Halaman

23 November 2012

Program masak bubur asyura perdana di DUN Kuala Besut


YB Dr A Rahman Mokhtar mengacau bubur asyura

Oleh: Mohammad Ishak 

Program memasak bubur asyura yang diadakan di pekan Kuala Besut berjaya menarik penyertaan penduduk setempat yang hadir memeriahkan acara berkenaan.

Sebanyak 18 kawah bubur asyura berjaya dimasak oleh peserta yang mewakili pelbagai lapisan penduduk di perkampungan nelayan itu.

Program anjuran Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan itu mengambil bahagian dalam gotong royong memasak asyura berkenaan.

Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut bersama isterinya memeriahkan lagi suasana persekitaran di lokasi tempat memasak.

Dr A Rahman berkata, beliau bangga melihat semangat kerjasama penduduk yang mengambil bahagian dalam program itu dan menampakkan ciri-ciri perpaduan dan keharmonian penduduk negeri ini.

Beliau dan isteri kemudian turut bergotong royong mengacau bubur asyura sambil meninjau kerja yang dilakukan oleh peserta sejak awal pagi semalam.

“Program ini walaupun kelihatan penat tetapi peserta dengan penuh semangat menyiapkan kerja-kerja sejak awal pagi sehingga bubur asyura berjaya di masak pada tengahari,” katanya.

Terengganu pengeluar utama melon di negara ini


Md Yusof (kanan) melihat proses pembukusan melon di TKPM Tok Dor, Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Terengganu kini muncul negeri terbesar mengeluarkan tanaman melon negara ini dengan kejayaan menghasilkan pendapatan kira-kira RM10 juta sejak beroprasi 2006.

Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Md Yusof Maidin berkata,tanaman itu yang dikendalikan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tok Dor, dekat sini, berupaya memasarkan hasil pengeluaran yang melebihi sasaran untuk keperluan pengguna.

Katanya,selain dipasarkan di dalam negara melon juga mendapat prmintaan tinggi di Dubai, Hong Kong dan Singapura.

Menurutnya, ketika ini TKPM membangunkan 57 hektar untuk projek tanaman berkenaan membabitkan 29 peserta termasuk 14 peserta dari program siswazah tani.

Md Yusof berkata, projek pertanian melon yang menggunakan kaedah canggih mempu mengeluarkan hasil bermutu tinggi dalam tempoh 30 hari ia ditanam.

“Peserta juga mampu meraih pendapatan bulanan sehingga mencecah RM3,000 sebulan hasil jualan buah melon,” katanya ketika melawat projek tanaman berkenan di Tok Dor. semalam.

Beliau berkata, pada masa ini TKPM terbabit sedang mengusahakan 450 ribu melon yang dijangka boleh dituai sehingga akhir 2012.

Katanya, industri melon mungkin agak jarang diterokai petani sedangkan ia mampu memberi pulangan sepanjang masa kerana tanamannya tidak memerlukan musim tertentu.

 Selain, untuk hidangan makanan ringan melon juga boleh diproses untuk jus, jeruk dan makan ringan lalu yang mempunyai kelazatan tersendiri.

Jabatan Pertanian Terengganu juga sedia membuka peluang kepada usahawam tani untuk memasarkan buah melon dari TKPM Besut untuk diedarkan ke seluruh negara dan luar negara.

400 penyelidik sertai ICER 2012

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 400 penyelidik menyertai Kongres Antarabangsa Mengenai Penyelidikan Alam Sekitar atau lebih dikenali ‘International Congress of Environmental Research’ (ICER) 2012 yang bermula 22 hingga 24 November ini.



Kira-kira 300 peserta yang menyertai program julung kali dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Sosioekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terdiri daripada penyelidik luar negara termasuk dari India, Iran, Nigeria, Sri Lanka serta Thailand manakala 100 peserta lagi terdiri daripada penyelidik tempatan.

Program selama tiga hari yang mendapat kerjasama Jurnal Penyelidikan dan Pembangunan Alam Sekitar
(JERAD) membincangkan penemuan baru oleh para penyelidik serta isu semasa berkaitan alam sekitar.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kedatangan para penyelidik yang datang ke sini untuk membentangkan hasil kajian mereka.

"Kerajaan negeri berbangga dengan usaha yang dilakukan UMT melalui penganjuran progam yang melibatkan penyertaan di peringkat antarabangsa yang membolehkan perkongsian maklumat serta pendapat dalam konteks yang lebih meluas.

"Melalui kongres ini UMT yang banyak membantu kerajaan negeri dalam bidang penyelidikan dan pembangunan alam sekitar di Terengganu diharap dapat mengenalpasti masalah seterusnya menyebarkan konsep kesedaran selain dapat menggerakkan anggota masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar khususnya penduduk di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Makan Malam dan Majlis Perasmian ICER 2012 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.



Turut hadir, Ketua Editor JERAD, Prof. Dr. Subhash C. Pandey; Naib Cancelor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo; Timbalan Naib Cancelor UMT, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim serta peserta ICER 2012.

Katanya, beliau yakin selain kerjasama yang terjalin dalam bidang penyelidikan menerusi kongres bertemakan ‘Tenaga, Alam Sekitar dan Pembangunan’, program sebegini juga dapat mempromosikan keindahan pulau serta khazanah alam semulajadi contohnya seperti Pulau Redang, Tasik Kenyir serta pelbagai tempat menarik di Terengganu kepada peserta program.

 





Penduduk Rhu Rendang perlu bersyukur.

Oleh: Amirullah Othman 


Seramai 1,819 orang penerima bantuan kebajikan masyarakat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang gembira apabila mendapat bantuan dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, YB. Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar; Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang , Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.


Sebanyak RM 451,350.00 bantuan telah disalurkan pada hari berkenaan meliputi pelbagai kategori bagi penerima-penerima yang layak menerima bantuan.

Dato’ Abdul Rahman Bakar dalam ucapannya berharap penduduk di kawasan Rhu Rendang supaya bersyukur kehadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu yang memerintah sekarang ini kerana menjaga kebajikan rakyatnya dan memberikan pelbagai bantuan seperti bantuan dalam bentuk wang pada hari tersebut.

Beliau juga turut menegaskan bahawa hanya kerajaan pimpinan Barisan Nasional sahaja yang mampu dan layak mentadbir Negeri Terengganu dan negara Malaysia.

Manakala Haji Nik Dir pula mengingatkan penerima bantuan supaya menggunakan wang yang diberi kepada mereka sebaik mungkin dan membeli keperluan sahaja dan tidak boros berbelanja.


Katanya, usaha kerajaan BN memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat tempatan harus dibalas dengan kebaikan oleh rakyat negeri ini.


SPRM puji kerajaan Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

 Inisiatif kerajaan negeri memberi ruang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyampaikan taklimat mengenai langkah pencegahan dan memerangi gejala rasuah kepada Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) mendapat pujian daripada agensi itu.

Penguasa Kanan SPRM, Puan Halimah Md Sharif berkata, kesungguhan pemimpin negeri untuk menangani gejala rasuah terserlah dengan memberi ruang taklimat dan soal jawab diadakan antara SPRM dan GLC.

“Saya pergi ke negeri-negeri , semalam saya berada di Kelantan dan sebelumnya di Pahang, hanya di sini majlis didahului dengan taklimat sebelum majlis ikrar, ini yang saya puji Terengganu,” katanya di majlis Ikrar Integriti Korporat di Wisma Darul Iman semalam.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah hadir selaku tuan rumah dan mempengerusikan majlis beserta Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari 53 Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) yang membuat ikrar serta menandatangani surat akuan.

 “Komitmen sesebuah organisasi untuk mendokong prinsip pencegahan rasuah di negara ini mampu menyekat perkara berkenaan daripada terus menular dan semua orang boleh lakukan perubahan untuk memerangi rasuah,” katanya.

Menurutnya, setakat 19 November tahun ini terdapat 41 organisasi seluruh negara telah membuat ikrar dan menandatangani surat akuan dengan SPRM bagi menyatakan kesediaan menghindari dan memerangi gejala rasuah.

 

Terengganu sasar lebih 30,000 pelajar khatam al-Quran tahun depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri mensasarkan lebih 30,000 pelajar sekolah rendah dan tabika di seluruh negeri Terengganu akan khatam al-Quran pada tahun depan.

Pada tahun ini, kira-kira 31,600 pelajar sekolah rendah dan tabika telah khatam al-Quran. Dua majlis khatam al-Quran secara berasingan diadakan pada tahun ini melibatkan pelajar Kelas Fardhu Ain (Kafa) dan tabika di bawah pengendalian Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Pelajaran Negeri, Kemas dan Jabatan Perpaduan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya merancang sekurang-kurangnya 32,000 pelajar sekolah rendah dan tabika akan khatam al-Quran pada tahun depan.

“Kita mahu angka pelajar sekolah rendah dan tabika di negeri ini yang khatam al-Quran pada setiap tahun bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan agar setiap kanak-kanak yang bakal melangkah ke sekolah rendah mampu menguasai al-Quran manakala murid sekolah rendah fasih membaca al-Quran sebelum mereka melangkah ke alam sekolah menengah.

Seramai 22,000 pelajar Kafa menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan secara serentak di tujuh lokasi, termasuk Stadium Tertutup Gong Badak, baru-baru ini.

Manakala Majlis Khatam al-Quran bagi Program Pintar al-Quran yang melibatkan kanak-kanak kelas tabika pula melibatkan penyertaan serama 9,639 kanak-kanak tabika dari seluruh negeri.


YIM Kids Invent! akan disertai 400 murid

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 400 murid sekolah rendah akan memeriahkan program YIM Kids Invent ! Terengganu di Galeri A, Pusat Dagangan Terengganu, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, 8 Disember ini (Sabtu).

Program tahun kedua anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan rakan strategik PSKT, Yayasan Inovasi Malaysia.

Pengarah Urusan PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata program yang memfokuskan kepada peserta cilik sebagai langkah menarik penglibatan golongan itu dengan aktiviti sains dan kreativiti khususnya pada musim cuti persekolahan.

“Pelbagai acara dan aktiviti yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak diatur bagi merangsang minda dan keseronokan mereka belajar sambil bermain bermula jam 9 pagi hingga 4 petang nanti.

“Perasmian program akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, kira-kira jam 4.00 petang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

 Katanya, program pertama pada tahun lalu turut menghimpunkan jumlah peserta yang sama dari kawasan sekitar Kuala Terengganu dan Marang berjaya mencapai matlamat penganjurannya.

 

Ganu D’Art Gallery pertama Di Terengganu

 Oleh: Suriati Ali

 Usaha murni pemilik Ganu D'Art Gallery, Dr Abdullah Sani menubuhkan galeri seni lukis persendirian yang pertama di Terengganu sewajarnya mendapat pujian kerana mampu membantu kerajaan negeri memperluaskan budaya seni kepada masyarakat luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd. Said berkata, pada masa yang sama, dengan tertubuhnya galeri itu, ia akan menjadi `pembuka jalan' terhadap penubuhan galeri-galeri lain yang berkaitan.

 "Galeri ini adalah yang pertama di negeri ini dan saya berbangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemiliknya, Dr. Abdullah Sani untuk `menghidupkan' galeri ini.

"Aktiviti seni seperti lukisan sebenarnya mempunyai tempat yang khusus di hati masyarakat dan saya harap usaha ini juga dapat mempromosikan Tahun Melawat Terengganu pada tahun depan," katanya selepas merasmikan Ganu D' Art Gallery, di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, semalam.

 Galeri berharga kira-kira RM20,000 itu dibina di sebuah premis dua tingkat di Jalan Sultan Sulaiman dan menempatkan hampir 100 karya seni berkonsepkan `modern art' serta `reality art'.

 Ia dibuka setiap hari mulai 10 pagi hingga 6 petang dan tiada yuran dikenakan untuk masuk ke situ. Dalam pada itu, Abdullah ketika ditemui berharap galerinya akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pencinta seni lukisan di negeri ini.

 Beliau yang juga pensyarah sambilan dalam bidang Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan berbeza termasuk membawa masuk karya-karya pelukis baru dari semasa ke semasa bagi menarik lebih ramai pengunjung ke galerinya itu.

 "Selain itu, galeri ini juga menyediakan karya-karya yang berunsur abstrak dan realiti kepada peminat-peminat seni atau mana-mana usahawan seni yang berminat mendapatkan karya seni kami untuk dipasarkan.

"Kami juga mahu menjadikan galeri ini sebagai pusat penerangan, perbincangan dan perundingan seni lukis memandangkan kebanyakan karya yang dipamerkan di sini berunsurkan seni bina dan landskap negeri Terengganu," ujar beliau

. Tambahnya, satu akademi seni lukis juga akan ditubuhkan di tingkat bawah premis tersebut dan ia akan dikhususkan kepada mana-mana pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berminat untuk mendalami bidang tersebut.

 "Saya juga berharap galeri ini akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu sebagai antara destinasi menarik yang perlu dilawat terutamanya sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 nanti,"
 katanya

.

YPKT anjur Program Ceria Belia 1Malaysia

Oleh: Suriati Ali Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menganjurkan Program Ceria Belia 1Malaysia di Dataran Permata, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 23 November ini. Penolong Pengarah Perancangan, Penyelidikan dan Perhubungan Awam YPKT, Encik Khairuninadwa Che Rosli berkata program yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Negeri dan Majlis Daerah Kuala Terengganu memuatkan pelbagai acara.
“Antara aktiviti itu termasuk, pertunjukkan motosikal, `street soccer’ persembahan muzikal dan pameran dari pelbagai jabatan kerajaan serta agensi swasta,” katanya. Orang ramai yang berminat untuk menyertai aktiviti sehari yang bermula jam 8 pagi hingga 11 malam itu boleh mendaftar di pejabat Majlis Belia Daerah.

22 November 2012

Usahawan Melayu harus bermotivasi tinggi

Oleh: Noraini Jusoh

Golongan usahawan Melayu khususnya harus mempunyai motivasi tinggi untuk berjaya seterusnya dapat memperkukuhkan ekonomi di negeri ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Tuan Haji Azmi Razik (gambar) berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengadakan pelbagai program yang boleh meningkatkan motivasi orang Melayu dalam bidang perniagaan termasuk melalui perkongsian pengalaman dengan usahawan yang telah berjaya.

"Melalui program Bicara Tokoh umpamanya, kita dapat mempelajari pelbagai perkara dari tokoh-tokoh perniagaan terkenal tanahair.

"Orang Melayu perlu sedar untuk berjaya dalam bidang perniagaan memerlukan pengorbanan dan sikap tidak mudah berputus asa serta sentiasa berusaha untuk memajukan diri,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena program Bicara Tokoh Bersama Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang berlangsung di Dewan Kovesyen YPU, hari ini.

Katanya, melalui perkongsian ilmu serta pengalaman yang disampaikan oleh Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) tersebut, dapat memotivasikan serta membuka mata usahawan Melayu supaya sentiasa gunakan peluang yang ada untuk memajukan perniagaan masing-masing.

"Usahawan Melayu khususnya tidak boleh bersikap lalai dan leka serta beranggapan sentiasa berada dalam zon selesa kerana akan ditindas oleh bangsa asing,” ujarnya.

 Program Bicara Tokoh bertajuk Khalifah Ganti Superman- Cabaran Pengurusan Masa Depan yang merupakan anjuran kali kedua oleh YPU ini mendapat sambutan menggalakkan dari para usahawan, pegawai kerajaan serta agensi berkaitan dari seluruh Terengganu.