Halaman

30 December 2012

Penduduk ambil kesempatan bermain air banjir

Oleh: Suriati Ali

Segelintir penduduk kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil kesempatan bermain air banjir yang semakin pulih bersama anak masing-masing .

 Ada di antara mereka, terutama golongan remaja mambasuh motosikal, mendayung sampan dan mandi tanpa memikirkan risiko yang bakal dilalui.





Menurut portal banjir , tiada mangsa banjir di DUN Tepoh dilaporkan berpindah ke Pusat Perpindahan Banjir walaupun DUN lain, termasuk Tepoh, Kuala Berang, Air Puteh dan sebagainya mencatatkan ratusan mangsa terpaksa berpindah.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata mangsa yang terlibat dengan pemindahan banjir dinasihatkan agar dapat memaklumkan alamat rumah yang ditinggalkan kepada Balai Polis berhampiran atau kepada anggota polis yang bertugas di pusat pemindahan banjir.

 Katanya, ini untuk memudahkan menghubungi pemilik kediaman jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini semasa pihak polis menjalankan rondaan.

 Sehubungan dengan itu juga, beliau menasihatkan orang ramai supaya peka dan berwaspada dengan amaran banjir yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

 ``Ibu bapa juga perlu sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak bermain dengan air kerana arus deras apabila hujan lebat yang berterusan, tambahan pula pada masa ini musim cuti persekolahan dan malang tidak berbau,’’ ujarnya.