Halaman

03 January 2013

Isteri PM sertai gotong royong bersih rumah kediaman mangsa banjir

Oleh; Esah Abdullah

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor akan menyertai gotong royong membersih rumah mangsa banjir di Taman Desa Damai, Kampung Gong Badak Kuala Terengganu esok (4 Disember).

Yang Dipertua PPPM Cawangan Terengganu, Datin Seri Tengku Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, kehadiran Datin Paduka Seri Rosmah adalah untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat persatuan membantu mangsa banjir di negeri ini.

Isteri Perdana Menteri itu akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud jam 11 pagi dan terus ke Taman Desa Damai bertemu penduduk yang baru pulang ke rumah masing-masing setelah tinggal di penempatan banjir.

Terdapat 60 unit rumah di taman berkenaan yang terlibat banjir baru-baru ini dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

“Seramai 500 orang terdiri daripada ahli-ahli PPPM Terengganu serta penduduk tempatan akan bergotong royong membersih rumah kediaman yang baru dilanda banjir,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, Datin Paduka Seri Rosmah kemudiannya akan menyampaikan bantuan wang ehsan kepada 109 keluarga mangsa banjir di kawasan berkenaan dan setiap keluarga akan menerima RM500.

Datin Paduka Seri Rosmah kemudiannya akan berlepas ke Kota Bharu, Kelantan jam 1.30 petang.