Halaman

04 January 2013

Pantai Air Tawar jadi pilihan pengunjung

 Oleh: Suriati Ali

 Setiap kali tiba cuti umum atau persekolahan, kawasan peranginan seperti pulau dan pantai di Terengganu, pasti menjadi pilihan pelancong luar dan pengunjung tempatan untuk membawa keluarga bersiar-siar.

 Tidak ketinggalan, Pantai Air Tawar, Besut yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Jertih, Besut sering menjadi tumpuan orang ramai meluangkan masa bersama keluarga.

 Kadang kala menjadi persinggahan wajib bagi mereka datang secara berkumpulan atau `konvoi’ semata-mata mahu melepaskan penat sambil menikmati bekalan yang di bawa.

 Apabila kembali bertenaga, mereka meneruskan konvoi ke mana-mana destinasi yang ingin di tuju termasuk ke Kelantan atau Perak.

Kemudahan seperti taman permainan, pondok rehat, tapak perkhemahan, tandas, gerai makanan laut dan surau disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada pengunjung.

 Bertentangan pantai, tersedia sebuah pentas yang sering menjadi pilihan pelbagai pihak untuk mempersembahkan dikir barat, tarian tradisional, pertunjukkan gendang, nyanyian, wayang kulit dan ucapan tertamu kehormat.

 Bagi mereka yang mementingkan kesihatan pula, trek berjalan kaki dan pelaratan senaman turut disediakan. Langkah itu pasti mengembirakan pengunjung terutama bagi penduduk yang tinggal di luar Terengganu di mana jarang dapat bersiar di pantai sebaliknya hanya mengunjungi taman tema atau pusat membeli belah.

Fiesta Kebudayaan dan Kesenian yang dianjurkan secara tahunan oleh pihak tertentu nyata berbaloi kerana mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke lokasi yang cukup mendamaikan itu.

Jika pertama kali, anda ke sana pasti tidak sesat kerana Pantai Air Tawar itu jelas kelihatan jika melalui jalan utama Kuala Besut menghala ke Kelantan. .