Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu menjadi dua lokasi pilihan di negeri ini bagi melancarkan program Jelajah Anak Malaysia (Transformasi Rakyat) pada 7 hingga 8 Februari ini.
Program yang dilaksanakan seluruh Malaysia anjuran Pertubuhan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) dengan kerjasama Gagasan Terengganu bakal menjelajah ke dua destinasi itu bagi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sepanjang dua hari satu malam.
Pengerusi Gagasan Terengganu, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata seramai 200 mahasiswa dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara akan menyertai program itu bagi mendekati dan mendampingi masyarakat secara langsung untuk berkongsi pengalaman kehidupan rakyat di bandar, pinggir bandar, kampung dan pedalaman.
“Mereka (mahasiswa) akan mendapatkan maklum balas terkini berkaitan permasalahan dan cadangan rakyat agar semua pihak terlibat dalam proses pembangunan masa hadapan negara yang akan memenuhi citarasa, kehendak serta keperluan semasa.
“Pada masa yang sama penyertaan mereka sebagai agen perhubungan antara kerajaan dengan rakyat itu juga dapat menolak andaian setengah pihak bahawa mahasiswa tidak lagi menyokong kerajaan, sebaliknya kita mahu menunjukkan bahawa mereka masih bersama dengan kerajaan, ” katanya di sidang media di Rumah Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat dan Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad.
Dato’ Mohd Nasir merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, program yang pertama kali diperkenalkan itu akan mendekati seluruh masyarakat menerusi pelbagai pengisian acara, bermula dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, diikuti program bersama semua warga tempatan iaitu Suara Rakyat, Program Kami Prihatin, Kuliah Rakyat (Imam Muda Asyraf), Rakyat Cergas, IM4U (gotong-royong) dan Kami Prihatin.
Sementara itu, Syed Anuar berkata, penganjur mensasarkan seramai 4,500 peserta khususnya golongan muda akan membanjiri tapak ekspo di Pasar Raya Hock Kee Seng, Gong Badak (Kuala Nerus), sementara 1,500 peserta dijangka menyertai program di Kuala Terengganu.
“Kesemua 200 mahasiswa IPTA yang menaiki empat buah bas akan menuju dua destinasi, dua bas ke Kuala Nerus dan dua bas ke Kuala Terengganu bagi melaksanakan aktiviti masing-masing sebagaimana dijadualkan.
“Program terbesar di pameran dan ekspo (Pasar Raya Hock Kee Seng Gong Badak), Kuliah rakyat oleh Imam Muda Asyraf serta Bicara Selebriti bersama Imran Ajmain. Manakala di Kuala Terengganu program tumpuan adalah Kuliah Rakyat di Masjid al-Taqwa Durian Burung, futsal (DS Sport Centre) dan acara ziarah,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai agensi dan jabatan termasuk seperti Jabatan Penerangan Terengganu, Jabatan Penyiaran Terengganu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Polis Diraja Malaysia akan membuka booth untuk kemudahan orang ramai.
Katanya, golongan muda juga berpeluang mendaftar untuk mendapatkan lesen kenderaan di kaunter pra pendaftaran Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang bakal beroperasi sempena program itu nanti.
Program yang bermula di Kuala Lumpur pada 30 Januari lalu, singgah ke beberapa negeri dan Terengganu pada 7 Februari akan meneruskan penjelajahan ke Pahang pada keesokannya sebelum berakhir 16 Februari depan.