Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) kini sedang menaja lebih 3,700 orang pelajar di universiti-universiti dalam dan luar negara.
Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof berkata, daripada jumlah tersebut seramai 168 orang pelajar sedang mengikuti bidang perubatan dan pergigian di Mesir dan 57 orang lagi di Indonesia.
“Pada masa yang sama penghantaran penuntut dalam bidang pengajian Islam diteruskan dan sehingga ini seramai 115 orang pelajar kita juga sedang mengikuti pengajian Islam di universiti di Asia Barat,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, sehingga ini juga terdapat 48 pelajar dari negeri ini sedang menuntut di universiti-universiti terbaik di England dan 24 orang lagi sedang menduduki A-Level.
“Hasil kerjasama yang terjalin antara kerajaan negeri dengan universiti-universiti di Indonesia, Mesir, Jordan, Rusia, Moscow membuka peluang lebih ramai pelajar kita menuntut di negara terbabit,” katanya.
Katanya, YT menandatangai MoU dengan Moscow Medical Academy (MMA) dan Volgograd Medical State Universiti (VMSU) di Rusia pada Mei 2009 dan YT telah menghantar 50 pelajar ke MMA (2009) dan ke VMSU (2010).
Menurutnya melalui kerjasama dengan Asia Pacific Flight Training Academy (APFT) dan Malaysia Airlines Systems (MAS) juga seramai 95 anak tempatan sedang mengikuti kursus juruterbang di syarikat berkenaan sejak pengambilan pertama pada Ogos 2009 hingga 2012.
“ MAS dan APFT menerima 20 orang pelajar kita setiap tahun sejak Ogos 2009 untuk mengikuti kursus sebagai juruterbang dan pada masa sama mereka bersetuju melatih 10 pelajar mengikuti kursus jurutera dan 40 orang kursus juruteknik penerbangan,” katanya.