Halaman

01 January 2013

Tiada penyakit berjangkit pada musim banjir

Oleh: Suriati Ali

Tiada sebarang kes atau wabak penyakit berjangkit di kesan sepanjang kejadian banjir yang melanda negeri ini sejak minggu lepas.

 Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, maklumat berkenaan diperoleh selepas satu sesi pemeriksaan dan rawatan dilakukan ke atas 1,636 responden yang juga mangsa banjir baru-baru ini.

 Katanya, daripada jumlah itu, hanya 38 kes penyakit ringan termasuk masalah berkaitan saluran pernafasan dan radang kulit dikesan.

"Ini sahaja data yang kita peroleh berkaitan kes penyakit yang berlaku akibat banjir dan tiada sebarang wabak penyakit dikesan setakat ini," katanya..

 Hanya seketika selepas kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing awal pagi kelmarin selain semua pusat pemindahan banjir ditutup, banjir gelombang kedua kembali melanda negeri ini petang semalam.

Kali ini melibatkan sebanyak 1720 penduduk daripada 471 keluarga di Hulu Terengganu, Setiu, Besut, Kemaman dan Dungun yang terpaksa ditempatkan di 27 pusat pemindahan di daerah berkenaan berikutan hujan berterusan dan kadangkala lebat sejak awal pagi tadi.

 Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata, setakat pukul 1o pagi ini, kesemua mangsa di daerah itu ditempatkan di 27 pusat permindahan.

 Terdapat 27 jalan di Terengganu dipaksa ditutup kepada semua pengguna jalan raya, antaranya Jalan Jerangau-Jabor (Hadapan JPJ Bukit Besi) Dungun; Jalan Pengakalan Merbau/ Pelong (Kg Seri Kenangan), Setiu; Jalan Hulu Seladang, Besut dan Jalan Kuala Terengganu-Ajil (Kg Telaga Mengkudu) Hulu Terengganu.

Dalam pada itu, Dr. Anwa berkata, orang ramai dinasihatkan supaya membersihkan rumah masing-masing bagi memastikan kediaman mereka bebas daripada takungan air untuk mengelakkan nyamuk aedes daripada membiak.

 Katanya, masyarakat setempat juga digalakkan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku.

"Saya sarankan supaya ia dilakukan ketika cuaca kembali panas ketika ini sebelum hujan semula selepas ini," ujar beliau. Katanya, orang ramai yang menghidap demam, batuk-batuk atau simptom seperti cirit-birit dan muntah-muntah seeloknya segera mendapatkan rawatan bagi mencegah sebarang jangkitan kuman semasa musim banjir ini.