Halaman

04 February 2013

UMT berfokus penyelidikan dan inovasi

Oleh; Esah Abdullah

Tahun 2013  menjadi titik permulaan kepada pengukuhan pembinaan asas menjadikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah universiti berfokus kepada penyelidikan dan inovasi dalam ‘sains kelautan dan akuatik’.

 Naib Canselor (NC) UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, semua program dan projek penyelidikan perlu mempunyai hubungan erat dengan pembangunan ekosistem sungai dan tasik.

“Ia meliputi pembangunan kemanusiaan, ekonomi, sumber asli, pemuliharaan warisan tabii, sains gunaan dan pembangunan teknologi khususnya daripada perspektif kesejahteraan komuniti, kesihatan alam sekitar dan penjanaan kekayaan negara.

 “Untuk mengukuhkan ilmu dan kemahiran bakat akademik usaha perlu dilakukan untuk membudayakan gagasan ‘penyelidikan sepanjang hayat melalui penyelidikan fundamental bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang ilmu yang dipelopori,” katanya,

Beliau berkata demikian di majlis Syarahan Tahunan NC 2013 ‘Membina Akademik Berbudaya Cemerlang’ di UMT hari ini.

Katanya, fakulti digalakkan untuk menyediakan dana sokongan tahunan supaya kegiatan ini berlangsung secara berterusan dan pemantauan dilakukan berasaskan kepada penerbitan kertas penyelidikan dalam jurnal berwasit yang relevan dengan bidang kepakaran.

“Kita akan menggalakkan pewujudan kumpulan penyelidikan khas (SIG) untuk menjayakan usaha ini secara berstrategi dan jangka panjang walaupun projek penyelidikan lazimnya diberi tempoh satu hingga tiga tahun,” katanya.

Katanya, kumpulan ini akan dipantau oleh seorang ‘pemimpin penyelidikan’ yang dilantik sebagai peneraju SIG untuk memastikan proses penyelidikan dan pembangunan berkembang segar.