Halaman

07 February 2013

Kerajaan negeri peruntukan RM1.2 juta untuk pasukan hoki negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM1.2 juta kepada pasukan hoki negeri apabila mesyuarat Exco semalam memutuskan pasukan hoki negeri akan mewakili Terengganu untuk bertanding dalam Liga Hoki Kebangsaan bagi musim ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pasukan hoki negeri merupakan pasukan berstatus negeri pertama yang akan beraksi dan akan bersaing dengan pasukan berstatus kelab seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank.

"Kita dapati ramai pemain kita tidak bermain dimana-mana pasukan, justeru dengan adanya peruntukan oleh kerajaan negeri ini akan memberikan peluang untuk mereka beraksi.

"Kita sebenarnya sudah ada pemain yang terdiri daripada pemain dalam dan luar negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek perumahan rumah pangsa mampu milik di Kampung Batin, semalam.

Katanya, selain pemain dalam dan luar negeri pasukan hoki negeri juga turut mendapatkan khidmat pemain import.

Menurut beliau, peruntukan yang diberikan kerajaaan negeri itu adalah untuk gaji pemain serta pengurusan dan selebihnya pasukan akan mencari tajaan sendiri.