Halaman

05 February 2013

Kuala Nerus kekal milik BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Majoriti pengundi di Kuala Nerus menolak pemimpin yang gagal menunaikan tanggungjawab ketika Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang lalu, sekali gus memberi peluang cerah untuk Barisan Nasional (BN) menguasai empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi parlimen pada PRU13 nanti.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata satu kerusi parlimen serta tiga kerusi DUN, iaitu Seberang Takir, Teluk Pasu serta Tepoh kekal kepada BN, manakala DUN Bukit Tunggal yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya lalu dengan hanya majoriti 300 undi juga akan dirampas semula.

“Kerajaan BN sudah bekerja lima tahun, kita bukan bekerja untuk rakyat hanya ketika PRU13 semakin hampir. Sepanjang masa kita sudah bersiap-sedia. Malah, sehingga kini kita akan memastikan jentera kita boleh berjalan lancar.

 “Insya-Allah, kita yakin mampu merampas semula DUN Bukit Tunggal. Ini berdasarkan sambutan yang diberikan oleh masyarakat setempat bukan sahaja dalam program pembayaran bantuan, malahan maklum balas yang diterima bahawa mereka sudah sedar bahawa mereka dalam kerugian kerana memilih wakil rakyat yang tidak dapat membantu mereka,” katanya ketika sidang media di Rumah Media Kelab wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, semalam (5 Februari).

 Dato’ Mohd Nasir berkata, wakil rakyat pembangkang bukan setakat gagal menunaikan peranan sebagai pemimpin kawasan, malah tidak mampu membawa suara dan rungutan rakyat di kawasan itu ke peringkat atasan termasuk di persidangan DUN.

Menurut Dato’ Mohd Nasir , pembukaan daerah baru Kuala Nerus yang kemungkinan bakal diisytihar secara rasmi selepas PRU13 juga antara pembangunan yang mampu membangkit semangat seluruh masyarakat di Kuala Nerus untuk bekerja lebih keras bagi memastikan keseluruhan DUN dan Parlimen itu dikuasai BN.

 “Dengan pengisytiharan daerah baru Kuala Nerus dapat menyuntik semangat orang Kuala Nerus bekerja lebih keras bagi memberi lima kerusi, empat DUN dan satu parlimen) kepada BN untuk merealisasikan sebuah daerah baru.

“Saya difahamkan juga peruntukan pembangunan disalurkan bagi peringkat awal untuk menyiapkan pelan pembangunan daerah Kuala Nerus,” katanya.