Halaman

07 February 2013

DIA ADALAH ISTERI SAYA YANG SAH :YB ZAKARIA, ADUN PAKA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

 “Saya tidak membuat kesalahan, saya berkahwin secara sah dan bukannya ditangkap khalwat, melarikan isteri orang atau anak dara orang atau mencari pelacur,” demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Zakaria @ Ariffin Abdullah sebagai mengulas laporan beberapa blog dan akhbar tempatan mengenai perkahwinan ketiganya serta tuntutan cerai dari isteri kedua beliau baru-baru ini.

.
 “Saya bukan berkhalwat dengan isteri orang sampai tiga pagi atau skandal dengan Cina Doll atau berkhalwat di bilik 121...tapi dia adalah isteri saya yang sah sejak beberapa tahun lalu,” sambungnya lagi.

Ditanya mengenai soal dakwaan isteri keduanya yang mengemukakan permohonan cerai dan hal-hal berkaitan dengannya beliau berkata “itu biarlah saya selesaikan, hal rumahtangga’.

Apa yang penting katanya, beliau telah berkahwin secara sah dan apa yang dipaparkan di majalah tentang perkahwinan ketiga beliau itu, sekalipun ia tidak dirancang tetapi harus diterima secara positif untuk hebahan bagi mengelak fitnah.

 “Sebagai wakil rakyat yang mewakili parti saya, saya perlu elak dari difitnah, saya bukan muda remaja yang baru hendak berkahwin untuk membuat jamuan walimatul urus, tetapi siaran di majalah itu boleh diterima sebagai kaedah untuk menghebahkan perkahwinan bagi mengelak fitnah”.

 Katanya, ‘ kalau ada oang hendak cuba fitnah saya bila melihat wanita itu bersama saya...orang akhirnya tahu itu adalah isteri saya yang sah”. 

Baginya perkahwinan bukanlah suatu isu kerana adalah perkara yang diharuskan oleh syarak, itu yang perlu difahami oleh semua sama ada di pihak lelaki atau wanita, sama ada orang politik atau orang biasa. 

Beberapa blog pembangkang termasuk sebuah akhbar harian tempatan cuba membangkitkan isu perkahwinan ketiga Adun Paka itu sebagai suatu perbuatan salah Adun berkenaan.

Blog pembangkang cuba dan akhbar berkenaan mengeksploitasi perkahwinan yang sah ini menjadi suatu kesalahan dengan menggunakan dakwaan-dakwaan pihak tertentu yang tidak berpuas-hati dengan perkahwinan sah itu untuk memburukkan suasana dan cara ini amat bertentangan dengan Islam dengan melaga-lagakan untuk kehancuran rumah tangga orang lain.


Kerajaan negeri peruntukan RM1.2 juta untuk pasukan hoki negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM1.2 juta kepada pasukan hoki negeri apabila mesyuarat Exco semalam memutuskan pasukan hoki negeri akan mewakili Terengganu untuk bertanding dalam Liga Hoki Kebangsaan bagi musim ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pasukan hoki negeri merupakan pasukan berstatus negeri pertama yang akan beraksi dan akan bersaing dengan pasukan berstatus kelab seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank.

"Kita dapati ramai pemain kita tidak bermain dimana-mana pasukan, justeru dengan adanya peruntukan oleh kerajaan negeri ini akan memberikan peluang untuk mereka beraksi.

"Kita sebenarnya sudah ada pemain yang terdiri daripada pemain dalam dan luar negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek perumahan rumah pangsa mampu milik di Kampung Batin, semalam.

Katanya, selain pemain dalam dan luar negeri pasukan hoki negeri juga turut mendapatkan khidmat pemain import.

Menurut beliau, peruntukan yang diberikan kerajaaan negeri itu adalah untuk gaji pemain serta pengurusan dan selebihnya pasukan akan mencari tajaan sendiri.

 

Kerajaan negeri sasar bina 10000 unit rumah mampu milik

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 10000 unit rumah mampu milik, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menurut beliau, sehingga kini 8000 lebih rumah telah dibina dan projek perumahan akan diteruskan bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

"Kita akan membina rumah mampu milik di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan berpendapatan rendah tinggal di rumah yang lebih selesa.

"Projek perumahan rumah pangsa mampu milik di Kampung Batin, Kuala Terengganu ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu mereka yang belum memiliki rumah sendiri dan berpendapatan di bawah RM3000 memiliki rumah.

"Sama seperti pangsapuri Ladang Gemilang, bagi tiga tahun pertama mereka bayar sewa dan selepas itu jika tiada aduan, bantahan serta tiada penyelewengan, mereka boleh membeli rumah tersebut kerana kerajaan menetapkan tiga tahun pertama sebagai bayaran permulaan kepada sewa beli rumah itu sebagaimana yang telah dijelaskan,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat tapak perumahan rumah pangsa mampu milik di Kampung Batin, semalam.

Katanya, beliau berharap rumah pangsa mampu milik Kampung Batin yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan nilai setiap unit kira-kira RM140,000 yang belum diberi subsidi oleh kerajaan itu akan siap sepenuhnya antara April hingga Jun nanti.

Menurut beliau, kadar sewa rumah pangsa mampu milik berkenaan akan ditetapkan kemudian dimana terdapat 722 unit rumah di 19 blok bangunan yang dibina dengan ketinggian empat tingkat setiap satunya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penduduk yang bakal mendiami rumah pangsa berkenaan tidak melakukan proses jual beli rumah tersebut kerana projek perumahan rakyat yang dibina oleh kerajaan negeri adalah untuk keselesaan rakyat dan bukannya untuk diniagakan.

Katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk membina sebuah masjid baru di tapak yang telah dikenalpasti bersebelahan projek perumahan itu bagi menampung kariah masjid Kampung Banggol Pauh yang mungkin akan bertambah apabila peduduk mula mendiami rumah pangsa terbabit.

Difahamkan, projek perumahan rumah pangsa mampu milik Kampung Batin juga turut memiliki kemudahan dewan dan surau untuk kegunaan penduduk di situ apabila projek perumahan tersebut siap sepenuhnya nanti.

 

06 February 2013

MCA Besut agih limau kepada komuniti setempat



Oleh: Mohammad Ishak 

Sudah menjadi satu tradisi setiap kali menjelang sambutan Tahun Baru Cina buah limau menjadi pilihan kepada masyarakat keturunan Tiong Hwa untuk dijadikan makanan utama atau buah tangan kepada kenalan dan keluarga.

MCA Bahagian Besut tidak ketinggalan mengambil kesempatan dengan mengagih-agihkan buah limau kepada semua pemilik premis perniagaan di Bandar ini tanpa mengira status dan keturunan.

Kira-kira 800 kotak limau diagihkan dari rumah ke rumah dan pejabat kerajaan di sekitar Bandar ini semalam sebagai mendanda bermulanya sambutan tahun baru Cina.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi MARA bersama pemimpin MCA turun padang mengagihkan limau berkenaan.

Orang ramai yanbg berada di premis perniagaan dan di pejabat turut menerima tempias apabila mereka juga mendapat sumbangan limau dari pemimpin terbabit.

Program mengagihgkan limau itu adalah acara tradisi yang dilakukan oleh MCA Besut pada setiap tahun menjelang sambutan berkenaan.

Idris berkata, peluang seperti itu digunakan sepenuhnya untuk menemui masyarakat Cina di Bandar ini yang sebahagian mereka adalah peniaga.

SKM sasar daftar 600 koperasi

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

 Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu mensasarkan sebanyak 600 koperasi dapat didaftarkan di seluruh negeri sehingga akhir tahun ini.

 Pengarah suruhanjaya itu Wan Mohd Sabri Wan Harun berkata, kira-kira RM318 juta modal pusingan dijangka dapat dikumpulkan dan mampu menjana keuntungan sebanyak RM20 juta dalam tempoh berkenaan.

Ahli Komedia sedang mendengar taklimat dan penerangan pengarah SKM

Katanya, sebahagian besar koperasi baru yang akan diaftarkan itu membabitkan koperasi masjid, iaitu sekurang-kurangnya 50 buah dapat didaftarkan pada tahun ini.

“Sehingga akhir tahun lalu sebanyak 523 koperasi telah didaftarkan dengan keahlian seramai 235,000 dan modal terkumpul sebanyak RM303 juta.

``Koperasi berkenaan mampu menjana keuntungan sebanyak RM18 juta pada tahun lalu, manakala modal saham terkumpul ialah sebanyak RM96 juta,’’ katanya.

 Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Media Terengganu Berhad (Komedia) di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.


Pengarah SKM..Encik Mohd Sabri..

 Hadir sama Presiden Kelab Wartwan Terengganu (Kawat), Ayob Mamat. Mohd Sabri berkata, daripada jumlah koperasi yang berdaftar itu 15 buah dikategorikan koperasi yang berskala besar, 24 buah separa besar dan selebihnya adalah berskala sederhana dan kecil.

 Beliau menambah, daripada jumlah koperasi berdaftar itu, dikenalpasti kira-kira 10 peratus koperasi tidak aktif dan gagal melaksanakan aktiviti dengan baik.

 ``Sebahagian besar dikenal pasti berpunca daripada masalah modal dan usaha pemulihan sedang dilakukan untuk memastikan ia bergerak aktif,’’ katanya.

Beliau memuji Koperasi Adik Kakak (KODIKA) Pulau Rusa yang cukup cemerlang dalam mengendalikan pelbagai aktiviti dan mampu menyediakan pinjaman kepada ahli tanpa menghadapi masalah untuk pembayaran balik.

Katanya, SKM ada menyediakan kemudahan pinjaman untuk membantu koperasi termasuk pinjaman tanpa cagaran tidak melebihi RM50,000 dan pinjaman RM1 juta dikenakan faedah dua peratus, manakala RM10 juta dengan faedah dan cagaran,

Mengenai koperasi media beliau berharap KOMEDIA dapat bergerak aktif bersama koperasi lain untuk sama-sama menyumbang kepada KDNK negeri sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2020.

 

Hanya 85,000 daripada 224,500 pesara tentera jadi ahli persatuan

Oleh; Esah Abdullah

Semua bekas tentera tidak berpencen di seluruh negara dijangka selesai menerima sumbangan one-off RM1,000 seorang daripada kerajaan menjelang akhir bulan ini.

 Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen, Dato’ Zulkifli Mazlan berkata, pengagihan wang berkenaan sedang berjalan di seluruh negara.

 “Setakat ini kira-kira 224,500 orang pesara tentera tidak berpencen yang dikesan di seluruh negara dan 85,000 daripadanya telah berdaftar sebagai ahli Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVPTTB).

“Masih ramai yang belum berdaftar dan saya harap mereka tampil untuk mendaftar secepat mungkin kerana pengagihan bantuan akan berakhir pada penghujung bulan ini,”katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Penyerahan Cek RM1,000 kepada Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, semua pesara tentera layak menerima wang ini dan mereka yang berdaftar selepas Februari pengagihan dibuat melalui akaun bank masing-masing.

 Menurutnya dengan menjadi ahli persatuan segala bantuan mudah disalurkan tetapi jika sebaliknya sukar bagi kita untuk menyalurkan apa-apa sumbangan.

“Kerajaan amat menghargai pengorbanan bekas pejuang keamanan negara dan sentiasa berusaha menjaga kebajikan serta memberikan kehidupan yang terbaik kepada mereka dan keluarga.

Pada majlis berkenaan seramai 975 orang pesara tentera dari daerah Kuala terengganu, Marang, Hulu terengganu dan Kuala Nerus menerima RM1,000 yang disampaikan Menteri Besar.

Katanya, selepas ini majlis pengagihan akan diadakan di daerah Kemaman dan Dungun pada 16 Februari membabitkan 618 orang manakala daerah Besut dan Setiu pada 17 Februari membabitkan 383 orang.

Pasti tunai janji bina 1,000 rumah, jika Batu Burok menang

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekali lagi mengulangi janji beliau sebelum ini, untuk membangunkan 1,000 unit rumah mampu milik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok, sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.



 Katanya, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan berpaya bagi pembinaan rumah berkenaan dengan kos pengambilan balik tanah menelan belanja berjuta ringgit.

 “Penduduk di Batu Burok perlu ingat satu perkara saja iaitu memilih pemimpin yang berkaliber dan bertanggungjawab pada pilihan raya nanti, sekiranya mahu melihat kawasan ini benar-benar berubah wajah.

“ Sudah tiba masanya untuk penduduk Batu Burok menamatkan tempoh 26 tahun `bergelap’ di bawah kepimpinan Pas yang hanya pandai berceramah dan memutarbelit fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penduduk Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Dato Wan Salleh; Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dan Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, demi tanggungjawab dan dasar keprihatinan kerajaan BN, kita tetap menyalurkan keperluan dan peruntukan bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

 Beliau menaruh harapan dan keyakinan penduduk di DUN itu bakal melakukan anjakan dan membuat keputusan yang tepat bagi mengembalikan kawasan itu kepada BN pada pilihan raya nanti..

 

Kerajaan dapat pulangan RM50 bilion dalam tempoh lima tahun

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri dijangka memperolehi pulangan pelaburan RM50 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berdasarkan sambutan menggalakkan pelabur asing yang berminat melabur dalam pelbagai industri berskala besar di negeri ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, terbaru sebuah syarikat dari Korea Selatan bersetuju membuka kilang besi di kawasan perindustrian Telok Kalung, Kemaman.

“Pelaburan projek ini bernilai RM6.6 bilion serta mempunyai tiga fasa iaitu RM600 juta pada peringkat pertama , kedua RM1.5 bilion dan ketiga berjumlah RM4.5 bilion,” katanya dalam sidang media di majlis Penyerahan Cek RM1,000 secara one-off kepada Pesara Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran ATM, Dato’ Zulkifli Mazlan dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Terengganu (PVTTBT), Encik Alias Abdul Razak serta 975 orang bekas tentera dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Katanya, kilang besi ini akan dibina di kawasan seluas 400 hektar di Telok Kalong dan merupakan yang ketiga di negeri ini di mana sebelum ini sudah ada Eastern Steel Sdn Bhd. dan Pewaja Steel Sdn Bhd.

“Majlis menandatangani perjanjian persefahaman projek ini dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun ini dan kita masih mempunyai banyak kawasan yang berpotensi tinggi untuk dijadikan hab industri,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sebuah lagi syarikat bakal membina kilang besi keempat di Telok Kalong dengan nilai pelaburan RM15 juta.

“Setakat ini kita masih dalam perbincangan dan saya tidak boleh dedahkan nama syarikat berkenaan, jika semuanya selesai kita akan umumkan,” katanya.

Menurut Menteri Besar, kesemua projek berskala besar itu akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
 

Artis nafi ahli Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sebahagian besar artis tanah air yang digunakan oleh Pas untuk menarik orang ramai ke ceramah-ceramah mereka sebenarnya bukan penyokong parti itu, jauh sekali menjadi ahli Pas.

Artis berkenaan membuat pengakuan bahawa mereka tidak pernah menjadi ahli Pas, sebaliknya mahu mendekatkan diri dengan ajaran Islam yang suci.

Sebaliknya Pas akan mencanang ke seluruh negara kononnya artis-artis yang dilihat hadir pada ceramah mereka sebagai ahli Pas, bagi menarik perhatian lebih ramai menyokong parti tersebut.

Semalam seorang pelakon, Azmil Mustapha mendedahkan beliau bukan ahli Pas seperti yang didakwa parti tersebut walaupun pernah berada di atas pentas ceramah anjuran parti berkenaan.

“Percayalah, agenda politik tiada dalam hidup saya,” dedah pelakon Ali Setan itu kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Beliau menegaskan tidak pernah menyertai mana-mana parti politik, sebaliknya lebih gemar terlibat dalam kerja-kerja dakwah.

Teganukita difahamkan beberapa artis lain, termasuk Abby Abadi juga tidak pernah menyertai Pas walaupun mereka dilihat berada di majlis ceramah Pas.

Sebenarnya Pas menggunakan artis berkenaan bagi menarik orang ramai hadir ke ceramah mereka, dengan membuat sejumlah bayaran kepada artis berkenaan.

Inilah antara taktik kotor yang digunakan parti pembangkang itu bagi menunjukkan mereka bukan saja mendapat sokongan rakyat, tetapi juga di kalangan selebriti tanah air.


KTS mahu mempertingkat kualiti perkhidmatan

Oleh: Noraini Jusoh

Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) telah menerima pensijilan ISO 9001:2008 bagi Penyediaan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan oleh Moody International Certification (Malaysia) Sdn Bhd dan Moody International Certification Ltd dimana tempoh sah sijil tersebut adalah selama tiga tahun berkuatkuasa 21 Disember lalu.

Ini sekaligus meletakkan hospital swasta yang merupakan anak syarikat TDM Berhad dan milik kerajaan negeri itu kepada satu standard lebih tinggi dan mematuhi piawaian antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif KTS, Zawiah Sharif berkata, pihaknya bangga kerana telah diberi pensijilan tersebut dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menambahbaik dan mempertingkat kualiti perkhidmatan terhadap pelanggan.

Semalam, satu majlis penganugerahan pensijilan ISO 9001:2008 telah diadakan di KTS dimana sijil tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Besar, Moody International Certification (Malaysia) Sdn Bhd, Dr. Ooi Cheng Lee kepada Pengerusi KTS, Datuk Hajah Fatimah Hamat.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Bahagian Kumpulan Kesihatan TDM Berhad, Bryan Lin Boon Dian; Pengarah Perubatan KTS, Dato’ Dr. S. Menon serta Pengurus Kumpulan TDM Berhad.

Menurut Zawiah, mendapat pensijilan tersebut merupakan satu kejayaan besar pihaknya dalam usaha berterusan untuk memiliki satu sistem pengurusan kualiti.

"Dengan pengiktirafan ini, ia dapat memperkukuh fokus dan komitmen kakitangan KTS bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik dalam usaha memenuhi kepuasan pelanggan,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.