Halaman

04 January 2013

JKKK Daerah Hulu Terengganu diktiraf terbaik

Oleh: Mastura Jamaludin 

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah Hulu Terengganu pada hari ini telah diraikan dan diberikan penghargaan serta pengiktirafan sewajarnya oleh Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT).

Majlis yang dirasmikan YBM Dato’Haji Tengku Putera Tengku Awang, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu menyaksikan 122 buah JKKK di berikan pelbagai anugerah di atas jasa mereka sebagai agen kerajaan di peringkat akar umbi.

Program kali kedua yang dianjurkan oleh PDHT di bawah pentadbiran Pegawai Daerah, Dato’ Wan Mohd Ibrahim, mendapat sambutan walaupun pada waktu itu daerah Hulu Terengganu mengalami banjir gelombang kedua.

“Saya cukup terharu di atas kehadiran malam ini kerana firasat saya sebahagian besar tidak akan hadir pada malam ini kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Kita sepakat untuk mengiktiraf dan memberikan penghargaan di atas usaha JKKK mentadbir kawasan mereka selama memegang jawatan sebagai wakil kerajaan.”

“Untuk memantapkan JKKK, kerajaan memerintah telah meningkatkan elaun kehadiran, tuntutan gotong-royong, tuntutan mesyuarat dan tuntutan kehadiran khas untuk semua kerana usaha mereka perlu diiktiraf.

“Selain itu, pelbagai kursus telah diadakan untuk meningkatkan mutu khidmat JKKK dan apabila pulang, mereka akan memberikan yang terbaik di kampung masing-masing,” kata Dato’ Wan Mohd ketika menyampaikan ucapan aluan.

Wan Mohd juga mengucapkan tahniah kerana atas komitmen semua 122 buah JKKK sempena keberangkatan Tuanku Sultan dan Sultanah Terengganu serta program mengemping yang dijalankan membuatkan daerah Hulu Terengganu menjadi daerah terbaik sempena lawatan baginda berdua.

Beliau memaklumkan juga pada majlis itu, penyampaian ‘pen drive’ dan fail pentadbiran akan di sampaikan selain daripada bantuan pentadbiran RM5,000 kepada 122 buah JKKK. Ahli Parlimen Hulu Terengganu , YB Haji Mohd Nor Othman turut menyumbangkan projektor dan skrin layar untuk JKKK bagi kegunaan program di peringkat kampung .