Halaman

08 February 2013

i-Heal tarik minat pusat rawatan luar negara

Oleh: Rozita Abd Wahab

 Persekitaran yang baik dan lokasi sesuai serta kos yang efektif memberi kelebihan kepada iHeal Medical Centre menarik minat pusat rawatan luar negara untuk bekerjasama memberi rawatan kepada pesakit.



 Hari ini pusat perubatan pakar yang beroperasi di Kuala Lumpur itu telah menandatangani satu perjanjian kerjasama dengan Hospital RK charitas,Palembang Indonesia, di pusat perubatan itu.

 MoA itu ditandatangani Pengarah Perubatan iHeal Medical, Dr. David Khoo Sin Keat dengan Pengarah Rumah Sakit RK Charitas, Palembang, Professor Dr. Hardi Darmawan dan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menteri Besar ketika ditemui pemberita selepas majlis itu memberitahu, pusat perubatan pakar yang beroperasi di Kuala Lumpur itu akan memberi perkhidmatan kesihatan khususnya rawatan penyakit jantung kepada pesakit dari Palembang.

“Hospital charitas merupakan hospital yang tertua di Indonesia dan telah beroperasi selama 87 tahun. Ia di buka sejak 1926.

Mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas. Cuma tak ada rawatan untuk pesakit jantung. Jadi jika sekiranya ada kes jantung boleh rujuk pada iHeal. Ia merupakan pasaran baru kepada kita. MoA ini adalah satu cara untuk iHeal tambah pesakit,” katanya.

Sementara itu menurut Professor Dr. Hardi Darmawan, Rumah Sakit RK Charitas memilih untuk bekerjasama dengan iHeal kerana misi iHeal sama dengan hospital berkenaan. Selain daripada itu, katanya mereka kagum dengan kepakaran yang dimiliki iHeal dalam menyediakan kemudahan kepada pesakit.