Halaman

03 February 2013

Yayasan Terengganu rai pelajar cemerlang

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Seramai 38 pelajar yang mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 31 pelajar yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam DUN Kijal yang memperoleh kejayaan cemerlang telah dirai oleh Yayasan Terengganu semalam.



Kehadiran Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga ADUN Kijal menambahkan lagi keceriaan majlis.

Menteri Besar dalam ucapan beliau berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu sama sekali tidak pernah lupa untuk meraikan kejayaan anak-anak yang cemerlang dalam apa jua bidang yang mereka pelajari.

Malah pihak kerajaan sendiri telah memberi pelbagai sumbangan dan insentif kepada mereka yang berjaya.



Sama seperti graduan lepasan universiti awam mahupun swasta yang tidak ketinggalan menerima insentif daripada kerajaan sebanyak RM5,000 bagi mereka yang mendapat kepujian kelas pertama dan bagi mereka yang membuat pinjaman akan bertukar kepada biasiswa.

“Kerajaan negeri turut menghantar dan membiayai sepenuhnya pembelajaran anak-anak negeri Terengganu ke sepuluh universiti terbaik dunia dan keutamaan bagi mereka yang mengambil bidang bioteknologi.

“Menjelang 2015, peluang pekerjaan dalam bidang bioteknologi akan terus bertambah dan kita amat memerlukan tenaga kerja dalam bidang tersebut,” katanya mengakhiri ucapan.

Justeru itu Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said amat mengalu-alukan anak-anak negeri Terengganu untuk mempelajari bidang ini.