Halaman

31 December 2012

Ibu bapa pilih saat akhir beli kelengkapan sekolah

Oleh: Suriati Ali

 Masih ramai ibu bapa di Terengganu memilih saat akhir untuk membeli barangan kelengkapan sekolah anak masing-masing walaupun menyedari sesi persekolahan 2013 bakal bermula esok.

 Rata-rata mereka gemar berbuat demikian kerana mengetahui barangan yang diingini tidak akan habis selain enggan berasak-asak bersama pengunjung lain untuk membeli kelengkapan seperti pakaian sekolah, kasut dan beg.



Tinjauan ke Karnival Kermbali Ke Sekolah di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) , Kuala Terengganu mendapati hampir kesemua 60 premis perniagaan diserbu ibu bapa yang ingin mendapatkan peralatan sekolah seperti beg, pakaian seragam dan alat tulis pada harga diskaun antara 10 hingga 20 peratus.

Seorang pengunjung, Mohd. Shah Samad, 45, berkata beliau dapat menjimatkan hampir RM150 ketika membeli-belah di situ.

 "Saya harap kempen seperti ini akan diteruskan lagi pada tahun depan kerana ia membantu ibu bapa meringankan beban kewangan menjelang sesi persekolahan tahun baru," katanya yang mempunyai tiga anak masih bersekolah.

 Bagi Hamidah Hamid, 37, pula beliau gemar berbelanja di TTC kerana dapat membeli pelbagai barangan keperluan dengan jenama terkenal di situ.

 "Apabila saya dapat tahu kempen ini akan berakhir pada 31 Disember, saya terus ambil cuti hari ini untuk datang membeli-belah kerana kawan saya beritahu TTC ni penuh sesak setiap kali cuti hujung minggu dengan kehadiran ibu bapa dan anak mereka," kata ibu kepada empat anak ini.

 Selain 60 premis di TTC, sebanyak 40 buah pasar raya di seluruh Terengganu turut menyertai kempen itu yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus bagi pelbagai barangan keperluan sekolah.

 Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat PDNKK Negeri Terengganu, Abdul Ghani Harun berkata, beliau berharap kempen itu akan dimanfaatkan ibu bapa untuk berbelanja dengan lebih bijak.

 

132 pelajar terima beg dan peralatan sekolah

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 132 pelajar Sek Keb Tok Dir hari ini menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah sempena program ‘Back To School’ anjuran Pergerakan Puteri Umno Negeri Terengganu dengan kerjasama Pergerakan Puteri Umno Bahagian Marang.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Negeri Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, program ini merupakan acara tahunan Pergerakan Puteri Umno Malaysia dan dilaksanakan di setiap negeri.

"Peruntukan sebanyak RM5000 bagi menjayakan program ‘Back To School’ telah diberikan kepada setiap negeri dan menjadi tanggungjawab kami untuk salurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Bagi negeri Terengganu, Parlimen Marang telah dipilih dan setiap pelajar kurang berkemampuan yang telah dikenalpasti oleh pihak pengurusan sekolah ini menerima sumbangan dalam bentuk beg dan peralatan sekolah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai menyempurnakan majlis perasmian dan penyerahan sumbangan sempena program ‘Back To School' dan Agihan Bantuan Pakaian Sekolah di sekolah tersebut, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong dan Ketua Puteri UMNO Marang, Puan Marina Endut.

Katanya, memasuki tahun keempat dianjurkan program yang dibuat secara gilirin di setiap parlimen di negeri ini dulunya pernah diadakan di Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut beliau, Pergerakan Puteri Umno sentiasa prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan dan diharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan barangan keperluan persekolahan anak-anak.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menjaga kebajikan rakyat terutama yang melibatkan pendidikan, justeru beliau mengharapkan sokongan penuh daripada penduduk setempat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti agar nasib rakyat terus terbela di bawah pimpinan kerajaan BN.

 

Penduduk dinasihat berjaga-jaga banjir pusingan kedua

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan penduduk tempatan, khususnya mereka yang tinggal di kawasan mudah dilanda banjir supaya berjaga-jaga kerana banjir mungkin melanda semula negeri ini berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

Beliau berkata, beradasarkan ramalan pihak berkuasa banjir pusingan kedua mungkin berlaku jika taburan hujan berlebihan dan semua pihak perlu berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan itu.

“Saya minta ibu bapa awasi anak-anak mereka kerana berdasarkan pengalaman lalu, termasuk banjir yang baru saja berlaku, penduduk menjadi korban banjir kerana kelalaian kita.

“Mereka yang mati lemas bukan kerana banjir melanda kawasan mereka secara tiba-tiba, tetapi mereka lamas ketika menahan pukat, bermain sampan atau kanak-kanak bermain basikal di kawasan yang dilanda banjir dan terjatuh di tempat dalam,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai agensi yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mangsa banjir masih diletakkan dalam keadaan berjaga dan mereka akan bertindak pada bila-bila masa mengikut keadaan.

Sehingga ini, katanya, kerugian dan mangsa sebenar masih belum dipastikan dan siasatan sedang dijalankan bagi membolehka bantuan sewajarnya diberikan kepada mangsa terbabit.



Banjir kembali melanda Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman


Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan terutama Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu sejak pagi tadi menyebabkan beberapa penempatan ditenggelami air semula walaupun keadaan banjir dilaporkan hampir pulih sehingga lewat malam tadi.



Menurut Portal Kenyataan Banjir Negeri Terengganu, sehingga jam 3 petang ini, seramai 760 mangsa daripada 181 keluarga mula dipindahkan ke lima pusat pemindahan di sekitar Hulu Terengganu sejak pagi tadi.

Lima penempatan itu, Balai Raya Kampung Ceting sembilan keluarga (34 mangsa); Balai Raya Kampung Peladan dua keluarga (11); Masjid Kampung Perah 101 keluarga (412); Surau Lubuk Periuk 38 keluarga (80) dan Surau PPSK Kampung Menerong 45 keluarga (223).

Manakala Jabatan Meterologi Malaysia melaporkan, hujan sekejap-kejap kadangkala lebat di beberapa kawasan di seluruh Terengganu dijangka berterusan sehingga 2 Januari ini (Rabu).

Kedaaan yang berterusan kemungkinan mengakibatkan beberapa kawasan rendah dan berisiko banjir akan dilanda bencana alam itu semula sekali gus meningkatkan jumlah mangsa yang perlu dipindahkan ke pusat pemindahan.


Risda, Ketengah bantu tingkat pendapatan keluarga tani

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Risda dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan pelbagai program secara bersepadu yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 petani dan pekebun kecil di wilayah Ketengah.


Perjanjian tersebut membolehkan kedua-dua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melaksanakan Program Pembangunan Tanam Semula, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Perladangan dan Pengurusan Kilang Sawit, Pembangunan Pendidikan dan Latihan serta Pembangunan Pengurusan dan Pemasaran Unggas serta Haiwan bagi faedah golongan sasar.

Perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Pengarah Risda, Dato’ Haji Wan Mohamad Zuki yang mewakili Risda dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud, mewakili Ketengah.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Haji Hasan Malek; Pengurusi Risda, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Dato’ Ibrahim Muhamad.

Menteri Besar pada sidang media selepas majlis itu berkata, MoU berkenaan merupakan pakatan startegik antara dua agensi di bawah kementerian yang sama dan bakal menggabungkan kepakaran keadua-dua agensi itu bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan petani.

Katanya, selain mempunyai kepakaran dalam pembangunan industri tanaman getah dan kelapa sawit, Risda juga memiliki Koleh Risda yang menjana pengeluaran graduan dalam pelbagai bidang.

“Begitu juga dengan Ketengah yang memiliki Kolej Ketengah dan sudah tentu gabungan tenaga kedua-dua agensi ini bakal meningkatkan mutu pendidikan yang memberi faedah kepada anak-anak petani dan pekebun kecil,” ujar beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta kakitangan Risda, Ketengah dan semua agensi kerajaan di bawah kementerian berkenaan supaya menjalankan tugas dengan baik bagi merealisasikan hasrat kerajaan membantu meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, sudah banyak program dilakukan kerajaan bagi tujuan itu ditambah pula dengan usaha memberikan taraf pendidikan terbaik kepada anak-anak pekebun kecil, petani dan peneroka.

“Kita tidak mahu ada kakitangan kerajaan dan agensi kerajaan yang bertindak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘musuh dalam selimut’ yang menikam kerajaan dari belakang,” katanya.


JKNT panjangkan waktu melawat pesakit

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan memanjangkan waktu melawat di kesemua enam hospital berkuatkuasa 1 Januari ini.

Pengarahnya, Dr. Anwa Sulaiman berkata, ia bersesuaian dengan permintaan orang ramai yang mahu waktu melawat lebih panjang khususnya pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

Beliau berkata, sesi waktu melawat yang dilonggarkan itu juga diharap dapat mengurangkan kesesakan pelawat yang bertumpu ke hospital dalam tempoh masa lawatan pendek serta mengurangkan masalah kesesakan tempat letak kereta di hospital.

“Untuk itu, kita telah membuat beberapa pindaan terhadap waktu melawat di hospital selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 JKNT panjang waktu melawat pesakit “Bagi sesi lawatan tengah hari pada setiap Ahad hingga Khamis, ia akan dipanjangkan dari pukul 12 hingga 2 petang berbanding dari pukul 1 hingga 2 petang manakala sesi petang (pukul 5 petang hingga 7 malam) pula dikekalkan.

“Pada Jumaat, Sabtu dan Cuti Umum pula, waktu lawatan tengah hari bermula 11 pagi hingga 2 petang (sekarang 1.00 hingga 2 petang).

 Sesi lawatan petang 4 hingga 7 petang (sekarang 5 hingga 7 petang),” katanya. Menurutnya, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah masih tidak dibenarkan masuk melawat sebagai langkah pencegahan untuk mengelak risiko penyakit berjangkit.

 “Pendekatan it terus dilaksanakan kerana menyedari kanak-kanak mempunyaui daya ketahanan atau umuniti rendah berbanding orang dewasa.

 “Berdasarkan pengalaman, didapati anak yang dibawa boleh menganggu pesakit-pesakit lain kerana gemar berkejaran antara mereka, berbuat bising dan merosakkan peralatan perubatan,” katanya.

 


Faizal rekod nama di Liga Hoki India

Oleh: Aida Abd Rahman

Seorang lagi atlet kelahiran Terengganu, Faizal Saari, 21, berjaya mencipta rekod apabila menempatkan diri di persada antarabangsa selepas dilamar oleh kelab Mumbai Magicians untuk beraksi dalam Liga Hoki India (HIL) yang bakal berlangsung selama sebulan bermula 16 Januari depan.

Kelibat penyerang skuad hoki negara yang membantu Terengganu pada aksi final membenam Pahang untuk menggenggam Piala Tun Abdul Razak ke-50 itu, kian menyinar sehingga mampu berada di kelompok pemain berstatus bintang dari seluruh dunia yang bakal beraksi dengan lima kelab dalam HIL.

Di sebalik tanggungjawab yang cukup besar bakal dipikul dalam tempoh singkat itu nanti, Faizal dikatakan turut mendapat habuan berbaloi apabila bakal menerima gaji sebanyak AS$26,000 (RM79,560).

Selain Faizal, penjaga gawang negara, S Kumar juga terpilih untuk beraksi dengan kelab Uttar Pradesh Wizards.

Kumar pula AS$15,000 (RM45,900). Jumlah itu difahamkan lebih besar berbanding gaji diterima oleh pemain negara yang beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM).

Faizal yang sering menjadi tonggak utama skuad negara, sebelum ini pernah menimba pengalaman di Liga Australia bersama kelab Southern Hotshots tetapi dia tidak dapat menyertai sepanjang satu musim berikutan masalah visa.

Atlet itu kemudiannya menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab Sepanyol, Athletic Terassa Club sekitar Julai lalu, tetapi dia terpaksa menolaknya berikutan khidmatnya lebih diperlukan skuad negara menghadapi saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina November lalu.

“Inilah impian yang saya nantikan sejak dulu lagi iaitu untuk beraksi di luar negara. Saya memang mahu belajar sesuatu yang baru selain daripada beraksi di LHM.

 “Sudah tentu saya gembira kerana terpilih untuk beraksi di HIL sebab bukan mudah untuk menempatkan diri di liga yang juga disertai ramai pemain hebat.

“Bagi saya wang bukan soal utama tapi seperti yang saya katakan tadi, kesempatan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman baru,” katanya.

Selain itu,  Faizal dijangka berangkat ke India pada 8 Januari ini kerana jurulatih kelabnya itu mahu menemui pemain pada hari berikutnya.

 

TPM Lawat Mangsa Banjir di Kemaman

Oleh : Fauzi Mohd


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman petang tadi.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Dato'Seri Ahmad Said, Menteri Belia dan Sukan Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Noriah Kasnon.

Timbalan Perdana Menteri dan rombongan terpaksa menggunakan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke pusat pemindahan banjir sejauh dua kilometer dari Stadium Mini Kemaman dan ia ternyata menceriakan mangsa banjir yang ditempatkan di situ.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang dikelolakan Kelab Putera 1Malaysia.
Sejurus selepas itu, serta melawat kawasan banjir di beberapa lokasi lain menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.


Pada sebelah pagi, Muhyiddin bersama isterinya melawat mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan.




























E-book bukan punca kemerosotan UPSR

Oleh: Noraini Jusoh

Penggunaan e-book dalam kalangan murid sekolah rendah bukanlah punca utama kemerosotan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, punca kemerosotan UPSR di Terengganu seperti yang didakwa pihak pembangkang adalah disebabkan pemberian e-book oleh kerajaan negeri kepada murid sekolah rendah tidak boleh diterima sama sekali.

"Kerajaan negeri menafikan perkara ini disebabkan penggunaan e-book masih baru di kalangan pelajar kita dan kesan atau hasilnya tidak boleh dilihat dalam masa terdekat.

"Justeru, tidak adil pihak pembangkang menjadikan penggunaan e-book sebagai satu isu yang menjejaskan pencapaian pelajar kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita di Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2012 dan Penyampaian Bantuan Peperiksaan Awam 2013 DUN Seberang Takir, di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN tersebut, baru-baru ini.

Katanya, ramai pelajar yang mempunyai asas dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) hasil penggunaan e-book yang diperkenalkan kerajaan negeri lebih mesra dan mahir dalam bidang tersebut apabila melangkah ke sekolah menengah.

Menurut beliau, penggunaan e-book bukan bertujuan melalaikan pelajar tetapi sebaliknya untuk memantapkan penguasaan mereka terhadap bidang ICT.

"Justeru, selain pihak sekolah, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak menggunakan e-book untuk tujuan pembelajaran,” katanya.

 

30 December 2012

Penduduk ambil kesempatan bermain air banjir

Oleh: Suriati Ali

Segelintir penduduk kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil kesempatan bermain air banjir yang semakin pulih bersama anak masing-masing .

 Ada di antara mereka, terutama golongan remaja mambasuh motosikal, mendayung sampan dan mandi tanpa memikirkan risiko yang bakal dilalui.





Menurut portal banjir , tiada mangsa banjir di DUN Tepoh dilaporkan berpindah ke Pusat Perpindahan Banjir walaupun DUN lain, termasuk Tepoh, Kuala Berang, Air Puteh dan sebagainya mencatatkan ratusan mangsa terpaksa berpindah.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata mangsa yang terlibat dengan pemindahan banjir dinasihatkan agar dapat memaklumkan alamat rumah yang ditinggalkan kepada Balai Polis berhampiran atau kepada anggota polis yang bertugas di pusat pemindahan banjir.

 Katanya, ini untuk memudahkan menghubungi pemilik kediaman jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini semasa pihak polis menjalankan rondaan.

 Sehubungan dengan itu juga, beliau menasihatkan orang ramai supaya peka dan berwaspada dengan amaran banjir yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

 ``Ibu bapa juga perlu sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak bermain dengan air kerana arus deras apabila hujan lebat yang berterusan, tambahan pula pada masa ini musim cuti persekolahan dan malang tidak berbau,’’ ujarnya.