Halaman

05 January 2013

Wanita UMNO terima siapa saja calon

Oleh: Mastura Jamaluddin 

 “Terima siapa sahaja calon dan jangan jadikannya halangan kerana yang lebih penting ialah memastikan kemenangan memihak kepada Barisan Nasional (BN),” demikian kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Fatimah Hamat.

Sehubungan itu, beliau berharap semua ahli pergerakan itu menerima dengan seadanya sesiapa sahaja calon dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana individu berkenaan mewakili parti (BN) bukannya perseorangan.

“Barisan Wanita Umno Parlimen Hulu Terengganu kini berjumlah kira-kira 2,000 orang yang telah pun bersiap-sedia berjuang dan berperang menghadapi sebarang kemungkinan untuk PRU ke-13 nanti.

 “Sehubungan itu, diharapkan Wanita Umno meneruskan semangat juang sebagaimana sekarang, walaupun siapa sahaja calon dipilih bertanding atas tiket BN kelak, kerana misi utama perjuangan adalah memastikan kita terus memenangi tiga kerusi DUN dan Parlimen serta merampas DUN Manir," katanya.

Menurutnya, UMNO perlu berusaha lebih keras bagi memastikan kerusi Dun Manir dapat dirampas, selepas puluhan tahun berada di tangan pembangkang. Ini adalah kerana tiada pembangunan dapat dilihat dilakukan mereka selama ini

“Tidak kisah dengan pelbagai tanggapan serta panggilan umum kepada Wanita Umno sama ada makcik atau tok cik, yang penting kita terus berjuang untuk agama dan bangsa serta negara. Malah, wanita terbukti menjadi tulang belakang kejayaan negara dalam pelbagai sektor,” katanya.