Halaman

03 January 2013

Pemandu teksi perlu jaga imej Terengganu

Menteri Besar bermesra dengan pemandu-pemandu teksi.
Oleh: Suriati Ali

 Pemandu kereta sewa (teksi) di Terengganu diminta menjaga imej negeri dengan memberi layanan terbaik kepada pelancong serta melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan isu semasa.

 Pendekatan itu bukan saja mampu menaikkan imej negeri di mata orang luar malah mempertingkatkan mutu perkhimatan pengangkutan awam.

 Menteri Besar, Dato’ Sei Haji Ahmad Said, berkata selaku duta kecil Terenganu yang membawa penumpang terutama pelancong luar Terengganu, peningkatan layanan pelangan dan perkhidmatan wajar diutamakan.

Pemandu-pemandu teksi dari seluruh Terengganu mendengar amanat daripada Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Katanya, jika membawa penumpang jangan hanya memikirkan duit tambang dan membawa pelancong ke destinasi yang ingin dituju saja, pada masa sama perlu memberi pengalaman menyeronokkan.

 “Apa yang dipelajari serta latihan yang diberikan dalam siri program peningkatan imej kereta sewa harus dipratikkan.

 “Perlu difahami setiap pengguna atau pelanggan, mereka akan menilai pelbagai aspek sama ada berkaitan sikap pemandu dan pengalaman yang diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Uniform dan `Kit’ Kepada Pengusaha Kereta Sewa, di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembagunan Usahawan, Encik Azmi Razik dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Seramai 802 pengusaha kereta sewa dari seluruh Terengganu diagihkan pakaian seragam dan `kits’ TMT 2013, membabitkan peruntukan RM120,000 semata-mata mahu mempromosi Terengganu dan meningkatkan imej sistem pengangkutan di mata pelancong.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia berharap dengan pemberian pakaian seragam tiada lagi rungutan terhadap pengusaha pengangkutan itu selain perlu bersikap lebih sopan dan pandai menjaga imej Terengganu.