Halaman

04 February 2013

ASM Unggul Trading adakan hari bertemu pelanggan

Oleh: Noraini Jusoh

ASM Unggul Trading yang merupakan sebuah stesen minyak Petronas akan mengadakan hari bertemu pelanggan bertempat di Dataran Stesen Petronas Seberang Marang, Marang, pada 7 Februari ini.

Program Petronas Marang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ‘Sehari Bersama Pelanggan’ yang dianjurkan ASM Unggul Trading dengan kerjasama Petronas dan KPDNKK itu dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Pengurus ASM Unggul Trading, Ahmad Shukridin Muda berkata, pada program yang sama, Dato’ Sri Ismail Sabri juga akan menyempurnakan majlis perasmian kedai buku ‘ASM Book Store’.

"Pembukaan kedai ini akan menjadikan Stesen Petronas Marang sebagai satu-satunya stesen minyak di negara ini yang menyediakan perkhidmatan kedai buku.

"Di ‘ASM Book Store’ kami menyediakan bahan bacaan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan kami memiliki koleksi bacaan melebihi 1500 judul yang terdiri daripada pelbagai genre,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, sempena hari bertemu pelanggan yang kali kedua dianjurkan itu, pelbagai acara menarik menanti pengunjung antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, jualan buku serta pelbagai lagi.

Tambah beliau, orang ramai di jemput hadir untuk memeriahkan majlis tersebut yang merupakan tanggungjawab sosial pihaknya terhadap masyarakat.