Halaman

04 February 2013

Kayu ukur sikap generasi muda : Dato' Sri Shabery

Oleh: Aida Abd Rahman

Tahun Sukarelawan Negara 2013 menjadi kayu ukur kepada sikap rakyat negara ini khususnya golongan muda sama ada mereka menjadi masyarakat yang sekadar menerima sumbangan semata-mata atau turut sama mengembleng tenaga dan masa bagi memberi khidmat menjayakan program kemasyarakatan, kata Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

“Bermula tahun ini dan tahun akan datang sudah tentu ada kaedah bagi mengukur budaya sukarelawan di kalangan masyarakat negara kita. Misalnya Australia terdapat lima juta penduduknya yang mendaftar sebagai sukarelawan dengan merekod 700 juta jam kerja-kerja sukarela pada tahun lalu, sekali gus berjaya berada di tangga pertama mengikuti Indeks Memberi Dunia (WGD).

“Ini dapat dilihat dari masa ke semasa. Kalau tahun ini kita boleh kumpulkan sejuta orang sempena program My Beautiful Malaysia, jika kita himpunkan setiap hari berapa juta orang dan jam yang mampu disumbangkan bagi tujuan sukarela di mana ini perlu kita ukur bagi menentukan sama ada kita termasuk di kalangan orang yang memberi dan bukan sekadar menerima sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam program My Beautiful Malaysia peringkat negeri yang dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam (3 Februari).

Dato’ Sri Ahmad Shabery berkata, Tahun Sukarelawan Negara juga akan menilai tahap sumbangan tenaga, wang ringgit dan masa setiap rakyat selama ini dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dapat mengeratkan hubungan dan kasih sayang sesama manusia, persekitaran serta haiwan.

 “Dengan ilmu pendidikan bukan sahaja mampu menjadikan seseorang itu sebagai jurutera, malahan pendidikan untuk menjadikan seseorang itu insan yang lebih tinggi martabat dan darjatnya serta sudah tentu ketinggian darjat itu hanya dapat dibuktikan menerusi kecintaannya kepada manusia yang lain, kepada alam sekitar dan kepada negara yang tercinta.

 “Aspek penting dalam pembangunan insan dan pembangunan sebuah negara ialah semangat sukarelawan yang diitunjukkan oleh belia dan rakyat negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sambutan luar biasa generasi muda dalam program kemasyarakatan seperti My Beautiful Malaysia itu menunjukkan petanda positif bahawa golongan itu semakin bertanggungjawab dan menghargai sesama manusia serta persekitaran.

“Hari ini mereka tampil ke depan untuk membersih kawasan, menananam pokok, membaiki tempat awam yang selama ini dibiar begitu sahaja dan mereka tidak bertanya mengenai berapa upah serta ganjaran yang akan mereka dapat, tetapi semuanya semata-mata kerana mereka sayangkan negara selain mahu mengindah serta mencantikkan negara ini,” katanya .