Seramai 244 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang menerima insentif daripada kerajaan negeri, hari ini.
Sebanyak RM32,320 dibelanjakan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu sebagai tanda penghargaan kepada pelajar cemerlang di mana daripada jumlah tersebut, RM20,160 untuk 168 pelajar yang mendapat 5A dan RM12,160 untuk 76 pelajar cemerlang yang mendapat 8A atau 9A dalam PMR.
"Jika dibandingkan zaman dahulu, tidak banyak bantuan yang disediakan pihak kerajaan dan menyebabkan ramai pelajar tercicir bukan disebabkan tidak pandai tetapi kerana ibu bapa yang tidak mampu menyediakan keperluan persekolahan mereka.
"Justeru, melalui pendemokrasian dalam sistem pendidikan, kita tidak mahu lagi kemiskinan ibu bapa menafikan hak pelajar bagi mendapat pendidikan sempurna,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penganugerahan Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu Kepada Pelajar-Pelajar Cemerlang Dalam Peperiksaan UPSR dan PMR 2012 Kali Ke-34 Tahun 2013 DUN Ladang di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan pemberian hadiah kecemerlangan berupa wang tunai sebanyak RM120 bagi peperiksaan UPSR dan RM160 untuk PMR kepada pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut tahun lalu.
