Halaman

07 February 2013

Kewujudan KUT, buat peniaga gembira

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman 

 Pendekatan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menwujudkan Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) bernilai RM21 juta di Kubang Jela, Manir nyata mengembirakan golongan peniaga dan penduduk setempat.

 Ia bakal menjadi pemangkin kewujudan pusat pertumbuhan baru di kawasan itu dengan kedudukannya yang strategik berhampiran jalan baru menghubungkan Losong, Kubang Jela, Jeram dan Gemuruh.

 Bangunan tiga tingkat itu akan menempatkan 70 usahawan tempatan khususnya dalam industri kraf seperti batik dan songket serta produk berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, berkata kompleks ini bakal beroperasi seperti sebuah 'mall' dan dapat membantu pengusaha tempatan dari segi penjenamaan dan pemasaran produk mereka.

"Inisiatif ini diharapkan dapat membantu usahawan tempatan dalam menangani masalah mendapatkan premis yang sesuai untuk mereka serta meningkatkan daya maju.

“Gunakan peluang yang diberi ini sebaik mungkin kerana ia mampu memberi pulangan lumayan kepada peniaga jika bijak memikat pelanggan,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Katanya, sebilangan pengusaha yang memulakan perniagaan pada pertangahan tahun lalu mula menampakkan hasil kerana mampu memperoleh pendapatan bulanan yang agak lumayan.

“Ini diakui pemilik Al Bakry T' Cafe yang menawarkan hidangan nasi Arab. di mana kini dapat mengutip hasil jualan harian kira-kira RM1,000 sehari,” katanya.