Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu meraikan seramai 100 warga emas dari seluruh negeri ini sebagai tanda kasih sayang dan prihatin kepada golongan itu.
Program yang diadakan serentak seluruh negari itu sebagai usaha badan sukarela yang merasakan golongan warga emas sewajarnya mendapat perhatian dan kasih sayang daripada setiap anggota masyarakat untuk terus menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.
Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata usaha yang didakan ini juga adalah untuk menjalinkan koloborasi murni antara ahli khasnya ahli remaja bersama warga emas.
``Kita inginkan anak-anak dididik dengan nilai akhlak mulia, berbudi pekerti dan menghormati orang tua, bukan sahaja ibu bapa sendiri setapi semua orang dewasa,’’ katanya.
Beliau berkata demikian di majlis Pandu Puteri Bersama Warga Emas Terengganu di Dewan Utama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) negeri yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah YPK, Puan Ramlah Idris petang semalam.
Sehubungan itu program tersebut turut diadakan pemeriksaan kesihatan kepada orang awam khususnya warga emas dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu. Warga emas juga turut menerima cenderahati di samping dihiburkan persembahan ahli-ahli Pandu Puteri termasuk penyanyi Idola Kecil 5 (IK5) Nor Adlina Batrisyia Zuraimi (Tisha) .
Sementara itu, Puan Ramlah berkata, YPK kini sedang mengenalpasti warga emas terlantar untuk dibantu dalam pelbagai apsek termasuk pemeriksaan kesihatan , peralatan dan makanan yang akan dimulakan pada akhir bulan ini.
Katanya, Unit Khas yang ditubuhkan oleh YPK akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk sukarelawan doktor, jururawat dan belia untuk membantu golongan tersebut.
Selain itu kataya,YPK juga berusaha untuk mengenalpasti golongan warga emas di seluruh negeri untuk menyertai kelab warga emas yang telah diwujudkan di setiap kawasan.
``Usaha ini memberi memanfaat pelbagai program yang akan dilaksanakan oleh YPK sendiri serta pelbagai agensi yang berkaitan terutama dalam menjaga kesihatan dan kebajikan,’’ ujarnya.