Halaman

05 February 2013

JR kerah tenaga rampas DUN Manir

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 364 wanita yang bertindak sebagai jentera Jalinan Rakyat (JR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir nekad untuk bekerja habis-habisan bagi merampaskan semula kawasan itu daripada pembangkang.

Menurut Ketua Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Fatimah Hamat, jentera JR di DUN itu sudah bersiap-siaga sejak dulu lagi bagi mengembalikan DUN berkenaan yang sudah lima penggal bergelap di bawah Pas kepada BN.

“Sudah lima kali pilihan raya nampaknya DUN Manir masih juga kekal bawah Pas. Kita tidak pernah serik untuk bekerja keras kerana JR akan emmastikan segala gerak kerja yang kita lakukan yang mendekati pengundi hingga akar umbi terus memberi kesan dan mendatangkan hasil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti," katanya.

Sehubungan itu, kata Datuk Fatimah yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Negeri Terengganu, semua JR di 26 cawangan di DUN Manir bersedia mengerah tenaga dan sebahagian besar mereka sanggup bekerja siang dan malam bagi mengembalikan DUN itu kepada BN pada PRU13 nanti.

“Semua JR kalau boleh minta izin suami supaya boleh terus bekerja untuk parti tanpa mengira waktu. Kata orang biar dapat `lesen besar’ supaya kita mencapai sasaran pucuk pimpinan dan hasrat Pergerakan Wanita Umno Malaysia.

 “Saya yakin lambat laun usaha yang kita laksanakan akan memberi hasil dan faedah kepada semua, kerana kita amat berperanan sebagai jentera yang bertemu lebih ramai rakyat di setiap kawasan. Malah, kita juga dapat mengesan pemilih yang masih belum berdaftar untuk didaftarkan sebagai pengundi pada pilihan raya nanti,” katanya.

Menurutnya, JR juga mampu mengenalpasti setiap permasalahan rakyat di peringkat akar umbi bagi untuk membolehkan bantuan disampaikan dengan lebih berkesan oleh pemimpin dan wakil rakyat BN.