Halaman

05 February 2013

TAHUN ULAR DISAMBUT MERIAH DI KAMPUNG CINA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Sambutan Tahun Baru Cina bagi masyarakat Cina di Terengganu, khususnya bandar Kuala Terengganu amat meriah pada kali ini. Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw berkata program utama akan berlangsung pada 7, 8 dan 9 Februari, bagaimana pun program gotong-royong bersih kawasan kampung Cina yang bersejarah itu telah berjalan sejak seminggu lalu.

Beliau juga memberitahu Pengarang Teganukita bahawa bantuan hari raya (sambutan Tahun Baru Cina) dari pihak kerajaan negeri telah pun disalurkan beberapa hari yang lalu.

Mewakili kaum Cina Terengganu, beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan kepada Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi perhatian kepada rakyat termasuk kaum Cina di negeri ini.

Ketua Pemuda MCA Terengganu, Toh Seng Cheng memberitahu, Menteri Besar Terengganu bersama Dato’ Bandar Kuala Terengganu sendiri akan hadir menemui penduduk kampung Cina pada Jumaat 8 Februari depan.

“Pertandingan menghias rumah juga diadakan dengan penyertaan lebih 50 buah, itu merupakan kegiatan kita setiap kali menyambut tahun baru di sini,” katanya.

Beliau juga berkata, ramai pemuda dan pemudi dari kampung itu yang telah berhijrah ke tempat lain akan ‘pulang kampung’ sempena tahun baru, kali ini Tahun Ular Air.

Oleh itu katanya, bagi memeriahkan lagi suasana, pihaknya mengadakan pertunjukan kereta moto, pertunjukan pentas dan sebagainya.

Malah katanya, persembahan ‘tukar wajah’ atau topeng (Bian Lian) dari seorang guru jemputan dari negara Chuan turut diadakan sebagai acara yang paling istimewa untuk disaksikan sama oleh Menteri Besar.

Pada 9 Februari diadakan sambutan ambang raya dan ‘count down’ bersama para pelancong yang juga ramai hadir ke kampung berkenaan.