Seorang lagi atlet kelahiran Terengganu, Faizal Saari, 21, berjaya mencipta rekod apabila menempatkan diri di persada antarabangsa selepas dilamar oleh kelab Mumbai Magicians untuk beraksi dalam Liga Hoki India (HIL) yang bakal berlangsung selama sebulan bermula 16 Januari depan.
Kelibat penyerang skuad hoki negara yang membantu Terengganu pada aksi final membenam Pahang untuk menggenggam Piala Tun Abdul Razak ke-50 itu, kian menyinar sehingga mampu berada di kelompok pemain berstatus bintang dari seluruh dunia yang bakal beraksi dengan lima kelab dalam HIL.
Di sebalik tanggungjawab yang cukup besar bakal dipikul dalam tempoh singkat itu nanti, Faizal dikatakan turut mendapat habuan berbaloi apabila bakal menerima gaji sebanyak AS$26,000 (RM79,560).
Selain Faizal, penjaga gawang negara, S Kumar juga terpilih untuk beraksi dengan kelab Uttar Pradesh Wizards.
Kumar pula AS$15,000 (RM45,900). Jumlah itu difahamkan lebih besar berbanding gaji diterima oleh pemain negara yang beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM).
Faizal yang sering menjadi tonggak utama skuad negara, sebelum ini pernah menimba pengalaman di Liga Australia bersama kelab Southern Hotshots tetapi dia tidak dapat menyertai sepanjang satu musim berikutan masalah visa.
Atlet itu kemudiannya menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab Sepanyol, Athletic Terassa Club sekitar Julai lalu, tetapi dia terpaksa menolaknya berikutan khidmatnya lebih diperlukan skuad negara menghadapi saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina November lalu.
“Inilah impian yang saya nantikan sejak dulu lagi iaitu untuk beraksi di luar negara. Saya memang mahu belajar sesuatu yang baru selain daripada beraksi di LHM.
“Sudah tentu saya gembira kerana terpilih untuk beraksi di HIL sebab bukan mudah untuk menempatkan diri di liga yang juga disertai ramai pemain hebat.
“Bagi saya wang bukan soal utama tapi seperti yang saya katakan tadi, kesempatan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman baru,” katanya.
Selain itu, Faizal dijangka berangkat ke India pada 8 Januari ini kerana jurulatih kelabnya itu mahu menemui pemain pada hari berikutnya.