Kerajaan negeri bercadang memanjangkan tempoh masa sambutan Tahun Baru Cina 2013 kepada dua hari berikutan sambutan baik yang diterima di kalangan pengunjung ke acara Walk About Kampung Cina malam tadi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sambutan baik itu diharap supaya dapat menyemarakkan kehadiran pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.
“Saya rasa sambutan pada kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya dan kita harap supaya ia dapat dirancang dengan lebih baik supaya dapat membantu menarik pelancong pada tahun ini serta tahun akan datang.
“Kalau boleh saya mahu pastikan supaya jalan di Kampung Cina ditutup sepanjang dua hari bagi memastikan orang ramai yang pulang bercuti dapat meluangkan lebih masa menyaksikan acara sambutan ini di Kampung Cina (Esplanade),” katanya selepas melancarkan Majlis Walk About Kampung Cina bersempena Tahun Baru Cina 2013 di Esplanade Kampung Cina, Kuala Terengganu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.
Dato’ Seri Haji Ahmad meminta supaya Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dapat melancarkan usaha itu, selain kerjasama Polis Diraja Malaysia untuk mengawal trafik dan tahap keselamatan orang ramai.