Halaman

07 February 2013

Kerajaan negeri sasar bina 10000 unit rumah mampu milik

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 10000 unit rumah mampu milik, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menurut beliau, sehingga kini 8000 lebih rumah telah dibina dan projek perumahan akan diteruskan bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

"Kita akan membina rumah mampu milik di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan berpendapatan rendah tinggal di rumah yang lebih selesa.

"Projek perumahan rumah pangsa mampu milik di Kampung Batin, Kuala Terengganu ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu mereka yang belum memiliki rumah sendiri dan berpendapatan di bawah RM3000 memiliki rumah.

"Sama seperti pangsapuri Ladang Gemilang, bagi tiga tahun pertama mereka bayar sewa dan selepas itu jika tiada aduan, bantahan serta tiada penyelewengan, mereka boleh membeli rumah tersebut kerana kerajaan menetapkan tiga tahun pertama sebagai bayaran permulaan kepada sewa beli rumah itu sebagaimana yang telah dijelaskan,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat tapak perumahan rumah pangsa mampu milik di Kampung Batin, semalam.

Katanya, beliau berharap rumah pangsa mampu milik Kampung Batin yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan nilai setiap unit kira-kira RM140,000 yang belum diberi subsidi oleh kerajaan itu akan siap sepenuhnya antara April hingga Jun nanti.

Menurut beliau, kadar sewa rumah pangsa mampu milik berkenaan akan ditetapkan kemudian dimana terdapat 722 unit rumah di 19 blok bangunan yang dibina dengan ketinggian empat tingkat setiap satunya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penduduk yang bakal mendiami rumah pangsa berkenaan tidak melakukan proses jual beli rumah tersebut kerana projek perumahan rakyat yang dibina oleh kerajaan negeri adalah untuk keselesaan rakyat dan bukannya untuk diniagakan.

Katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk membina sebuah masjid baru di tapak yang telah dikenalpasti bersebelahan projek perumahan itu bagi menampung kariah masjid Kampung Banggol Pauh yang mungkin akan bertambah apabila peduduk mula mendiami rumah pangsa terbabit.

Difahamkan, projek perumahan rumah pangsa mampu milik Kampung Batin juga turut memiliki kemudahan dewan dan surau untuk kegunaan penduduk di situ apabila projek perumahan tersebut siap sepenuhnya nanti.