Semua bekas tentera tidak berpencen di seluruh negara dijangka selesai menerima sumbangan one-off RM1,000 seorang daripada kerajaan menjelang akhir bulan ini.
Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen, Dato’ Zulkifli Mazlan berkata, pengagihan wang berkenaan sedang berjalan di seluruh negara.
“Setakat ini kira-kira 224,500 orang pesara tentera tidak berpencen yang dikesan di seluruh negara dan 85,000 daripadanya telah berdaftar sebagai ahli Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVPTTB).
“Masih ramai yang belum berdaftar dan saya harap mereka tampil untuk mendaftar secepat mungkin kerana pengagihan bantuan akan berakhir pada penghujung bulan ini,”katanya.
Beliau berkata demikian di majlis Penyerahan Cek RM1,000 kepada Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
Katanya, semua pesara tentera layak menerima wang ini dan mereka yang berdaftar selepas Februari pengagihan dibuat melalui akaun bank masing-masing.
Menurutnya dengan menjadi ahli persatuan segala bantuan mudah disalurkan tetapi jika sebaliknya sukar bagi kita untuk menyalurkan apa-apa sumbangan.
“Kerajaan amat menghargai pengorbanan bekas pejuang keamanan negara dan sentiasa berusaha menjaga kebajikan serta memberikan kehidupan yang terbaik kepada mereka dan keluarga.
Pada majlis berkenaan seramai 975 orang pesara tentera dari daerah Kuala terengganu, Marang, Hulu terengganu dan Kuala Nerus menerima RM1,000 yang disampaikan Menteri Besar.
Katanya, selepas ini majlis pengagihan akan diadakan di daerah Kemaman dan Dungun pada 16 Februari membabitkan 618 orang manakala daerah Besut dan Setiu pada 17 Februari membabitkan 383 orang.