Kerajaan memperuntukkan RM16 juta untuk melaksanakan skim perlindungan insuran berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang dikenali sebagai Pelan Insuran 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (Pimpin).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan , Dato, Sri Ismail Sabri Yaakub berkata, skim ini akan mula dilaksanakan tahun ini.
“Peniaga perlu mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi Semenanjung Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media di Majlis Bicara Pengguna di Dewan Majlis Daerah Marang semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Dato’ Md Arif Abdul Rahman dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar.
Katanya, setelah mendaftar peniaga secara automatik dilindungi insuran berkelompok tersebut dan jumlah insuran yang dilindungi adalah antara RM1,000 hingga RM5,000.
“Antara perlindungan yang diberi termasuklah kematian akibat kemalangan, keilatan akibat kemalangan, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan, jenayah ragut serta kematian semulajadi,” katanya.
Selain itu katanya, KPDNK turut perkenalkan Skim Pembiayaan Mikro untuk membantu golongan penjaja dan peniaga kecil menambah modal pusingan atau membeli peralatan perniagaan yang lebih baik dan moden.
“Selain mempermudahkan proses pinjaman dan tempoh bayaran balik yang lebih panjang, peniaga boleh membuat pinjaman sehingga kadar maksimun RM50,000,” katanya.