Penggunaan e-book dalam kalangan murid sekolah rendah bukanlah punca utama kemerosotan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, punca kemerosotan UPSR di Terengganu seperti yang didakwa pihak pembangkang adalah disebabkan pemberian e-book oleh kerajaan negeri kepada murid sekolah rendah tidak boleh diterima sama sekali.
"Kerajaan negeri menafikan perkara ini disebabkan penggunaan e-book masih baru di kalangan pelajar kita dan kesan atau hasilnya tidak boleh dilihat dalam masa terdekat.
"Justeru, tidak adil pihak pembangkang menjadikan penggunaan e-book sebagai satu isu yang menjejaskan pencapaian pelajar kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Teganukita di Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2012 dan Penyampaian Bantuan Peperiksaan Awam 2013 DUN Seberang Takir, di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN tersebut, baru-baru ini.
Katanya, ramai pelajar yang mempunyai asas dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) hasil penggunaan e-book yang diperkenalkan kerajaan negeri lebih mesra dan mahir dalam bidang tersebut apabila melangkah ke sekolah menengah.
Menurut beliau, penggunaan e-book bukan bertujuan melalaikan pelajar tetapi sebaliknya untuk memantapkan penguasaan mereka terhadap bidang ICT.
"Justeru, selain pihak sekolah, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak menggunakan e-book untuk tujuan pembelajaran,” katanya.