Halaman

01 January 2013

Primula Beach Hotel rai kakitangan

Oleh: Noraini Jusoh

Primula Beach Hotel Kuala Terengganu, hari ini meraikan kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2012 sehingga hotel berkenaan berjaya mencatat perolehan pendapatan tertinggi tahun lalu.

Pengerusinya, Dato’ Rosli Mat Hassan berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1972, pencapaian hotel ini pada tahun lepas sangat memberangsangkan dan mencatat jumlah tertinggi yang pernah pihaknya perolehi.

"Sasaran kita pada tahun 2012 cuma sekitar RM15 juta sahaja, tetapi saya sungguh bangga dan bersyukur kerana apa yang kita capai melebihi sasaran iaitu sebanyak RM17 juta.

"Berdasarkan pendapatan yang kita perolehi pada tahun 2011 iaitu kira-kira RM14.3 juta, peningkatan pendapatan sebanyak RM2.7 juta adalah satu angka yang besar untuk dicapai dan mustahil tanpa kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui pada Majlis Sepagi Bersama Warga Primula, di hotel tersebut, hari ini.

Katanya, majlis itu diadakan untuk meraikan 233 orang pekerja yang telah banyak berjasa dan sebagai tanda penghargaan atas komitmen yang telah mereka tunjukkan.

Menurut beliau, semua kakitangan turut menerima pemberian bonus sebagai galakan dan motivasi untuk mereka terus memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada tetamu yang datang ke sini.

"Semangat bekerja sebagai satu pasukan dan sokongan semua pihak terutamanya kerajaan negeri, pihak kementerian dan swasta banyak membantu memperkenalkan hotel ini yang sekaligus menjadikan perolehan pendapatan kita pada tahun lalu melebihi sasaran,” ujarnya.

Katanya, bagi tahun 2013, beliau meletakan sasaran RM18.5 juta perolehan pendapatan dan menjangkakan ia dapat dicapai sekiranya para pekerja terus menunjukkan prestasi cemerlang dan kepercayaan semua pihak memilih hotel ini untuk menginap atau membuat sebarang aktiviti atau program di sini.