Halaman

11 December 2012

Kerajaan hargai ExxonMobil iktiraf media

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menghargai peranan Exxonmobil yang memberi sumbangan kewangan bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil (AKKEM) sejak 28 tahun lalu sehingga berjaya melahirkan ramai wartawan berketrampilan menerusi penulisan berkualiti.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penganjuran anugerah itu menyuntik golongan wartawan untuk sentiasa berusaha menghasilkan karya yang lebih inovatif, kreatif dan penuh bermakna.

"Tahniah kepada ExonMobil yang diketuai Encik J. Hunter Farris (Pengerusi Subsidiari Exxonmobil di Malaysia) yang tidak jemu-jemu memberi sumbangan kewangan kepada Anugerah Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) sejak 28 tahun lalu.

“Justeru itu, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan ExxonMobil itu bukan sahaja ke arah pembangunan negeri Terengganu tetapi juga turut sama melibatkan diri dalam memberi pengiktirafan kepada wartawan yang berkhidmat di Terengganu,” kata beliau ketika berucap merasmikan AKKEM 2012, di Hotel Primula Kuala Terengganu, malam tadi.

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera; Pengerusi Subsidiari-subsidiari Exxonmobil, J Hunter Farris dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Menteri Besar berkata, program berkenaan bukan sahaja mempereratkan hubungan dengan wartawan dari semasa ke semasa serta melancarkan proses menyampaikan segala maklumat dan informasi kepada rakyat, malah dapat melahirkan wartawan yang berwibawa dengan menghasilkan penulisan yang boleh menjadi ikutan, renungan dan panduan kepada masyarakat.



“Saya yakin dan percaya dengan adanya anugerah (Kawat-ExxonMobil) ini sudah tentu hasil penulisan yang lebih inovatif kreatif dan penuh bermakna dapat dihasilkan oleh wartawan kita.

“ Ini merupakan satu medan untuk melahirkan lebih ramai wartawan yang berketrampilan dan mampu melahirkan penulisan yang boleh mencetus pandangan baru ke arah meningkatkan penghasilan kualiti kerja dan pembangunan yang mahu disampaikan kepada rakyat,” katanya.

Katanya, walaupun kerajaan negeri sedia maklum bahawa ExxonMobil merupakan kontraktor utama kepada Petronas tetapi badan korporat berkenaan tetap mendahului Petronas dalam pelbagai program kemasyarakatan di bumi Terengganu.

Beliau berkata, pelbagai khidmat sosial disediakan di negeri ini sebagai pulangan dan sumbangan kembali kepada rakyat daripada hasil keuntungan perniagaan mereka seperti menyediakan bas perpustakaan bergerak yang memberi kemudahan kepada pelajar di seluruh Terengganu.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap Kawat juga memainkan peranan lebih aktif dalam melancarkan rancangan pembangunan kerajaan pada masa depan.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai sikap terbuka dengan teguran yang dibuat oleh wartawan menerusi laporan di media massa.

Malah, pada masa yang sama beliau juga berharap wartawan dapat menghasilkan pandangan yang bernas serta bertanggungjawab tanpa adanya unsur-unsur negatif termasuk mengeluarkan berita berasaskan andaian semata-mata yang boleh merosakkan masyarakat dan kerajaan.





Sidang DUN: Terengganu tidak bercadang menaikkan tarif air

Oleh: Suriati Ali


Kerajaan negeri tidak bercadang menaikkan tarif air di Terengganu walaupun menyedari mengalami sedikit kerugian dan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi.

 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata tarif air yang dikenakan kepada pengguna Terengganu antara yang terendah berbanding beberapa negeri lain.

 Katanya, Pulau Pinang dan Kedah sudah lama mengenakan tarif baru dan Terengganu tidak bercadang mengikut apa yang dilaksanakan negeri itu.

“Sebaliknya kita akan meneruskan subsidi seperti yang ditetapkan supaya rakyat Terengganu terus mendapat bekalan air bersih.

“Kita tetap mensasarkan sehingga 100 peratus bilangan pengguna mendapat bekalan air menjelang 2013 walaupun terpaksa menanggung pelbagai kenaikan kos penyelenggaraan dan perkhidmatan,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Haji Mohd Wahid Endut (Pas-Wakaf mempelam pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

 Katanya, kerajaan negeri mengakui prestasi kewangan Satu mengalami sedikit kerugian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 “Keadaan itu tidak mendatangkan masalah kepada syarikat itu untuk meneruksan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat,” katanya.

 

Sidang DUN: Terengganu berhasrat pasang AES

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri berhasrat memasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik(AES) di lokasi tertentu di Terengganu dalam tempoh terdekat kerana yakin dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata pemasangan AES bukan saja dapat membantu mengurangkan kadar dan kerugian akibat kemalangan malah mampu mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada.
Katanya, berdasarkan rekod sehingga November lalu, sebanyak 9,498 jumlah kemalangan dilaporkan di Terengganu dan daripada jumlah itu 273 kes membabitkan kemalangan maut.
 “Masyarakat perlu memahami perlaksanaan ini dengan jelas agar tidak berterusan melihat pemasangan AES dari sudut negatif sebaliknya ia adalah untuk kebaikan bersama khususnya pengguna jalan raya.

 “Mereka yang tetap menolak pemasangan sistem ini dianggap tidak bertamadun kerana jelas apa yang dilaksanakan untuk kebaikan pengguna jalan raya itu sendiri dan bukannya kepentingan politik,” katanya ketika menjawab soalan YB Haji Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh).

 

Rakyat bakal raih untuk hasil usaha kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Perancangan kerajaan mengalih kebergantungan sumber negeri daripada minyak kepada bidang pelancongan dilihat suatu tindakan jauh ke hadapan dan jarang dilakukan oleh pemimpin lain.

Kerajaan negeri merancang mengurangkan kepada 70 peratus daripada 90 peratus kebergantungan hasil minyak dan 30 peratus lagi adalah pembangunan pelancongan.



Ketua Pegawai Eksekutif Epic Berhad, Encik Ramli Shahul Hameed berkata, apabila perancangan ini berlaku, keuntungannya akan terus mengalir kepada rakyat melalui kedai makan, kedai cenderahati, kedai batik dan sebagainya.

“Strategi yang dilakukan ini menggambarkan ketelusan dan kejujuran serta usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang diucapkan iaitu “Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran’,” .

Beliau berkata demikian di majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2013 anjuran Unit Komunikasi Negeri di Wisma Darul Iman petang semalam. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) Haji Azmi Razik bertindak selaku moderator.

Dua lagi panel jemputan ialah Ahli Lembaga Rayuan Terengganu merangkap Ahli Lembaga Pengarah PTB, Dato’ Wan Mohd Al-Bakri Mohd Nor dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh.

Encik Ramli Shahul berkata, Menteri Besar ikhlas ingin memberitahu dan menunjukkan kepada rakyat berapa jumlah wang yang kerajaan ada bila mengumumkan Belanjawan lebihan RM10 juta tahun depan.

Menurutnya, jika rakyat negeri ini sentiasa berfikiran positif dan memberi sokongan terhadap perancangan kerajaan akan membantu mempercepatkan pembangunan pada masa akan datang.

Dari segi kerja pula pertumbuhan projek bermula dari Kemaman hingga ke Besut termasuk Hulu Terengganu boleh menjana lebih 10,000 peluang pekerjaan.

“Dengan peluang-peluang yang ada, semua rakyat di negeri ini boleh bekerja dan boleh dianggap sifar pekerja tetapi kita perlu hapus sindrom anak-anak muda yang tidak suka bekerja kepada suka bekerja, jika tidak ia akan disambar oleh orang luar,” katanya.

 

Rakyat diajak supaya bersyukur

Oleh; Esah Abdullah

Rakyat negeri ini diajak supaya bersyukur dengan nikmat Allah kerana anugerah minyak dari perut bumi membolehkan perbelanjaan dibuat oleh kerajan untuk kesejahteraan rakyat.



Melalui anugerah itulah kerajaan mampu membuat pembentangan bajet tahun depan berjumlah RM1.995 bilion berbanding bajet 2012 sebanyak RM1.950 bilion iaitu pertambahan 2.3 peratus.

Ahli panel Majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2013, Dato’ Wan Mohd Al-Bakri Mohd Nor berkata, pertumbuhan ekonomi Terengganu 4.5 peratus manakala pertumbuhan ekonomi negara ialah 4.8 peratus dan 2.3 peratus bagi negara Amerika.

 “Negara dan negeri kita sudah berada di landasan cukup baik tetapi ada segelintir yang suka memuji-muji negara luar,” katanya di Majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2013 di Wisma Darul Iman petang semalam.

Katanya, kerajaan negeri tidak kedekut untuk melabur kepada rakyat, semua keperluan rakyat dipenuhi dan contoh terdekat semua pelajar tahun empat, lima dan enam diberi e-book secara percuma.

 “Kita mempunyai pengurusan kewangan cukup baik dan setiap hasil yang diterima kerajaan dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya yang juga Ahli Lembaga Rayuan Negeri merangkap Ahli Lembaga Pengarah PTB.

Katanya, Terengganu bentang bajet yang besar kerana kemampuan yang kita ada semata-mata untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat berbanding bajet Kelantan RM521 juta, Pahang (RM76 juta), Kedah (RM657 juta), Pulau Pinang (RM708 juta) dan Johor (RM908 juta).

 “Semua patut bersyukur dengan apa yang kita dapat dan dengan apa yang kita ada serta jangan asyik memuji orang lain yang tidak pernah menyumbang apa-apa kepada pembangunan di negara kita,” katanya..

Durian Kampung Baung …Projek Perintis Dusun Pelancongan

Oleh: Mastura Jamaluddin


Kerajaan negeri Terengganu memilih Kampung Baung di Kuala Berang yang terkenal dengan keenakan durian kampungnya, sebagai projek perintis dusun pelancongan bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata sebagai permulaan, tiga penduduk kampung dipilih sebagai peserta projek dusun pelancongan itu.

Beliau berkata, mereka akan diberi pendedahan mengenai pengurusan dusun durian yang lebih efektif untuk menarik kedatangan pelancong dan sekiranya projek itu berjaya maka jumlah bilangan peserta akan ditambah.

"Lokasi kampung ini yang hanya 20 kilometer dari Tasik Kenyir akan memberi nilai tambah kepada pakej pelancongan di daerah ini," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis jamuan durian perdana hari ini.

Kira-kira 1,500 biji durian telah dihidangkan kepada pejawat awam daerah Hulu Terengganu, 50 orang anak yatim dan pemimpin masyarakat setempat dalam jamuan durian perdana itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baung, Malek Salleh, berkata jamuan durian perdana itu adalah kali ketiga dianjurkan.

"Kira-kira 200 penduduk di kampung ini memang mempunyai dusun durian yang diwarisi turun temurun dan dalam setiap musim sebahagian besari daripada pemilik dusun durian mampu memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM10,000.

"Durian Baung sangat terkenal satu ketika dulu sekitar tahun 1970-an kerana keenakannya, tambahan pula pada waktu itu durian belum dikomersilkan lagi secara besar-besaran," katanya.

Ketika ini, durian yang bersaiz kecil dijual pada harga RM1 hingga RM2 sebiji jika dibeli di Kampung Baung manakala harga di Pasar Payang dekat sini adalah antara RM3 hingga RM4 sebiji bergantung kepada saiz.

Majlis berkhatan eratkan perpaduan

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Pusat Aktiviti Kanak-kanak ( PAKK )Kuala Berang dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Hulu Terengganu ( JKM) sekali lagi mengadakan majlis berkhatan beramai-ramai yang merupakan salah satu acara tradisi PAKK Kuala Berang.



Program itu yang turut dijayakan Jawatankuasa Penduduk Perumahan Taman Damai berjaya mengumpulkan kanak-kanak sekitar perumahan yang berusia 6 hingga 10 tahun, untuk berkhatan.

Kebanyakan kanak-kanak yang terpilih cukup teruja dan tidak mempamerkan perasaan takut untuk dikhatankan.

Program tersebut turut di hadiri oleh Pegawai JKM Hulu Terengganu,Encik Mohd Fadzli Ismail yang mengharapkan program seperti itu diteruskan setiap tahun dan jika perlu diadakan di setiap kawasan perumahan dalam taman.

“Kita berharap bukan sahaja majlis berkhatan dijadikan agenda aktiviti taman perumahan tapi biarlah meliputi pelbagai program yang berbentuk kemasyarakatan seperti sambutan hari raya, ibadah korban, gotong-royong dan sebagainya.

“Kerjasama yang erat dan jitu adalah nadi penggerak masyarakat sejahtera dan inilah yang melahirkan masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah berjaya mengadakan majlis ini walaupun peserta sedikit tetapi tidak pernah melunturkan semangat semua pihak,”katanya ketika bercakap di dalam majlis tersebut.

Majlis yang telah dirasmikan oleh YM Tuan Razilah bin Said Mohd selaku Setiausaha Penyelaras Dun Kuala Berang, turut dihadiri oleh Pengerusi JKKK Taman Kenanga,Encik Abdul Hadi Saad dan semua ahli jawatankuasa serta penduduk sekitar.



10 December 2012

Sidang DUN: Kadar kemiskinan Terengganu 3.75 peratus

Oleh: Suriati Ali 

Pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan Terengganu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sehingga 3.75 peratus daripada lebih 42,000 rakyat yang dikategorikan miskin.

 Berdasarkan peratusan yang dicatatkan sehingga Oktober lalu, hanya tinggal kira-kira 30,000 rakyat atau 6,813 keluarga yang dikategorikan miskin dan miskin tegar.

 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata berdasarkan rekod Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) pada 2008, lebih 42,000 rakyat dikategori sebagai miskin dan mudah miskin.

"Namun, kini selepas pelbagai usaha dan insistif dilaksanakan, hanya terdapat 30,000 rakyat yang dikategorikan dalam kumpulan itu dengan pendapatan bulanan isi rumah bawah RM450 bagi miskin tegar dan bawah RM750 bagi mereka yang dikategorikan miskin,” katanya.

 Katanya, jika dibanding seluruh negara, Terengganu antara negeri yang mencapai penurunan kemiskinan ketara berbanding zaman pemerintahan Pas.

“Terengganu kini mampu berada di tangga ke lima selepas Sabah yang mencatatkan paling tinggi rakyat miskin iaitu 46,332 keluarga, diikuti Sarawak (43,760 keluarga), Kelantan (23,315 keluarga), Perak (8,863 keluarga), Terengganu (6,800 keluarga), Selangor (6,152 keluarga) dan Kedah mencatatkan bilangan 4,846 keluarga,” katanya.

 

Peruntukan RM120 juta majukan Tasik Kenyir tahun depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Terengganu menyediiakan peruntukan RM120 juta bagi melaksanakan pelbagai projek yang dirancang di Tasik Kenyir tahun depan, selaras dengan matlamat kerajaan menjadikan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu sebagai pusat pelancongan keluarga bertaraf antarabangsa.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika membentangkan Bajet 2013, berkata tumpuan utama kerajaan negeri ialah meneruskan pembangunan kawasan bebas cukai dan pembangunan pelancongan yang meliputi Kenyir Island Hopping (KIH).

“Satu daripada komponen baru IKH iaitu Taman Botani, akan dibangunkan dengan konsep pembangunan mesra alam yang menitikberatkan perlindungan ideologi.



“Bagi penggemar buah, dengan berkonsepkan ‘pick and pay’, Taman Rambutan yang menempatkan 200 spesies rambutan akan dibangunkan di selatan Pulau Selimbar (dalam Tasik Kenyir),” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri meletakkan Tasik Kenyir sebagai fokus utama pelancongan di Bawah Hala Pembangunan Negeri Terengganu 2009 – 2013. Selain itu, tambah beliau, kerajaan negeri akan meneruskan projek-projek sedia ada yang lain seperti Taman Rekreasi dan Zoo Bukit Takal.

 

Anggaran hasil negeri tahun 2013 meningkat 2.84 peratus

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang membentangkan Bajet 2013 hari ini memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri kerajaan menganggarkan akan memperolehi hasil sebanyak RM2.005 bilion atau peningkatan 2.84 peratus berbanding tahun 2012 (RM1.950 bilion).

Daripada jumlah tersebut, 89.9 peratus adalah diunjurkan diperolehi daripada sumber Kerajaan Pusat, khususnya Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan pemberian tahunan manakala bakinya adalah daripada sumber negeri.

Beliau berkata, dengan mengambilkira jumlah hasil dan perbelanjaan mengurus RM1.995 bilion, Bajet 2013 menjurus kepada Belanjawan lebihan sebanyak RM10 juta di mana penyediaannya sangat tepat dan selari dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan perbelanjaan secara berhemah dan komitmen untuk mengurangkan defisit terkumpul dalam Akaun Hasil Disatukan.

“Adalah menjadi harapan dan cita-cita kerajaan untuk menyediakan satu bajet yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat, menjana pertumbuhan ekonomi negeri, melakukan perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit,” katanya.

Beliau berkata, Bajet 2013 mengambilkira perencanaan Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu Tahun 2009 – 2013, Bidang Keberhasilan Utama Negeri, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-10.