencapaian itu juga menunjukkan pencapaian baik bagi calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon bandar iaitu sebanyak 1.0 peratus.

“Begitu juga dengan dengan peratusan calon yang memperolehi semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum masing-masing telah meningkat sebanyak 0.93 peratus dan 1.49 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa tahap penguasaan minimum calon di bandar adalah lebih berbanding calon di luar bandar dengan beza sebanyak 0.56 peratus,” katanya.

Encik Zakaria berkata, peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan dapat juga dilihat menerusi nilai Gred Purata (GP) yang mengurang iaitu 0.06 bagi bandar dan 0.07 bagi luar bandar, sementara jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar bertambah sebanyak 0.01 mata nilai GP.


Kontraktor diminta mempercepatkan projek

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri meminta kontraktor yang terlibat dengan pembangunan Pulau Bebas Cukai, di Tasik Kenyir Hulu Terengganu supaya menyegerakan projek yang dipertanggunjawabkan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said  melakukan lawatan kerja-kerja pembinaan pembangunan Pulau Bebas Cukai, di Tasik Kenyir Hulu Terengganu
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ada beberapa projek yang agak terlewat dan diharapkan masalah itu dapat di atasi segera.



 Katanya, pembangunan di kawasan itu sepatutnya dapat disiapkan April 2014, sebelum dapat beroperasi sepenuhnya atau merealisasikan sebagai Pulau Bebas cukai pada Ogos tahun sama.

 “Sekarang ini sebanyak 10 projek termasuk prasarana berskala besar sedang berjalan, termasuk Kompleks Bebas Cukai, Kompleks Kastam Pulau Bayas.

“Gedung yang akan menjual barangan berkualiti berkonsepkan Factory Outlet juga sedang berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan bersama kontraktor berkaitan di Pulau Petang, tasik itu semalam.

 Katanya, status Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri dan rakyatnya, terutama penduduk setempat.

 “Kita harap ini akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Terengganu. Selama ini kita anggap Tasik Kenyir sebagai sebuah tasik yang 'tidur' kerana hampir 30 tahun tidak ada kegiatan dan pembangunan, “ katanya.

 




UPSR - Terengganu atasi pencapaian nasional

Oleh: Aida Abd Rahman


Pelajar-pelajar gembira menunjukkan keputusan 5A dalam peperiksaan  UPSR 2012 di Sekolah Kebangsaan Durian Mas II Dungun disini hari ini .

Terengganu terus mengekalkan kesinambungan kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 apabila pencapaian calon di seluruh negeri berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.10.

Pencapaian minimum gred C dan cemerlang semua A bagi semua mata pelajaran turut mengatasi nasional, masing-masing mencatat 0.17 peratus dan 4.28 peratus.


Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin (gambar), berkata enam mata pelajaran berjaya mengatasi pencapaian nasional berdasarkan perbandingan Gred Purata Mata Pelajaran Negeri dengan Gred Purata Mata Pelajaran Nasional.

“Enam mata pelajaran yang mengatasi pencapaian nasional adalah bahasa Melayu (Pemahaman) (SK) (0.06), bahasa Melayu (Penulisan) (SK),  bahasa Melayu (Pemahaman) (SJKC) (0.04), bahasa Inggeris (SK)(0.06), bahasa Inggeris (SJKC) (0.08) dan Sains (0.17).

“Walaupun pencapaian negeri merosot sedikit dengan GPN menurun 0.07 daripada 2.14 (2011) kepada 2.21 tahun ini, peratusan calon yang memperolehi pencapaian baik dengan minimum Gred C, iaitu tidak termasuk semua A bagi semua subjek meningkat sebanyak 1.57 peratus daripada 55.54 peratus pada tahun lalu kepada 57.11 peratus tahun ini,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, pagi ini.

Hadir sama, Ketua Sektor Akademik JPNT, Haji Zubir Embong.

Encik Zakaria berkata, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A menurun sebanyak 2.34 peratus, iaitu daripada 15.56 peratus pada 2011 kepada 13.22 peratus pada tahun ini.

Bagaimanapun katanya, peratusan calon yang memperolehi pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum meningkat sebanyak 1.16 peratus, daripada 2.35 peratus (2011) kepada 3.51 peratus (2012).

Seramai 23,196 murid  merangkumi 22,887 (98.67 peratus) calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 309 (1.33 peratus) calon sekolah swasta yang menduduki UPSR seluruh Terengganu tahun ini .





Doa hancur Umno cermin peribadi buruk pemimpin Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Doa pemimpin dan penyokong Pas yang meminta kehancuran Umno dan Barisan Nasional (BN) mencerminkan peribadi sebenar pemimpin parti itu yang bertentangan dengan ajaran sebenar Islam.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat, berkata tindakan itu juga menunjukkan kerakusan pemimpin Pas untuk menawan Putrajaya dengan apa cara sekalipun walaupun ia menyimpang jauh dari sunnah Rasulullah s.a.w.

“Rasulullah s.a.w sentiasa mendoakan keselamatan dan meminta Allah s.w.t membuka pintu hati mereka yang berbuat jahat kepada baginda supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

“Dalam peristiwa di Thaif, baginda mendoakan keselamatan kepada penduduk di kawasan itu walaupun baginda sendiri dibaling dengan batu,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Pas menganjurkan solat hajat dan mendoakan agar Umno dan BN) dihancurkan, sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat, di Stadium Muhamad, Kota Bharu, Kelantan semalam.

Solat Hajat diimamkan adik Menteri Besar Kelantan, Nik Razi Nik Mat.dengan isi doanya berbunyi "KO BN !! .. KO BN !!...BN KO !!... KO BN !!.. BN KO !!...." itu mengejutkan masyarakat Islam di seluruh negara.

Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, dalam reaksi beliau kepada pihak media turut merestui doa tersebut dan tidak sedikit pun menyalahkan Nik Razi yang membaca doa berkenaan.

YB Kazan berkata, perbuatan pemimpin dan pengikut Pas yang mendoakan kehancuran Umno amat tidak wajar kerana walaupun pemimpin dan pengikut Umno ada melakukan kesilapan, mereka sepatutnya menegur secara hikmah.

“Walaupun pemimpin Umno jahat sekalipun, ia tidak sama dengan Firaun kerana pemimpin Umno masih lagi melakukan kebaikan seperti membina masjid dan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

“Pemimpin Umno masih mendirikan solat, menunaikan haji, melakukan ibadat korban dan macam-macam lagi suruhan agama yang tidak dilakukan oleh orang-orang kafir,” katanya.

Justeru, beliau menyoal di mana letaknya rasional pemimpin Pas mendoakan agar orang-orang Umno dihancurkan seperti Firaun.

“Bagi saya, pemimpin Pas sendiri bukannya baik sangat, jika tidak mengapa mereka dihentam dengan begitu hebat oleh perwakilan parti itu sendiri dalam Muktamar Pas baru-baru ini.

“Dalam Muktamar Pas itu perwakilan mengkritik pemimpin mereka yang bertindak tidak selaras dengan kehendak dan ajaran Islam.

"Ini membayangkan pemimpin Pas turut lalai dan tidak mematuhi ajaran Islam sepenuhnya,” ujar beliau.

YB Kazan berkata, jika pemimpin Pas benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam mereka tidak sepatutnya mengambil tindakan buruk seumpama itu, sebaliknya mengikut jejak langkah Nabi Muhammad s.a.w untuk mendoakan kesejahteraan kepada sesama umat Islam yang boleh dianggap sebagai saudara waalupun mereka melakukan kesilapan.

 

Tindakan Pas terdesak-MB

Oleh: Suriati Ali


 Tindakan Pas menganjurkan solat hajat mendoakan kehancuran Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai terdesak dan jelas menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata sebagai orang Islam tidak sewajarnya berperangai seperti itu di mana mendoakan umat sendiri ditimpa musibah.

 “Islam sendiri tidak menggalakkan kita mendoakan keburukan kepada orang lain dan tindakan mereka ini membuktikan seolah-olah puak itu melakukan kerja-kerja Allah.

“Seperti kenyataan mereka sebelum ini yang sewenang-wenangnya menentukan siapa akan masuk syurga dan siapa yang berdosa,” katanya.

 Katanya, Pas sebenarnya berfikiran celaru dan fakta yang dinyatakan sentiasa berubah, dulu pemimpin mereka pernah menyatakan golongan wanita tidak boleh mengaji al-Quran di khalayak ramai.

 “Pada masa sama wakil rakyat perempuan parti itu memaki hamun orang, berceramah dan fitnah orang di atas pentas, adakah itu tidak aurat, mengaji pula aurat, ini adalah tidak benar.

 “Sekarang nak tambah calon wanita pada pilihan raya akan datang, kalau puak itu yang lakukan boleh, BN pula dikatakan haram bila melaksanakannya. Ini perkara pelik, tak kan fakta dan undang-undang Islam itu boleh berubah-berubah,” katanya.

 Katanya, dia meminta rakyat khususnya di Terengganu berfikiran terbuka dan selidik dengan kenyataan yang dikeluarkan pemimpin pembangkang kerana jelas terdesak dan jauh daripada ajaran Islam.

 “Apa yang dinyatakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang mengatakan orang Melayu bebas untuk memilih agama, semua senyap dan tidak berani untuk berssuara,” katanya

 


18 November 2012

YPU anjur program bicara tokoh

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bakal menganjurkan Program Bicara Tokoh sebagai acara penutup tirai untuk tahun ini.

 Pengurus Jaringan Korporat dan Pembudayaan Keusahawan YPU negeri, Haji Zulkifli Yunus berkata program ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai cabaran pengurusan masa depan serta memberi pandangan mengenai gaya pengurusan dan budaya keusahawanan dalam membuat keputusan khususnya kepada usahawan, pegawai kerajaan serta agensi berkaitan.

“Program bicara tokoh pada kali ini akan melibatkan dua siri iaitu siri pertama akan berlangsung pada 22 November bermula jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengahari bertempat di Dewan Kovensyen, YPU, Kuala Terengganu yang akan disampaikan oleh bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim dengan tajuk Khalifah Ganti Superman-Cabaran Pengurusan masa Depan.

“Manakala pada 28 November, Pengarah Institut Pemikir Tun Dr.Mahathir Mohamad (IPDM), UUM, Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz akan menyampaikan bicara yang bertajuk Satu Analisa Gaya Pengurusan & Budaya Keusahawanan Dalam Membuat Keputusan pada waktu dan di tempat yang sama,” ujarnya.

Katanya, yuran penyertaan bagi setiap satu sesi cuma RM30 dan boleh dibuat secara tunai atau cek atas nama YAYASAN PEMBANGUNAN USAHAWAN TERENGGANU.

Tambah beliau, kepada yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi Bahagian Jaringan Korporat dan Pembudayaan Keusahawan YPU di talian 09 6242424 atau faks 09 624 8932 untuk maklumat lanjut.

 

Pegawai Daerah Besut minta jabatan kerajaan bantu JKKK


A Rahim Jusoh mempengerusikan mesyuarat bersama pengerusi JKKK Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Jabatan dan agensi kerajaan daerah Besut diminta membantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselaman Kampung (JKKK) yang dipilih menyertai Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung anjuran Kerajaan Negeri.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, sokongan dan kerjasama pihak jabatan dan agensi kerajaan daerah itu perlu bagi membantu permintaan JKKK yang memerlukan khidmat jabatan terbabit.

Katanya, antara jabatan yang terbabit dalam pertandingan itu termasuklah Majlis Daerah Besut (MDB), Jabatan Kerja Raya (JKR),Jabatan Pertanian, Projek Pembangunan terengganu Utara (KETARA), Jabatan Perhutanan dan Veterinar

 “Tanpa kerjasama jabatan sudah tentu sukar bagi JKKK untuk menyertai pertandingan itu kerana organisasi itu tidak mempunyai kewangan bagi membiayai kos mengindahkan kampung masing-masing,” katanya

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Penyertaan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Daerah Besut di Bilik Gerakan Pejabat daerah Besut di Kampung Raja, hari ini.

Hadir sama enam pengerusi JKKK yang terpilih mewakili daerah Besut ke pertandingan berkenaan iaitu JKKK Rumah Awam Seberang Jertih, Lay Out Tok Saboh, Bukit Payong Luar, Gong Gucil, Amer Hilir dan Kayu Kelat.

Beliau berkata, semua JKKK yang terpilih juga diminta menyiapkan profil kampung masing-masing mulai sekarang kerana penghakiman akan dilakukan pada Januari 2013. A Rahim berharap, daerah Besut dapat melahirkan kampung contoh yang mampu bersaing dengan tempat lain di Terengganu.

Program Tahfiz al-Quran di Masjid Kristal

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri dengan kerjasama unit pentadbiran Masjid Kristal Management Sdn Bhd menganjurkan Program Tahfiz al-Quran Cuti Sekolah di masjid itu, bermula semalam hingga 20 Disember depan.

 Program siri ke sembilan itu melibatkan 150 pelajar berbanding 80 pelajar ketika pertama kali dianjurkan pada awal 2008 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata program itu adalah pendekatan positif bagi menyahut seruan kerajaan negeri menggabungkan pendidikan kini berasaskan al-Quran.

Katanya, al-Quran adalah rujukan utama umat Islam, justeru program itu permulaan yang baik untuk mempelajari bahasa al-Quran termasuk teknik dan cara mentafsirkannya.

“Program seumpama ini adalah sokongan terhadap kerajaan negeri bagi melahirkan generasi Ulul Albab yang bukan saja berketrampilan dalam pelbagai bidang tetapi pada masa sama mempunyai asas agama yang kuat berlandaskan al-Quran .

“Kita seboleh-bolehnya mahu anak-anak seawal usia 5 hingga 6 tahun mampu menghafaz al-Quran dengan baik,” katanya pada satu majlis baru-baru ini.

 

Doa penyokong Pas supaya UMNO hancur bertentangan dengan ajaran Islam

Oleh: Mohammad Ishak

Pelbagai pihak di negeri ini mengecam tindakan penyokong Pas yang mendoakan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) hancur kerana mendakwa pemimpin dan parti itu zalim dalam memerintah negara.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin kesal tindakan penyokong Pas mendoakann keburukan kepada sesama umat Islam yang dianggap musuh kepada parti itu.

Katanya, perbuatan itu tidak wajar dilakukan apa lagi oleh mereka yang mendakwa memperjuangan Islam dan bertindak atas perjuangan agama

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh penyokong yang mendoakan keburukan kepada Islam adalah bertentangan dengan ajaran Islam malah ia tidak diajar oleh agama Islam.

 “Malah Allah tidak menyuruh sesiapa sahaja mendoakan sesuatu keburukan dan meminta ditimpa bala kepada sesama Umat Islam”,katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan nelayan di Sekolah Nurzahirah Besut, hari ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut, mengulas tindakan penyokong Pas mendoakan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) hancur kerana dianggapnya zalim.

Beliau berkata, umat Islam sepatutnya mendoakan perkara yang baik-baik kepada sesama Islam dan bukanya melakukan doa yang bertentangan seperti apa yang dilakukan oleh Pas terhadap UMNO.

Abdullah berkata, tahap berpolitik ahli Pas ternyata rendah dan tidak bertamadun kerana mereka sanggup melakukan apasa sahaja walupun kadang kala perbuatan mereka bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berharap pemimpin Pas sedar dengan apa yang dilakukan mereka dan jangan sekali-kali mengadaikan Islam untuk kepentingan politik parti.